kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Peluang kerja dan dilayan secara adil

LAPORAN dari World Report on Disability 2011 yang dihasilkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia menyatakan bahawa kira-kira 15% daripada rakyat sesebuah negara terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU). Oleh itu, golongan ini ialah sebahagian daripada masyarakat kita.

Di Malaysia, OKU didefinisikan mengikut Akta OKU 2008 seperti berikut: “Orang kurang upaya termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat pe­nyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat”.



KALSOM MOHD. (kiri) bersama anaknya Norila Nasaruddin menunjukkan Anugerah Ibu Bapa Mithali yang diterimanya pada Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, kelmarin. UTUSAN/HALIM KHALID

Sebagai menteri yang menjaga kesejahteraan dan kebajikan OKU, saya memperjuangkan agar OKU mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat lain dan tidak bergantung kepada simpati dan belas ihsan daripada masyarakat semata-mata. Pende­katan berasaskan hak atau rights-based adalah perlu bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan komuniti OKU di Malaysia.

Golongan OKU adalah salah satu kumpulan sasar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Dalam memastikan golongan OKU dapat terus membangun dan menyumbang kepada negara, penyediaan peluang pekerjaan yang sama seperti anggota masyarakat lain adalah penting bagi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Sehubungan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi di bawah KPWKM selaku focal agency telah melaksanakan Program Per­khidmatan Job Coach untuk mening­katkan penyertaan golongan OKU di dalam pasaran pekerjaan terbuka. Ini bertujuan bagi memastikan golongan OKU dapat hidup berdikari, berpeluang untuk pe­nyertaan penuh dalam masyarakat dan sete­rusnya menyumbang tenaga kepada pembangunan negara.

Program Perkhidmatan Job Coach

Program Perkhidmatan Job Coach telah dikenal pasti sebagai satu sistem sokongan pekerjaan bagi membantu OKU keluar bekerja. Di Amerika Syarikat (AS,) OKU dibantu untuk mendapat pekerjaan melalui program ini sejak 1986. Statistik menunjukkan pada 1986 seramai 9,000 OKU mendapat manfaat daripada program ini dan ini meningkat kepada 140,000 OKU pada 1995 manakala pusat yang menyediakan perkhidmatan ini pula meningkat kepada 3,600 buah pusat pada 1995 berbanding 300 buah pada 1986.

Menyedari kejayaan yang dicapai di AS ini, Jepun telah mengikut jejakdan turut memperoleh kesan yang memberangsangkan dalam kalangan OKU. Sehubungan itu, Japan International Coorporation Agency (JICA) telah memperkenalkan program ini di Malaysia bagi membantu OKU mendapat kerja melalui fasa yang merangkumi sebelum, semasa dan selepas memperoleh peluang pekerjaan.

Dengan adanya sokongan Job Coach, OKU bukan sahaja akan berpeluang bekerja tetapi yang paling penting adalah untuk kekal dalam pekerjaan. Peranan Job Coach adalah untuk membantu OKU, majikan dan juga rakan sekerja bagi mewujudkan satu persekitaran pekerjaan yang kondusif bagi OKU.

Bagi tujuan ini, JKM dengan kerjasama JICA menjalankan Projek untuk Menyokong Penglibatan Pekerjaan OKU dari 1 September 2009 hingga 31 Ogos 2015 yang melibatkan dua fasa pelaksa­naan. Dalam fasa pertama iaitu fasa pembangunan bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman kepada agensi dan kakitangan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Lembah Klang manakala fasa pelaksanaan pula bertujuan memperluaskan latihan dan kefahaman seluruh Malaysia serta menjalankan sokongan pekerjaan kepada golongan OKU melalui Program Perkhidmatan Job Coach.

Projek ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif golongan OKU dalam masyarakat di dalam semua aspek termasuk aspek pekerjaan. Usaha ini dilakukan melalui pelaksanaan program Job Coach dan Disability Equality Training yang lebih teratur dan berterusan. Bagi menjamin usaha berterusan terhadap aksesibiliti OKU terhadap pekerjaan, satu bahagian baharu diwujudkan iaitu Bahagian Pembangunan Kerjaya dalam Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya mulai Februari 2014 untuk melaksanakan Program Perkhidmatan Job Coach di sam­ping memberi kesedaran mengenai ketidakupayaan melalui Disability Equality Training (DET).

Bahagian ini bertanggungjawab dalam aspek melatih lebih ramai Job Coach yang terdiri daripada pegawai JKM, pegawai sektor awam yang lain, Petugas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), NGO dan wakil syarikat atau majikan bagi membantu lebih banyak OKU mendapat pekerjaan.

Hingga Jun 2015, seramai 431 OKU menerima manfaat melalui Program Perkhidmatan Job Coach. Syarikat atau majikan yang mengajikan OKU juga meningkat kepada 241 buah syarikat manakala seramai 108 orang Job Coach menjalankan sokongan pekerjaan kepada OKU. OKU yang sedang mencari pekerjaan boleh memohon untuk mendapat khidmat Job Coach melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, PDK atau Pertubuhan Sukarela Kebajikan (NGO) di tempat tinggal masing-masing.

Keistimewaan 
Untuk OKU Bekerja

Terdapat pelbagai keistimewaan yang boleh dinikmati oleh OKU yang bekerja termasuk maji­kan yang menggaji dan melatih OKU bekerja. OKU yang bekerja dan berpendapatan di bawah RM1,200 sebulan layak diberi insentif seba­nyak RM350 sebulan daripada JKM. Ini adalah sebagai satu galakan untuk OKU mendapatkan pekerjaan dan terus kekal bekerja.

OKU juga layak mendapat pe­lepasan cukai tambahan melalui potongan cukai individu OKU iaitu sebanyak RM6,000 menjadikan jumlah perlepasan adalah sebanyak RM15,000 setelah dicampur de­ngan pengecualian cukai individu sebanyak RM9,000.

Majikan yang menggaji OKU pula mendapat pelbagai keistimewaan seperti potongan tambahan/lanjutan bagi menggaji OKU, potongan berganda bagi latihan yang diluluskan kepada pekerja OKU dan potongan tunggal bagi perbelanjaan pengubahsuaian premis perniagaan untuk kemudahan pekerja OKU.

Kerajaan amat bangga dan berterima kasih kepada pihak swasta atau majikan yang telah menyahut aspirasi dan menyokong usaha kerajaan dengan mengambil OKU bekerja melalui Program Perkhidmatan Job Coach ini. Antara majikan yang menggaji OKU adalah Mydin Holding Berhad, QSR Brands (M) Sdn Bhd (KFC, Pizza Hut, Aya­mas and Rasamas), Hotel InterContinental Group, Hotel Shangri La, VADS Bhd, Classita (M) Sdn. Bhd., GCH Retail (M) Sdn. Bhd. (Giant Supermaket), AEON Sdn. Bhd serta Mr. DIY. Namun terdapat juga syarikat-syarikat atau perusahaan-perusahaan di luar bandar yang turut mengambil OKU bekerja.

Sambutan Hari OKU

Setiap 3 Disember adalah tarikh sambutan Hari Orang Kurang Upaya yang diraikan bukan di peringkat negara sahaja tetapi juga adalah tarikh yang telah dipersetujui oleh Bangsa-Bangsa Bersatu 1992. Sambutan ini bertujuan mempromosikan kefahaman terhadap isu-isu ketidakupayaan dan menggembleng sokongan untuk melindungi maruah, hak serta kesejahteraan OKU. Ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran untuk mengintegrasikan OKU dalam pelbagai bidang termasuk politik, sosial, eko­nomi dan kebudayaan.

Sesuai dengan tema sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan pada tahun ini Inclusion Matter : Access and Empowerment of People of All Abilities, OKU adalah diharapkan mampu bersaing bersama orang upaya dan dilayan secara adil bagi membolehkan mereka menyumbang kepada aspirasi pembangunan negara.


AWANG menyokong penuh saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya semua 4.4 juta orang kurang upaya di negara kita didaftarkan segera dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan mereka menikmati apa juga kemudahan dan keistimewaan yang disediakan untuk mereka.

Langkah itu mustahak memandangkan ketika ini hanya 506,228 orang atau 11.5 peratus sahaja daripada golongan itu berdaftar dengan jabatan berkenaan yang banyak menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan bimbingan.

Peranan orang yang cukup upaya terutama dalam kalangan anggota keluarga terdekat amat penting dalam menjayakan usaha tersebut agar OKU ini dapat mengecapi kehidupan yang terbaik. Pemahaman yang betul serta sikap yang positif dalam kalangan ahli keluarga terdekat amat penting dalam usaha memastikan golongan OKU memperoleh kesamarataan peluang dan hak untuk hidup bermasyarakat. Dalam menjalani kehidupan, mereka tidak boleh dibiarkan atau terus bergantung kepada ihsan orang ramai.

Oleh itu, apa juga peluang yang wajar diberikan kepada OKU seperti kemudahan geran pelancaran perniagaan perlu disalurkan kepada mereka yang berkenaan. Mereka mempunyai hak yang sama untuk meneroka kehidupan demi kesejahteraan hidup. Dekatkanlah mereka dengan JKM.

AWANG - Beri peluang.

Tags: oku
Subscribe

Posts from This Journal “oku” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments