kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cuti sekolah bukannya cuti membaca

KETIKA jerebu melanda negara pada September hingga Oktober lepas, ramai ibu bapa merungut apabila anak-anak mereka diberi cuti. Mereka sangat bimbang kerana tidak tahu hendak diletak di mana anak-anak mereka jika sekolah bercuti. Mahu tidak mahu ada antara ibu bapa yang turut bercuti kerana tidak mahu membiarkan anak-anak di rumah tanpa pengawasan bagi mereka yang tiada pembantu rumah.

Lain pula apabila cuti sekolah panjang begini. Tidak ada pula yang merungut kerana mungkin ibu bapa mempunyai perancangan sendiri untuk anak-anak mereka sepanjang cuti persekolahan yang lama ini. Ada yang bercadang hendak pergi berkelah, melancong, pulang ke kampung menemui sanak-saudara, datuk nenek dan sebagainya.

Itu bagi yang ada kampung halaman. Bagi yang memang kampung halamannya di bandar, masa cuti panjang begini memang mencabar. Kalau ibu bapanya bukan guru, memang pening kepala hendak memikirkan aktiviti untuk anak-anak terutama bagi yang meningkat remaja. Tambahan pula, di bandar mempunyai pelbagai tarikan yang menyebabkan anak-anak remaja ini susah hendak lekat di rumah.

Anak-anak yang mudah terpengaruh dengan kejutan budaya di luar rumah akan mudah melangkah keluar dari rumah jika ibu bapa tidak ada di rumah sepanjang cuti persekolahan ini. Inilah yang dibimbangkan oleh ibu bapa apatah lagi pelbagai masalah sosial membabitkan golongan remaja hebat diperkatakan ketika ini.

Anak-anak remaja yang suka menghabiskan masa di kafe siber tanpa pengawasan tambah membimbangkan ibu bapa apatah lagi bagi sesetengah kafe siber yang lebih mementingkan keuntungan dengan membenarkan anak-anak bawah umur memasuki premis mereka.

Dalam menangani masalah ini, kita amat berterima kasih kepada pihak-pihak tertentu untuk membantu ibu bapa yang menghadapi masalah berkaitan anak-anak pada musim cuti persekolahan ini. Ada pihak yang menawarkan pelbagai kursus yang boleh diikuti oleh murid-murid sekolah yang bercuti panjang, tidak kira bagi mereka yang bersekolah rendah mahupun menengah.

Seminggu sebelum cuti sekolah, sudah ada yang menaikkan kain rentang menawarkan pelbagai jenis kursus, kem motivasi dan sebagainya untuk diisi oleh anak-anak sekolah rendah dan menengah. Walaupun semua ini memerlukan duit ringgit, tetapi inilah satu alternatif bagi ibu bapa untuk mengisi masa cuti anak-anak mereka.

Bagi ibu bapa yang ada kampung halaman, anak-anak mereka bolehlah dihantar ke kampung tinggal bersama datuk dan nenek atau saudara-mara untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Jika ibu bapa mempunyai masa, mereka bolehlah bercuti bersama anak-anak di kampung sehari dua.

Sama ada ibu bapa atau anak-anak, mereka tidak boleh menganggap bahawa cuti sekolah bermakna buku pun turut bercuti. Sebelum cuti, anak-anak sudah pun mendapat buku teks untuk tahun hadapan dan semua ini boleh dibaca pada masa cuti yang panjang ini.

Sebagai mengisi masa, anak-anak mesti digalakkan ke perpustakaan untuk membaca, membuat rujukan dan sebagainya. Ibu bapa juga mestilah membeli bahan-bahan bacaan untuk anak-anak supaya mereka dapat mengisi masa di rumah dengan kerja-kerja berfaedah. Oleh itu, cuti sekolah bukanlah cuti membaca.

Bagi ibu bapa yang tentunya mempunyai tabungan untuk pendidikan anak-anak, anak-anak boleh dihantar ke pusat tuisyen memandangkan kebanyakan kelas tuisyen tidak bercuti dalam memberikan khidmat tuisyen kepada murid-murid sekolah.

Di pihak masyarakat, persatuan penduduk di sesuatu kawasan mestilah merangka dan menjalankan pelbagai aktiviti untuk mereka ini. Contohnya, penganjuran pelbagai jenis sukan dapat membantu mengisi masa cuti mereka dengan gaya hidup sihat. Aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong juga boleh diadakan dengan tujuan mendekatkan diri anak-anak muda dengan program-program yang sihat.

Perancangan musim cuti sekolah untuk anak-anak sangat penting supaya masa cuti ini diisi dengan perkara-perkara berfaedah. - M. Jasni Majed Utusan Malaysia Rencana 30 November 2015 6:20 PM

Tags: cuti, membaca, sekolah
Subscribe

Posts from This Journal “cuti” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments