Identiti perlu diperhalusi
DALAM membicarakan konsep Adat Perpatih, masyarakat perlu menyentuh tentang kepentingan budaya asal yang diubah untuk dijadikan budaya bersama rakyat Negeri Sembilan.
Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin berkata, ia penting bagi mewujudkan identiti rakyat majmuk bersifat seragam.
“Masyarakat Negeri Sembilan merupakan sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, adat dan budaya. Justeru, keputusan yang telah dicapai tentang identiti Negeri Sembilan perlu diperincikan lagi supaya ia lebih tepat,” katanya.
Dr. Mohd Rosli Saludin |
Misalnya, keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan pada 19 November 1997 telah menetapkan identiti negeri itu merangkumi rakyat jelata, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, persatuan, peniaga dan sebagainya.
“Identiti yang dinyatakan termasuklah dari segi adat di dalam Adat Perpatih itu, bangunan, bunga, haiwan, juadah, kuih-muih, lagu, lambang, minuman, masakan, muzik, pakaian, permainan, senjata, tarian, produk kraftangan dan buah tangan.
“Identiti tersebut perlu dibahaskan lagi agar tidak timbul kekeliruan pada masa hadapan. Ini kerana adat di Negeri Sembilan dilihat oleh masyarakat daripada sistem nilai yang berbeza,” katanya.
Identiti pertama yang ada kaitan dengan adat adalah Adat Perpatih itu sendiri yang menjadi pegangan masyarakat di Negeri Sembilan. Ia perlu dijelaskan dengan sewajarnya supaya tidak hanya ditekankan kepada adat Minangkabau sahaja. Peranan adat Orang Asli dan Adat Orang Asal juga menonjol dan perlu diperjelaskan bersama.
Sebelum Raja Lenggeng menjadi Yam Tuan, Negeri Sembilan didominasi oleh Orang Asal dan Orang Asli. Apabila berlaku perlanggaran, pengukuhan dan keunggulan, didapati Adat Perpatih Negeri Sembilan semakin unik dan berbeza dengan Adat Minangkabau.
Mengambil contoh seterusnya identiti kedua iaitu dari segi bangunan dilihat kurang tepat kerana rumah tradisional yang berbumbung lentik merupakan rumah yang menerima pengaruh dari Minangkabau, bukannya Negeri Sembilan. Identiti Negeri Sembilan yang sebenarnya ialah Rumah Bumbung Panjang sebagaimana yang terdapat di Jumbang, Mertang, Seri Menanti dan beberapa tempat di Kuala Pilah.
“Begitu juga dengan identiti bunga tanjung. Adakah bunga tanjung merupakan identiti Negeri Sembilan atau ada negeri lain yang telah gunakan? Identiti dari segi haiwan iaitu kerbau memang dipersetujui, bagaimana pula dengan juadah seperti lemang. Semua negeri mempunyai lemang, jadi lemang Negeri Sembilan pula bagaimana?
“Kuih-muih seperti penganan dan cucur pula bagaimana? Di Sabah juga mempunyai cucur dan apa bezanya dengan cucur Negeri Sembilan? Seterusnya apa beza penganan dengan dodol? Jadi, semua itu perlu diperincikan,” ujarnya.
Dari segi lambang perlu diperjelaskan Istana Seri Menanti tidak menerima pengaruh Minangkabau atau pengaruh istana Pagar Ruyung sebagaimana dikatakan oleh pihak tertentu.
“Ini kerana Istana Pagar Ruyung setinggi tiga tingkat, sementara Istana Seri Menanti pula empat tingkat. Istana Seri Menanti dibina oleh tukang Melayu iaitu Tukang Kahar dan dibantu Tukang Taib,” katanya.
Sementara itu, menyentuh matlamat majlis polemik sejarah Malaysia berkenaan sejarah awal Negeri Sembilan, Ketua Pengarah Arkib Negara, Azemi Abdul Aziz berkata, program tersebut membolehkan para ilmuan dan sejarawan berbincang dan mengemukakan hasil kajian serta penemuan fakta sejarah baharu.
Segala penemuan fakta baharu dalam pengkajian sejarah negara perlu diketengahkan supaya kebenaran dapat ditegakkan dan sejarah negara diletakkan di landasan sewajarnya.
Kajian dan pentafsiran ini semestinya dilihat dari sudut pandangan pengkaji dan sejarawan agar sesuatu kejadian atau peristiwa sejarah dapat ditonjolkan berdasarkan persepsi anak watan demi menegakkan keutuhan dan martabat bangsa.
Dengan ini, masyarakat akan memperoleh gambaran dan persepsi yang lebih adil dan seimbang di samping dapat meningkatkan imej serta kewibawaan bangsa.
Keunikan Adat Perpatih
UMUM mengetahui keunikan masyarakat Negeri Sembilan terletak pada Adat Perpatih yang diamalkan sejak zaman-berzaman dan diturunkan dari satu generasi ke satu generasi secara lisan.
Adat yang berasal dari tanah Minangkabau di Sumatera, Indonesia itu dicipta oleh masyarakat Minangkabau yang diasaskan oleh seorang putera raja di Padang, Pagar Ruyung yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang.
UNDANG Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, menyerahkan keris kepada Tok Menti Nor Ehzan Maah, Buapak Suku Biduanda Sedia Raja Kampung Bukit, pada majlis Istiadat Menyalang Datuk- Datuk Lembaga dan Buapak Suku Biduanda Waris Nan Dua Carak Luak Rembau yang diadakan pada 2006 di Kediaman Rasmi Undang Luak Rembau, Rembau, Negeri Sembilan. |
Mengikut perbilangan Adat Perpatih ‘Adat menimbulkan yang baik,menghilangkan yang buruk’ Demikian antara nilai-nilai yang ingin ditonjolkan di dalam Adat Perpatih yang berperanan sebagai satu peraturan sistematik dan berteraskan keharmonian masyarakat.
Adat perpatih yang mula diamalkan pada kurun ke-13 itu bertujuan untuk mengurangkan konflik dan membentuk kehidupan masyarakat yang harmoni, berintegrasi dan membangun.
Adat bukan sekadar cara bersanding, cara menyantap hidangan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi adat merupakan satu peraturan hidup yang perlu dipegang kuat dan dipertahankan sehingga hari ini.
Di dalam kertas kajian bertajuk Adat dan Undang-undang, Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin menyatakan terdapat empat jenis adat yang telah dipakai oleh masyarakat dalam Adat Perpatih iaitu ‘adat nan sebenar adat’, ‘adat nan diadatkan’, ‘adat nan teradat’ dan ‘adat istiadat’.
Adat nan sebenar adat ialah sesuatu yang harus menurut alur dan patut, menurut agama, menurut kemanusiaan, menurut empat dan menurut masa. Adat ini juga dikatakan yang diterima daripada hukum syarak. Berdasarkan hukum itulah diambil sah dan batal, halal dan haram, sunat dan fardhu, dakwa dan jawab, serta saksi dan bainah.
Adat nan diadatkan pula merupakan adat yang berlaku secara umum dalam Adat Perpatih dan adat yang di Minangkabau itu sendiri. Umpamanya harta pusaka kaum diturunkan mengikut nasab ibu, sedangkan harta pencarian diwariskan kepada anak-anak daripada orang tua mereka.
Anak-anak dari alam adat Perpatih ini secara automatik akan menjadi suku ibunya dan bukan suku bapanya. Sebagai contoh sekiranya si ibu bersuku Caniago, maka kesemua anaknya akan menjadi suku Caniago.
Adat nan teradat (adat yang teradat) pula merujuk kepada adat yang tumbuh dan terjadi kerana kebiasaan masyarakat yang bukan hasil daripada musyarawarah para pemangku adat.
Misalnya jika bertandang ke rumah orang, lazim mengucapkan salam terlebih dahulu. Jika dalam sesuatu jamuan, apabila selesai makan sebelum orang lain siap, kita tidak boleh terus mencuci tangan tetapi menunggu orang lain selesai makan.
Kesimpulannya, semua kebiasaan yang berkembang kerana tiru-meniru dan perkara yang tidak diharuskan oleh adat dan agama tergolong dalam kategori adat nan teradat.
Akhir sekali, adat istiadat disebut merupakan adat yang dilakukan secara naluri. Sebagai contoh, orang tua lebih menyayangi cucu-cucunya berbanding anak-anaknya. Secara naluri kita menghormati orang-orang yang lebih tua daripada kita.
Ada pandangan lain menyatakan adat yang ada sebelum Islam diterima oleh masyarakat, bukan hukum alam termasuk juga dalam kategori adat istiadat. Misalnya, sebuah negeri harus adanya masyarakat, mempunyai tempat mandi, memiliki jalan yang lebar, gelanggang untuk keterampilan kesenian negeri dan balai adat sebagai tempat untuk bermusyawarah.
Asal usul penghulu dan undang
SEPERTI negeri-negeri Melayu yang mempunyai sistem pembesar, Negeri Sembilan juga mengamalkan sistem yang sama, namun gelaran yang diberikan adalah berbeza. Istilah yang digunakan ialah penghulu dan undang.
Sebelum kedatangan Inggeris, gelaran undang ialah penghulu. Gelaran penghulu masih kekal hingga kini tetapi hanya wujud di luak Tanah Mengandung.
Sementara itu, undang mengetuai luak Jelebu, Johol, Rembau dan Sungai Ujong, manakala Tunku Besar mentadbir wilayah Tampin.
TUNKU Besar Tampin Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri menganugerahkan sepersalinan pakaian kepada Ketua Pembesar Balai Nan Lapan Luak Tampin Datuk Panglima Raja Ali Omar dalam Istiadat Menghadap Pembesar Balai Luak Tampin pada 2008. - GAMBAR HIASAN |
Menyelusuri sejarah penghulu dan undang, terdapat pelbagai versi yang dikemukakan pengkaji. Riwayat yang terkenal dalam kalangan penduduk Rembau iaitu Teromba mengaitkannya dengan Bendahara Sekudai atau Batin Sekudai yang tinggal di Rembau.
Batin Sekudai mempunyai tiga anak perempuan iaitu Tok Mudik, Tok Mengkudu dan Tok Bungkal. Tok Bungkal yang berkahwin dengan Ketua Minangkabau, Tok Lela Balang yang berasal dari Batu Hampar, Sumatera melahirkan keturunan Lela Maharaja Rembau.
Penghijrahan Tok Lela Balang sebelum itu bersama rombongan berasal dari Batu Hampar dan Mungkal sementara saudaranya, Tok Laut Dalam mengetuai rombongan yang berasal dari Paya Kumboh dan Tiga Nenek.
Setelah kedua-dua Tok Lela Balang dan Tok Laut Dalam mendapat kurnia daripada Sultan Johor, mereka menubuhkan Persatuan Lembaga Yang Empat di Baruh yang terdiri daripada Lembaga Lela Maharaja, Tok Lela Balang, Sedia Raja Tok Laut Dalam, Suku Mungkal dan Tiga Nenek.
Meskipun taraf kuasa keempat-empat lembaga ini adalah sama, namun taraf tertinggi adalah martabat Lela Maharaja dan Sedia Raja. Dalam pada itu, perkahwinan Tok Bungkal dengan Tok Lela Balang melahirkan tiga orang puteri dan seorang putera bernama Seri Rama.
Memandangkan Adat Perpatih menetapkan hak waris di sebelah ibu, maka Seri Rama dilantik sebagai penghulu. Sultan Johor kemudian melantik Seri Rama sebagai Undang Rembau dengan gelaran Dato’ Lela Maharaja.
Tok Laut Dalam bagaimanapun cemburu dengan Tok Lela Balang kerana Seri Rama dilantik sebagai Undang Rembau. Dia juga berharap keturunan Jawa sebelah isterinya diberi peluang seperti waris sebelah perempuan Jakun.
Tok Laut Dalam berangkat ke Johor menghadap sultan memohon keturunannya dari sebelah perempuan diberikan peluang yang sama. Sejurus selepas Sultan Johor memperkenankan permohonannya, Tok Laut Dalam kemudian mengahwinkan puteri sulungnya (Siti Hawa) dengan Dato’ Undang Seri Rama.
Pelantikan Undang Rembau kemudian ditetapkan secara bergilir di antara keturunan sebelah perempuan anak cucu Tok Lela Balang dan keturunan sebelah perempuan yang berkahwin dengan Undang Seri Rama.
Keturunan Tok Laut Dalam bergelar Sedia Raja. Oleh kerana moyang lelaki sebelah Sedia Raja bukan keturunan perempuan berdarah suku biduanda menyebabkan Waris Jakun merasa lebih tinggi darjat berbanding Waris Jawa.
Sementara itu, pengkaji barat, T.J NewBold menyatakan penghulu dan undang di Negeri Sembilan berasal dari Minangkabau.