kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lapan dekad teh Cameron , Sejarah dinamik teh di Malaysia

Sejarah dinamik teh di Malaysia

LADANG teh pertama wujud di Tanah Melayu adalah sekitar akhir 1920-an. Ia dibuka oleh pihak British ketika mula-mula merancang membangunkan Cameron Highlands.

British ketika itu mahu menjadikan Cameron Highlands sebagai pusat istirehat bagi pegawai dan kakitangan warganegara itu yang berkhidmat di Tanah Melayu sekitar tahun 1900-an.

Perumahan pekerja Ladang Boh ketika di awal pembukaan di Cameron Highlands.
Jadi, mereka membangunkan Cameron Highlands yang mempunyai ciri-ciri sama seperti iklim di tanah air mereka bagi menghilangkan rasa rindu kepada kampung halaman.

Oleh kerana orang Inggeris begitu gemar minum teh, maka pihak British memutuskan untuk mewujudkan ladang teh bagi menanam anak-anak pokok teh yang dibawa dari India ketika itu.

Iklim sejuk di tanah tinggi Cameron sememangnya sesuai dengan penanaman pokok teh yang berkualiti tinggi.


Maka, Stesen Penyelidikan Persekutuan yang dibina ketika itu dijadikan pusat untuk menanam anak benih teh yang dibawa masuk dari India.

Sehingga hari ini, ladang teh yang pertama di Tanah Melayu itu masih lagi wujud dan menjana hasil serbuk teh apabila stesen penyelidikan itu kemudiannya diambil alih oleh MARDI.

BOH Plantations juga memiliki ladang teh di kawasan tanah rendah yang terletak di Sungai Cheeding, Banting, Selangor. Sumber BOH Plantations

Selepas penyelidikan teh di Cameron Highlands membuahkan hasil, seorang warga British, J.A Russell melihat potensi tanaman pokok itu untuk berkembang di Tanah Melayu.

Maka, perjalanan teh jenama Boh bermula pada 1929. Di situ juga warisannya meninggalkan kesan mendalam bagi kehidupan seharian setiap masyarakat di negara ini sehingga ke hari ini.

Bersama dengan A.B. Milne, seorang penanam teh dari Ceylon (sekarang Sri Lanka), Russell memohon dan diberi satu konsesi tanah di Cameron Highlands.

Menggunakan sebuah ‘steamroller’, beberapa orang buruh dan beberapa ekor keldai, mereka meneroka dan menukar tebing-tebing curam serta hutan dara menjadi kebun teh pertama di lokasi tanah tinggi, yang sekarang dikenali sebagai Boh.

Pengasas Boh Plantations itu meninggal dunia pada tahun 1933, pada usia 50 tahun, empat tahun selepas beliau memperkenalkan apa yang boleh dilabelkan sebagai ‘teh yang membentuk saat keajaiban dan keakraban ketika bersama’.

Boh Plantations Sdn. Bhd. ialah penanam teh terkemuka di Malaysia dengan empat ladang iaitu Habu, Sungai Palas dan Fairlie di Cameron Highlands serta Bukit Cheeding di Banting, Selangor.

Kesemua ladang itu berkeluasan 1,200 hektar mengeluarkan hasil teh jenama Boh sehingga empat juta kilogram serbuk teh setahun yang bersamaan dengan 5.5 juta cawan sehari.

Selain menjadi pengeluar produk teh terbesar di Malaysia, syarikat yang kini diterajui oleh waris J.A Russell iaitu cucunya, Caroline turut mengeksport teh jenama premium ke A S, Jepun, Singapura dan Brunei.



Lapan dekad teh Cameron


Permandangan memukau Ladang BOH di Cameron Highlands.
BUKAN namanya Cameron Highlands jika tidak dikaitkan dengan teh.

Tanah tinggi itu menjadi pengeluar teh utama di negara ini sejak lapan dekad yang lalu apabila pihak British menjadikan tempat itu sebagai ladang penanaman teh utama Tanah Melayu.

Bertitik tolak dari itu, tanaman teh terus bertapak di Cameron Highlands dengan dua jenama utama masih lagi wujud sehingga ke hari ini iaitu Boh dan Bharat Tea.

Walaupun pernah beberapa ladang teh dibuka oleh syarikat lain, namun mereka tidak dapat bertahan lama kerana terpaksa menutup operasi akibat kekurangan pekerja.

Teh terus menjadi minuman kegemaran dan utama oleh masyarakat Malaysia pelbagai kaum terutama teh tarik.


Pekerja di Ladang Boh Sungai Palas ketika ladang teh itu mula dibuka. Sumber BOH Plantations

Menyentuh tentang minuman teh, tidak sah bagi masyarakat Malaysia jika tidak menikmati teh tarik dalam sehari. Ia seperti minuman wajib bagi rakyat Malaysia.


Maka tidak hairanlah produk teh menjadi produk utama yang dipasarkan di negara ini. Mujur ada ladang teh seperti Boh dan Bharat Tea yang masih mampu membekalkan kenikmatan itu kepada kita semua.


Di sebalik saujana mata memandang ladang-ladang teh yang luas terbentang di tanah tinggi itu, teh sebenarnya merupakan minuman yang begitu memberi kesan mendalam dan makna tersendiri kepada masyarakat kita.


Ikuti perjalanan wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA yang melawat dan menyelusuri ladang-ladang teh di Cameron Highlands baru-baru ini bagi menyingkap semula sejarah pembukaannya lapan dekad lalu.

Tags: sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments