DATUK Nadzim Johan bukanlah pemimpin persatuan pengguna biasa. Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu yang terkenal dengan imej rambut bertocang banyak membantu mangsa penindasan pinjaman lintah darat atau ah long serta sindiket gores dan menang.
Ketika kebanyakan persatuan pengguna lain hanya menerima aduan dan membangkitkan masalah itu di media massa, Nadzim bersama aktivisnya turun padang berunding dengan ah long bagi “membebaskan” peminjam yang terus ditindas walaupun sudah membayar mengikut perjanjian.
Nadzim bersama aktivis PPIM banyak kali menyerbu syarikat gores dan menang serta syarikat lain yang menipu pengguna termasuk ada yang bertindak mengurung mangsa bagi mendapatkan wang. Kisah-kisah kejayaan PPIM ini banyak dilaporkan di dada akhbar dan berita televisyen sehingga nama Nadzim dan PPIM semakin meniti di bibir masyarakat.
Nadzim yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 1960, adalah antara pengasas PPIM yang ditubuhkan pada Jun 1997 bagi membantu pengguna Islam yang banyak menjadi mangsa penipuan. Namun, nama Nadzim hanya dikenali ramai sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana selama ini, beliau banyak buat kerja di belakang tabir bagi membantu mangsa penipuan.
Pengorbanan yang dilakukan oleh Nadzim dan pasukan aktivis PPIM dalam membantu mangsa-mangsa ini cukup besar implikasinya. Mangsa yang selama ini hidup tidak tenang kerana menerima pelbagai ugutan, bahkan ada yang menyembunyikan diri bagi mengelak daripada diburu oleh ah long, kini boleh menjalani kehidupan seperti biasa.
Sebut sahaja nama ah long, semua sudah dapat membayangkan mereka ini adalah samseng yang ganas dan digeruni. Tetapi kenapa Nadzim sanggup mengambil risiko untuk berhadapan dengan ah long bagi membantu mangsa?
Ketika ditemui di pejabat beliau di Kuala Lumpur baru-baru ini, Nadzim memberitahu, pihaknya bukan tidak sedar akan bahaya ah long ini, tetapi disebabkan terlalu banyak pengguna yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu datang mengadu kepada PPIM tentang penindasan ah long, beliau memutuskan untuk membantu mereka. Ini kerana beliau sedar, sekiranya dibiarkan, maka akan lebih ramai mangsa akan ditipu dan ditindas oleh ah long.
Menurut Nadzim, keberanian, jati diri, mengikut arahan serta pengorbanan atau semangat kesukarelaan merupakan nilai-nilai penting yang ada dalam setiap aktivis PPIM dan faktor-faktor inilah yang membolehkan mereka berani memperjuangkan keadilan bagi mangsa penipuan.
“Kami buat kerja tanpa mengharapkan balasan atau penghargaan. Tidak ucap terima kasih pun tidak apa. Kalau hendak dapatkan barangan atau duit di PPIM, saya rasa boleh penuh sekurang-kurangnya satu laci kabinet setiap bulan tetapi kita ambil sebab tidak amalkan begitu.
“Memang ada ah long serta orang sindiket gores dan menang datang tawarkan duit supaya kita tidak buat kerja, tetapi kita halau mereka. Bahkan, kalau kita keluar jumpa ah long di restoran pun, kita bayar sendiri. Kalau hendak jadi pejuang, jangan terhutang budi,” katanya.
Nadzim sudah dididik dan diasuh dengan nilai-nilai tersebut terutama melibatkan keberanian, pengorbanan dan arahan sejak kecil lagi. Bapanya yang merupakan bekas pegawai kanan kerajaan merupakan seorang yang berani dan pernah bergaduh dengan tentera Jepun.
Pengalaman belajar di sekolah Cina semasa sekolah rendah dan menengah turut mengajar beliau untuk menjadi seorang berani. “Orang Cina ada budaya sayangkan negara dan bangsa mereka. Sebab itu mereka lebih berjaya kerana dalam apa keadaan pun mereka mempertahankan bangsa mereka. Jadi, semasa di sekolah Cina, saya pun kena berani mempertahankan bangsa saya,” ujarnya.
Lulusan Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) dalam bidang perniagaan, undang-undang dan institut pemasaran bertauliah itu, juga pernah mengalami jatuh bangun dalam perniagaan.
Ketika berusia 24 tahun pada 1985, beliau sudah berjaya dalam perniagaan sehingga mampu menyewa satu aras pejabat di Wisma SPK di Jalan Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dengan pada kadar RM40,000 sebulan. “Tidak lama selepas itu, saya jatuh sampai tidak nampak cahaya matahari. Masa itu, saya rugi RM2.5 juta kerana ditipu rakan kongsi. Tetapi saya belajar juga sesuatu daripada rakan kongsi saya yang pernah mengatakan bahawa kalau kita perlu buat sesuatu, jangan harapkan orang.
“Pengajaran ini, nilainya mungkin RM2.5 juta atau lebih. Saya mempelajari hakikat itu. Walaupun sudah jatuh sampai makan roti canai sehari sekali, tetapi saya ada kekuatan untuk bangkit kembali,” katanya.
Bapa kepada lapan orang anak itu turut berkongsi cerita bagaimana beliau terpaksa meminjam mesin taip dan menaip sendiri surat meskipun tidak tahu menaip, selepas tersungkur dalam perniagaan.
“Dahulu, saya beli mesin taip digital harganya RM8,000 lebih tetapi apabila perniagaan sudah jatuh, setiausaha dan mesin taip pun tidak ada. Saya pula tidak tahu menaip. Oleh sebab tidak ada mesin taip untuk menaip surat, saya pinjam mesin taip dari kedai kononnya hendak dijadikan sebagai set demonstrasi.
“Walaupun terpaksa taip satu-satu dan mengambil masa yang panjang, saya buat. Kalau kita susah, kita perlu lawan dan insya-Allah kita akan bertambah matang dan bijak. Itu yang membuatkan saya berjaya bangkit kembali,” katanya. - Amizul Tunizar Ahmad Termizi Utusan Malaysia Rencana 06 Disember 2015 12:29 AM