kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pendirian PAS dan Polemik Had Jawatan Ketua Menteri

PENDIRIAN PAS 
CUKUP JELAS

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 21 November 2015 menyiarkan artikel mengkritik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terus mengambil sikap berbaik-baik dengan Pas.

Artikel bertajuk ‘Antara Pas dan sotong’ yang ditulis oleh Chan Chin Ho disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman B9.

Perbezaan pendapat antara Pas dan DAP yang diluahkan secara terbuka bukanlah satu keburukan kerana secara tidak langsung mendedahkan kepada umum bahawa kedua-dua parti itu tidak sesuai bergabung dalam satu pakatan.

Hubungan rapat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan UMNO tidak perlu dipertikai lagi. Di mulutnya sahaja berkata, Pas tidak akan menjadi komponen Barisan Nasional (BN) tetapi sesaat selepas itu menyambung ungkapan berkenaan dengan ayat “kita boleh bekerjasama, kerana bekerjasama itu perkara biasa...”

Sebab itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng cukup marah dengan Pas dan telah mendesak parti itu supaya ‘berkahwin’ sahaja dengan UMNO. Beliau nampak dengan jelas kecenderungan Pas itu walaupun Abdul Hadi tidak berterus terang.

Malangnya, hanya PKR sahaja yang masih tidak sedar lagi. Adakah kerana PKR ada kepentingan bersama dengan Pas? Kelihatan rentak PKR agak lambat sedikit, di mana Naib Presiden parti itu, Rafizi Ramli hanya menggesa Pas dan DAP supaya berbaik semula. Beliau langsung tidak mengecam Pas.



KERATAN akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 21 November 2015.

Adakah PKR masih tidak sedar akan tindak tanduk Pas yang tidak sesuai langsung sebagai sebuah parti pembangkang? Misalnya, Abdul Hadi bertekad tidak menolak pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sikap Abdul Hadi itu, membuatkan ramai orang dapat meramalkan perkembangan seterusnya pada masa akan datang, sama ada Pas akan melawan UMNO atau tidak. Perkara itu mengesahkan lagi kata-kata Guan Eng bahawa Najib telah berjaya menarik sokongan Pas.

PKR pula mengambil sikap mendiamkan diri dan menyorok. Mereka masih lagi memantau perkembangan semasa sebelum menyatakan pendirian secara jelas.

Walaupun Abdul Hadi telah menyatakan Pas tidak akan masuk BN, tetapi perlakuan dan beberapa kenyataan beliau selepas itu adalah sebaliknya. Ini menyebabkan mereka yang ‘bodoh sedikit’ tidak jelas mengenai pendirian sebenar Pas.

Pas umpama seekor sotong, setiap kali rasa terancam akan terus mengeluarkan cecair hitam, supaya semuanya kelihatan tidak nampak dan kelam-kabut.

Jika PKR masih berharap Pas akan berpatah balik untuk bergabung dengan pakatan pembangkang, penulis berpendapat itu hanyalah satu mimpi kerana parti berkenaan sudah lama tidak mahu berbuat demikian.

Akhirnya, selepas Pas secara terbuka menyatakan tidak akan bersama pakatan pembangkang, sudah pasti PKR akan menangis teresak-esak sehingga air mata melimpah jatuh ke bumi kerana membuat keputusan tidak tepat untuk terus mempercayai parti itu.

POLEMIK HAD JAWATAN KETUA MENTERI

AKHBAR China Press bertarikh 24 November 2015 menyiarkan artikel mengenai keengganan DAP menerima cadangan seorang Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu supaya tempoh jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dihadkan.

Artikel yang ditulis oleh Lai Shao Kwang bertajuk ‘Pulau Pinang mahu pinda perlembagaan negeri jawatan Ketua Menteri seumur hidup’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C13.

ADUN DAP dari Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu pernah mengusulkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2013 supaya jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Baru-baru ini, semasa sidang DUN Pulau Pinang, beliau sekali lagi mengemukakan usul hampir sama, cuma mahu jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada tiga penggal.

Sudah tentu tiada seorang pun ADUN DAP yang berani bangun untuk menyokong usul berkenaan. Malah mereka takut membincangkan perkara itu ketika minum di kedai kopi atau semasa masuk tidur dengan isteri di atas katil.

Sikap ADUN DAP ini seolah-olah terdapat orang di sebalik dinding yang sedang mendengar apa yang mereka bincangkan atau terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dan anggota penguat kuasa yang sedang mengawasi mereka.

Jika tersilap cakap, laporan akan sampai kepada Guan Eng. Mereka akan berdepan dengan tindakan disiplin daripada parti, terpaksa tinggalkan DUN dan balik kampung untuk menanam ubi kayu sahaja.

Sehubungan itu, kita tertanya-tanya kenapa Yee Cheu begitu berani mengemukakan usul berkenaan. Jika pelakon Hong Kong, Stephen Chow mengetahui perkara ini, sudah pasti beliau akan tunduk hormat kepada ADUN berkenaan kerana begitu berani dan hebat.

Walaupun cadangan itu telah banyak kali dibuat semasa sidang DUN, pemimpin tertinggi DAP tidak pernah membuat sebarang kenyataan menyokong usul berkenaan. Sebaliknya, mereka hanya memberi alasan terdapat halangan undang-undang dan perkara itu tidak dibincangkan secara formal di peringkat parti terlebih dahulu.

Kita akui DAP kebangsaan pernah mengeluarkan manifesto pilihan raya sebelum menang di Pulau Pinang untuk mengehadkan jawatan Ketua Menteri, tetapi saranan itu hanya ditujukan kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang dikatakan lemah dan bukan pemimpin serba berkebolehan seperti Guan Eng.

Dalam pada itu, penulis masih menunggu apakah bentuk tindakan yang akan dikenakan DAP terhadap Yee Cheu? Jika beliau tidak dipecat daripada DAP, langkah itu sudah tentu sesuatu yang cukup luar biasa bagi parti yang dikatakan mengamalkan demokrasi.

Tetapi dikatakan Yee Cheu masih berpeluang membersihkan diri. Beliau perlu segera mengemukakan usul dalam sidang DUN supaya jawatan Ketua Menteri dilanjutkan seumur hidup.

Orang ramai memang ternanti-nanti berlaku perkara luar biasa seperti itu di Pulau Pinang. Parti yang memerintah negeri itu boleh bertukar tetapi jawatan Ketua Menteri tidak boleh bersilih ganti.

Tags: politik
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Perlukah Menyuruh Mereka Meletak Jawatan?

    Maka dengan ini ‘sila letak jawatan’ merupakan catatan di media. Kegagalan para Menteri (termasuk Menteri Kanan) , ahli Parlimen yang…

  • Keserasian Pasukan Negara?

    Pasukan Harimau Malaya kini sedang bersiap sedia untuk kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang baki pusingan keduanya akan disambung di…

  • Keserasian dalam pasukan bola, politik

    Pasukan Hari Malaya kini sedang bersiap sedia ke Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang baki pusingan keduanya akan disambung di Dubai,…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments