kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Warisan jenama Bharat Tea, Berasal dari China , Proses rumit demi rasa teh sebenar

Proses rumit demi rasa teh sebenar

PELUANG melawat dan melihat sendiri bagaimana teh berjenama dihasilkan bermula daripada proses memetik daun sehinggalah kepada pembungkusan merupakan satu pengalaman yang berharga buat penulis.

Tugasan ke Cameron Highlands terasa berbaloi apabila seharian dapat melihat sendiri bagaimana kehidupan seorang pengurus ladang teh memantau serta memastikan pekerjanya melakukan yang terbaik bagi mengoptimumkan penghasilan produk teh.



Pokok teh boleh hidup sehingga beratus tahun dan boleh membesar sehingga berpuluh meter tinggi seperti yang terdapat di Ladang Boh Sungai Palas ini.

Boh, satu jenama tempatan yang sebati dengan kehidupan masyarakat Malaysia memiliki tiga ladang di Cameron Highlands iaitu Sungai Palas, Habu dan Fairlie dan sebuah lagi di ladang tanah rendah di Bukit Cheeding, Selangor.


Khairil Anwar menunjukkan daun teh satu tunas yang diapit dua daun.

Ketika bertemu dengan Pengurus Ladang Boh Sungai Palas, Khairil Anwar Ismayudin, penulis dapat menyimpulkan bahawa bukan mudah untuk menghasilkan produk teh yang berkualiti serta menepati selera dan cita rasa masyarakat di negara ini.

Lebih-lebih lagi, teh sememangnya sejenis minuman yang penting rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang menggemari teh tarik.

Untuk menghasilkan sepeket serbuk teh yang berkualiti, Boh sentiasa memastikan pokok-pokok teh di ladangnya di Cameron Highlands hidup subur dan tidak dijangkiti penyakit yang boleh memusnahkan kualiti daun.

Di Ladang Boh Sungai Palas seluas 234 hektar, pokok teh yang menghasilkan dua daun dan satu pucuk menjadi sasaran para pekerja setiap kali proses memetik dijalankan setiap hari.

Menurut Khairil yang telah bertugas di ladang itu sejak empat tahun lalu, pucuk berkenaan dianggap seperti ‘emas’ pada pokok teh kerana ia akan menghasilkan serbuk teh yang paling berkualiti tinggi.

“Di ladang Sungai Palas ini, kita turut menghasilkan serbuk teh Boh jenama premium yang berkualiti tinggi iaitu garden tea.


Terdapat tiga jenama garden tea iaitu Palas Supreme, Palas Afternoon dan Gunung Chantik. Satu tunas yang diapit dengan dua daun muda inilah yang perlu kita dapatkan untuk menghasilkan serbuk teh jenama premium ini.

“Namun tidak mudah untuk mendapatkan satu tunas dua daun yang benar-benar berkualiti di mana kita perlu menjaga keseluruhan pokok agar tidak dijangkiti penyakit selain perlu membaja secara berkala. Sementara proses memetik juga mempunyai jadual yang tersusun untuk memastikan daun yang dipetik berkualiti,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Bagaimanapun, tidak semua tunas yang diapit dua daun muda akan dipilih untuk menghasilkan teh jenama premium. Ia juga akan digunakan untuk menghasilkan teh jenama Boh yang lain.

Khairil kemudian menjelaskan lebih panjang lebar mengenai proses memetik yang dijalankan di mana waktu paling sesuai untuk memetik daun teh kebiasaannya dilakukan pada waktu petang atau malam, selain awal pagi.

“Kebanyakan proses memetik di ladang di sini dilakukan menggunakan mesin memotong pucuk daun teh. Kemudian proses mengelas daun akan dilakukan secara manual oleh pekerja. Selepas ditimbang, guni-guni berisi daun teh akan terus dibawa ke kilang pemprosesan,” katanya.

Secara purata katanya, setiap pekerja akan memetik antara 100 sehingga 250 kilogram guni daun teh sehari termasuk yang menggunakan gunting atau mesin pemotong daun.

Di Ladang Sungai Palas katanya, proses menghasilkan serbuk teh masih dilakukan secara ortodoks 100 peratus. Maknanya, teknologi mesin-mesin yang digunakan masih lagi sama sejak Boh wujud di Cameron Highlands.

Menurut Khairil, dia akan memantau setiap langkah pemprosesan apabila daun teh telah sampai di kilang. Ini termasuk proses menguji rasa yang akan dilakukan setiap jam apabila daun teh siap diproses bagi memastikan kualiti jenama itu terjamin.

“Proses ujian rasa ini perlu dibuat setiap jam agar jika terdapat masalah pada daun teh yang telah diproses, kita dapat membetulkannya dengan segera sebelum serbuk dibungkus,” katanya.

Khairil berkata, proses ujian rasa juga mempunyai teknik tertentu agar rasa serbuk teh tidak cacat.


Berasal dari China

SUATU hari, Maharaja Shen Nong sedang mendidihkan air untuk diminum kerana kehausan. Lalu dia menuangkan air itu ke dalam cawan tembikarnya. Sedang maharaja itu menunggu air itu menjadi agak suam, beberapa helai daun dari pokok yang terjuntai-juntai di taman istananya jatuh ke dalam cawan mengandungi air panas itu.


Maharaja Shen Nong dikatakan menjumpai teh secara tidak sengaja.

Secara tidak sengaja, air panas itu segera bertukar menjadi keperang-perangan apabila daun yang jatuh itu mengembang di dalam air panas tersebut.

Seolah-olah ada sesuatu yang membisikkan ke telinga Maharaja Shen Nong agar tidak membuang air itu sebaliknya meminumnya.

Perasaan ingin tahu mendorong maharaja itu terus meminum air perang itu. Sebaik merasa air itu, maharaja itu terasa segar.

Sejak itu, minuman teh terus diminum sehingga ke hari ini. Peristiwa itu berlaku kira-kira 5,000 tahun yang lampau.

Itu merupakan antara legenda bagaimana teh mula ditemui dan diminum oleh maharaja di China.

Ada juga cerita yang mengaitkan penemuan teh dengan seorang biarawan di India bernama Bodhidharma. Setelah bertapa selama tujuh tahun, Bodhidharma berasa sangat letih lalu dia memetik beberapa helai daun dan mengunyahnya.

Setelah mengunyah daun itu, Bodhidharma menjadi sangat segar.

Lain pula cerita di Jepun tentang bagaimana teh mula diminum di negara itu. Pada awal abad kesembilan, seorang biarawan bernama Dengyo Daishi telah membawa benih pokok teh dari China.

Sejak benih itu ditanam dan dijadikan minuman, ia mula dikenali di Jepun dan kemudian tersebar ke seluruh dunia melalui aktiviti perdagangan terutama oleh pedagang-pedagang Eropah yang belayar dari Barat ke Timur dan sebaliknya.

Dikatakan, bangsa Rusia merupakan orang yang terawal menggemari minuman teh di Eropah. Daun-daun teh pada mulanya dikatakan dibawa ke Rusia dari China dengan menggunakan kenderaan yang ditarik oleh unta.

Apapun, sejarah penemuan teh adalah sangat panjang dan kompleks. Ia menjangkaui budaya, negara dan masa. Teh menjadi minuman yang begitu digemari oleh penduduk dunia tidak mengira latar belakang.

Sehingga hari ini, pelbagai produk teh memenuhi pasaran di seluruh dunia termasuk dijadikan sebagai minuman perubatan. Teh terbukti menjadi penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Kerana itu, teh menjadi minuman yang sangat penting bagi masyarakat dunia.


Warisan jenama Bharat Tea

SETIAP hari, pada pukul 7.00 pagi, teh menjadi minuman wajib bagi pewaris jenama Bharat Tea Cameron Highlands ini.

Secawan teh hitam atau lebih popular dalam bahasa Inggeris, black tea dinikmatinya panas-panas tanpa gula.

Bangunan kedai pertama di Cameron Highlands ini menjadi pejabat yang dibeli Suparshad pada 1930-an.

“Ia menjadikan hari saya sempurna. Setiap pagi, itu adalah rutin saya sebelum menikmati sepanjang hari menguruskan perniagaan turun-temurun saya di Cameron Highlands ini,” kata pewaris perniagaan teh terkenal di Malaysia, Bharat Tea, Datuk Kesav Kumar Agarwal kepada S2 baru-baru ini.

Kesav merupakan cucu dan generasi ketiga kepada pengasas Bharat Tea, seorang saudagar dari Uttar Pradesh di Agra, India, Suparshad Bansal Agarwal yang dilahirkan pada 1893.

Suparshad pada awalnya merantau sehingga ke Tanah Melayu seabad yang lalu bagi membantu bapa saudaranya menguruskan perniagaan kedai runcit di Taiping, Perak.

Hasil usaha yang tidak mengenal penat lelah, Suparshad kemudian berpindah ke Tapah dan berjaya membuka kedai runcitnya sendiri di kaki kawasan pergunungan di situ sebelum mengembangkan perniagaan kepada sektor hartanah. Perniagaannya di situ memberi manfaat kepada pekerja-pekerja yang sedang membina jalan raya ke Cameron Highlands ketika awal 1900-an.

Dari situ, Suparshad berjaya membeli sebidang tanah di Cameron Highlands dan menubuhkan syarikat Bharat pada 1933 dan mula menjual daun teh yang dipetik dari ladang miliknya kepada pengeluar teh di kawasan itu.

British ketika itu mahu menjadikan tanah tinggi Cameron Highlands sebagai kawasan penanaman dan pengeluaran teh bagi memenuhi permintaan orang British yang menetap di Tanah Melayu pada waktu itu. Benih-benih teh dibawa masuk dari India dan Sri Lanka bagi ditanam di Cameron Highlands.


Kesav Kumar Agarwal

Selepas kematian Suparshad pada 1937, dua adiknya, Nandkishore dan Kailashchand mengambil alih menguruskan perniagaan milik Suparshad memandangkan anak lelakinya, Brijkishore hanya berusia sembilan tahun ketika itu.

Sebaik sahaja Brijkishore pulang dari England pada 1952, dia mula mengambil alih perniagaan itu dan meneruskan usaha perladangan teh selain mengeluarkan produk teh syarikat itu sehingga berkembang menjadi Kumpulan Bharat yang menjalankan pelbagai cabang perniagaan.

Bermula dengan jenama pertama Chop Rusa pada 1952, produk teh keluaran Bharat Tea atau yang bermaksud teh India berkembang menjadi jenama yang unggul di Malaysia, diuruskan sendiri oleh Kesav bersama abangnya, Vinod dan anak-anak mereka selepas Brijkishore meninggal dunia pada 2006.

“Perniagaan warisan ini diteruskan dan diuruskan oleh keluarga saya. Sehingga kini, kami sentiasa menikmati teh Cameron Highlands yang sentiasa menjadi lambang kehidupan kami semua,” katanya.

Ketika mula-mula bertapak di Cameron Highlands, Suparshad telah membeli bangunan kedainya sendiri untuk memudahkan syarikatnya beroperasi.

Bangunan kedai itu yang merupakan bangunan pertama di bina di Cameron Highlands ketika British mula membangunkan tanah tinggi itu masih lagi berdiri kukuh sehingga hari ini di Tanah Rata.

Kawasan deretan rumah kedai itu kini menjadi antara tumpuan dan kawasan utama aktiviti perniagaan di Cameron Highlands.

Katanya, jenama Cameron Valley yang terkenal pada hari ini pula hanya dihasilkan kira-kira 15 tahun lalu. Walaupun ia baharu sahaja wujud, jenama itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminum teh di negara ini.

Subscribe

  • Kerja Kontrak atau Tetap

    Isu terkini di Malaysia selain politik, Covid-19 dan wabak yang semakin berleluasa adalah kakitangan ‘kontrak’ bergelar ‘pegawai…

  • Kerajaan Swasta

    Apabila kita berfikir tentang pemerintahan kerajaan , apa yang muncul di kepala kita? Bagi kebanyak orang, gambar Agong, PM, bangunan parlimen ,…

  • Angkuh dari wajah

    Selagi kita terus tersilap mengenai keyakinan untuk kecekapan, kita akan berakhir dengan terlalu ramai bertemu dengan mereka yang tidak cekap yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments