kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menyelusuri sejarah Negeri Sembilan 1898 , Ketua negeri tidak bergelar Sultan

Ketua negeri tidak bergelar sultan

TIDAK seperti ketua pemerintah di negeri lain yang bergelar raja atau sultan, Negeri Sembilan menggunakan gelaran Yang Dipertuan Besar.



Yang Dipertaun Besar, Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni Tuanku Antah (1888)

Ada pendapat menyatakan kemungkinan gelaran Yang Dipertuan Besar disebabkan pengaruh dari kesultanan Palembang yang wujud dalam masyarakat Minangkabau. Kesultanan Palembang dikatakan mula-mula membahasakan Yang Dipertuan kepada rajanya yang membawa maksud raja yang dituankan itu adalah dijemput.

Penggunaan gelaran itu di Negeri Sembilan menurut Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali ada kisah dan sejarahnya yang selalunya dimulakan dengan kehadiran seorang anak raja dari Minangkabau yang bergelar Raja Melewar.

“Namun, sebelum pertabalan Raja Melewar, sudah ada raja Minangkabau yang menduduki takhta negeri tersebut iaitu Raja Adil, Raja Kasab dan Raja Khatib.

“Sejarah awal kehadiran raja berkenaan ke Negeri Sembilan bagaimanapun tidak jelas namun, ada catatan yang menyatakan mereka sudah berada di negeri tersebut,” katanya.

Menjadi tanda tanya mengapa negeri yang sudah ada raja, penghulu atau undang sebelum ini memerlukan seseorang untuk mengetuai luak-luak ini dan menjadi Yam Tuan (sebelum gelaran Yang Dipertuan) di Negeri Sembilan.

Dalam hal ini, Dr. Abdullah berkata, ia sering kali dikaitkan dengan kebimbangan masyarakat dan pembesar keturunan Minangkabau terhadap perkembangan pengaruh dan kuasa orang Bugis yang bertapak di Linggi bermula pada 1722.

“Opu Bugis lima bersaudara iatu Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi dikatakan membantu nelayan Bugis yang berselisih dengan pengikut-pengikut penghulu Linggi.

“Penghulu Linggi yang menyedari tidak mampu menentang angkatan Bugis lima bersaudara itu kemudian meminta bantuan Raja Kechil yang menduduki takhta kerajaan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.

“Bagaimanapun, ketika perang di Linggi, Raja Kechil telah dikalahkan dan terpaksa berundur ke Siak sementara Johor ditawan kembali oleh Opu Bugis lima bersaudara. Maka bertapaklah Bugis di Linggi. Oleh sebab itu, sehingga kini kebanyakan yang duduk di Linggi berketurunan Bugis,” katanya.

Penguasaan Bugis di Linggi mencetuskan kebimbangan, sekali gus mendorong Penghulu dan Undang mengambil keputusan menjemput seorang anak raja dari Pagar Ruyung untuk ditabalkan sebagai raja di Negeri Sembilan.

Raja Melewar tiba di Negeri Sembilan dan ditabalkan sebagai Yang Dipertuan di Penajis, Rembau pada 1773 dan seterusnya bersemayam di Seri Menanti.

“Raja Melewar bagaimanapun tidak menjadi pengasas kepada kerajaan Negeri Sembilan meskipun mempunyai putera, namun keturunannya tidak dilantik sebagai Yang Dipertuan ketika itu.

“Para pembesar bermesyuarat dan membawa seorang lagi anak raja dari Pagar Ruyung yang dikenali sebagai Raja Hitam untuk menduduki takhta kerajaan. Keturunan Raja Hitam juga tidak mewarisi pemerintahan kerajaan itu dan sekali lagi pembesar menjemput anak raja lain dari Pagar Ruyung iaitu Raja Lenggang.

“Raja Lenggang kemudian menjadi pengasas kerajaan Negeri Sembilan kerana puteranya Tunku Radin menjadi Yang Dipertuan Besar (1830) diikuti puteranya yang kedua, Tunku Imam (1861 hingga 1869),” katanya.

Pertabalan Tunku Radin sebagai Yang Dipertuan Besar menggantikan ayahnya menunjukkan berakhirnya penjemputan anak-anak raja dari Minangkabau menduduki takhta di Negeri Sembilan.


Menyelusuri sejarah Negeri Sembilan

SUATU ketika dahulu sebelum terbentuknya Negeri Sembilan, negeri itu dikatakan merupakan sebuah wilayah yang berada di bawah naungan pemerintahan kerajaan Johor. Di wilayah tersebut, terdapat beberapa buah luak atau daerah yang diketuai penghulu dan dibantu oleh Datuk Lembaga serta Buapak.

Penghulu yang mengetuai setiap luak memperolehi kuasa atau mandat daripada Sultan Johor. Negeri Sembilan dikatakan memiliki sejarah penubuhan yang kompleks, bukan sahaja dari segi adat, malah geografi.

Kediaman Dato' Kelana Sungai Ujong, Syed Abdul Rahman pada 1874. Sumber Arkib Negara

Sebagaimana dibayangkan oleh namanya, Negeri Sembilan merujuk kepada persekutuan sembilan negeri yang menjadi sebuah kesatuan politik. Namun, wujud pelbagai tanggapan berbeza mengenai bilangan luak dan daerah di Negeri Sembilan. Malah masih belum jelas, luak mana pada asalnya yang bergabung untuk membentuk Negeri Sembilan.

Berdasarkan salah satu catatan sejarah, Negeri Sembilan pada peringkat awal dikatakan terdiri daripada sembilan negeri atau luak iaitu Sungai Ujong, Rembau, Johol, Jelebu, Naning, Kelang (kini Klang), Hulu Pahang, Jelai dan Hulu Muar.

Daripada sembilan negeri itu, dua luak menjadi perbahasan tentang kedudukannya dalam Persekutuan Negeri Sembilan iaitu Hulu Pahang dan Jelai. Persoalan yang seringkali dibangkitkan ialah jarak kedudukannya dengan luak-luak lain di Negeri Sembilan adalah jauh dan terpinggir.

Dalam pada itu, kedudukan Kelang juga menjadi perbahasan. Persoalan Jelai diselesaikan dengan pernyataan kedudukannya bukanlah Jelai dalam Pahang tetapi Inas (Jelai) yang kini sebahagian daripada Seri Menanti.

Seringkali dinyatakan dalam sejarah, Melaka menguasai negeri Melayu. Begitu juga apabila kerajaan Johor meneruskan keagungan Kesultanan Melaka, kerajaan Johor pula menguasai negeri Melayu.





PINTU gerbang Bandar Diraja Istana Seri Menanti.

Ketika kerajaan Johor dalam keadaan kucar-kacir dan lemah, negeri naungan Johor telah membebaskan diri daripada kerajaan Johor. Pada 1708, Putera Bendahara Padang Saujana, Tun Habib Abdul Majid iaitu Tun Zainal Abidin mengasaskan kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Zainal Abidin I.

Diikuti Selangor yang membebaskan diri daripada Johor apabila Putera Yang Dipertuan Muda Johor, Daeng Chelak iaitu Raja Lumu mendapat daulat daripada Sultan Perak, Sultan Mahmud Shah. Raja Lumu kemudian mendirikan kerajaan Selangor pada 1766 dengan gelaran Sultan Salehuddin Syah. Kelantan dan Negeri Sembilan turut sama membebaskan diri daripada naungan Johor sekitar 1770-an.

Tahun 1773 merupakan permulaan kerajaan Negeri Sembilan, apabila raja dari Pagar Ruyung iaitu Raja Melewar dijemput pembesar-pembesar dan ditabalkan sebagai pemerintah dengan gelaran Yam Tuan atau Yang Dipertuan Besar.

Bagaimanapun menurut Felo Penyelidik Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali (gambar), terdapat beberapa luak yang keluar dari negeri itu, antaranya Kelang yang menyertai Selangor, manakala Hulu Pahang dan Jelai memasuki Pahang dan Hulu Muar menjadi sebahagian daripada Segamat.

“Naning pula ditakluki British pada 1832 dan menjadi sebahagian daripada Melaka. Jadi, yang tinggal Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol,” ujarnya.

Negeri Sembilan berpecah buat seketika pada 1869 berikutan perebutan kuasa di antara putera Yam Tuan Besar Raja Radin, Tunku Antah dengan putera Yam Tuan Besar Raja Imam, Tunku Ahmad Tunggal, sekali gus menyebabkan berlakunya huru-hara di Rembau.

Pelbagai usaha kemudian dilakukan oleh para pembesar untuk mencantumkan semula luak yang berpecah, namun tidak berhasil. Proses itu hanya berjaya dilakukan pada 1880-an yang menyaksikkan Gabenor Negeri-negeri Selat, Frederick Weld memainkan peranan ke arah penubuhan Negeri Sembilan sebagai sebuah unit politik.

Menurut Abdullah, menjelang 1895, sebuah perjanjian ditandatangani di antara Yang Dipertuan Besar Seri Menanti, Undang Johol, Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Rembau dan Tunku Besar Tampin dengan Gabenor Negeri-Negeri Selat.

“Di dalam perjanjian itu, undang bersetuju membentuk sebuah negeri disebut sebagai persekutuan dan dikenali dengan nama Negeri Sembilan dan menerima seorang Residen British sebagai penasihat,” katanya.

Luak Jempol, Luak Inas, Luak Gunong Pasir dan Luak Terachi juga dimasukkan ke dalam Negeri Sembilan, namun penghulu mereka bebas menjalankan pentadbiran masing-masing.

Kedudukan Negeri Sembilan sekali lagi mengalami perubahan apabila pada 1895, Sungai Ujong dan Jelebu yang sebelumnya bernaung di bawah British memasuki persekutuan negeri tersebut.

Dr. Abdullah berkata, Negeri Sembilan kemudian menyertai Perak, Selangor dan Johor menandatangani Perjanjian Persekutuan menjadi salah sebuah negeri dalam Negeri Melayu Bersekutu pada 1895 dan ditadbir oleh Residen Jeneral yang berpusat di Kuala Lumpur.

Sungguhpun Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri yang rasmi, namun daerah hanya terdiri daripada enam sahaja iaitu Seri Menanti, Rembau, Johol, Sungai Ujong, Jelebu dan Tampin.

Tahun 1898 menyaksikan Undang yang empat iaitu Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Rembau dan Undang Johol menurunkan tandatangan bagi mengiktiraf Tunku Muhammad sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama.



Negeri Sembilan sebelum 1898

PERBILANGAN tersebut antara perbilangan yang ada dalam sistem masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan yang jelas menunjukkan bagaimana sistem sosial berhubung dengan nilai adat itu sendiri.

Ia juga menyatakan dengan jelas susunan pemerintahan adalah mengikut peringkat iaitu dari peringkat rendah ke peringkat tertinggi.

Berbeza dengan sistem politik di negeri-negeri Melayu lain, susunan politik di Negeri Sembilan dilihat mempunyai keunikannya tersendiri kerana sistem yang dilaksanakan diubahsuai berdasarkan sistem masyarakat Minangkabau.

Meskipun keseluruhan sistem yang dilaksanakan berasal dari Minangkabau, namun sistem tersebut mengalami proses transformasi yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat tempatan.





Oleh Rozianah Risman Foto: Aswad Yahya

Sementara itu, Negeri Sembilan pada peringkat awal dirujuk sebagai gabungan sembilan buah negeri atau luak. Namun, kini Negeri Sembilan hanya dianggotai tujuh daerah sahaja iaitu Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Jelebu, Seremban (dahulunya Sungai Ujong), Port Dickson dan Jempol.

Berkeluasan kira-kira 6,645 kilometer persegi, Negeri Sembilan terletak bersempadanan Selangor di barat laut, Pahang di utara, Melaka di selatan, Johor di tenggara dan Selat Melaka di barat negeri itu.

Menyelusuri sejarahnya, sememangnya memerlukan kajian dan pemerhatian yang teliti memandangkan banyak perkara perlu diperincikan. Pelbagai sumber dan pendapat berbeza dikemukakan berhubung asal usul, sejarah dan perkembangan negeri yang mengamalkan Adat Perpatih itu.

Justeru, ada sebab mengapa Arkib Negara menganjurkan Majlis Polemik Sejarah Malaysia pada Ogos lalu yang menyentuh mengenai sejarah awal Negeri Sembilan. Matlamatnya tidak lain tidak bukan adalah untuk melakukan diskusi dan mengumpulkan hasil kajian sejarah yang berkaitan untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Berkesempatan mengikuti majlis polemik itu memberi peluang kepada wartawan S2, ROZIANAH RISMAN dan jurugambar, ASWAD YAHYA menyelami perjalanan sejarah Negeri Sembilan dalam pelbagai aspek merangkumi sistem sosial dan politik.

Tags: sejarah, sultan
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments