Watak Si Kitul, Raja Mendeliar dan Patih Karma Wijaya dalam Sejarah Melayu mahupun watak Hang Nadim yang menyelamatkan Singapura daripada dilanggar todak selalu diceritakan dalam majlis-majlis politik. Cerita hikayat abad ke-15 itu begitu popular. Wataknya hidup sepanjang zaman. Cerita itu diangkat berulang kali untuk mengingatkan khalayak bahaya fitnah, adu domba dan pengkhianatan. Mengapa cerita seperti ini popular dalam kalangan orang politik? Kerana merekakah pelakunya?
Fitnah, adu domba dan khianat menyebabkan tumbangnya sebuah kerajaan. Fitnah dan khianat mengakibatkan orang yang tidak bersalah dan mereka yang sepatutnya dijulang sebagai wira, sebaliknya dihukum bunuh. Fitnah dan khianat yang memecah-belahkan masyarakat kepada kelompok-kelompok kecil.
Tetapi semasa itu, masyarakat terutamanya istana selaku pemerintah tidak menyedari fitnah dan adu domba itu. Mereka tidak tahu cerita mana yang benar dan berita mana yang salah. Perjalanan waktu yang kemudian mencatat siapa yang benar dan siapa pemfitnah serta pengkhianat.
Tentunya kita pun masih mengingati kata-kata Hang Tuah “Siapakah yang benar? Jebatkah benar, atau akukah benar?” Setelah beliau berjaya menikam mati rakan karibnya itu dengan Taming Sari yang dilakukan atas titah perintah penguasa pemerintahan.
Kini, persoalan itu muncul semula. Sebenarnya persoalan ini selalu muncul dalam politik negara ini yang tidak pernah berhenti diselaputi cerita fitnah, adu domba dan pengkhianatan. Fitnah, adu domba dan pengkhianatan terlalu bermaharajalela. Begitu pantas tersebar dengan adanya platform media sosial.
Politik negara ini berkembang ke arah negatif, dengan kecenderungan untuk saling memusnahkan. Sebilangan orang bahkan sampai hilang hormat kepada orang politik. Hari ini kawan esok menjadi lawan, boleh berpusing 360 darjah. Sebahagian besar orang pula sudah bosan dengan perilaku politikus. Manakan tidak, hari ini berkerat rotan, esok memuji-muji bagai tiada tara. Mereka mudah bertukar prinsip, semudah membalikkan telapak tangan.
Terlambat
Semuanya berkisar soal mahu menumbangkan pihak yang lain seperti hari-hari kita berada dalam suasana pilihan raya dan pemilihan parti. Saban waktu, masing-masing berkempen mereka adalah yang terbaik, mereka yang benar manakala pihak lain tanpa ada pilihan mesti segera dihapuskan. Ini berlaku bukan sahaja antara parti tetapi dalam parti, seperti tiada penghujungnya. Watak Si Kitul, Raja Mendeliar, Patih Karma Wijaya dan Hang Nadim melata dalam UMNO dan Pas yang baru sahaja berpecah menjadi dua parti, Watak ini juga hidup subur dalam PKR dan juga DAP, sehingga parti berlambang roket ini diancam terbatal pendaftarannya.
Begitu rumitnya bentuk fitnah mahupun adu domba itu sehinggakan sukar untuk menentukan salah benarnya sekarang. Hanya waktu yang kelak menentukan. Tetapi mungkin sahaja setelah disedari semuanya sudah terlambat. Apabila disedari, nasi sudah menjadi bubur. Apabila disedari, Portugis pun sudah menawan Melaka.
Fitnah, adu domba dan khianat inilah yang melatari Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Ahli-ahli UMNO berhimpun di PWTC dengan fikiran yang masih tercari-cari mana yang benar, mana yang salah. Mana yang perlu disokong, mana yang perlu dinyahkan. Yang lebih berat malah ada yang datang dengan niat songsang, mahu menukar hala tuju parti. Pencerahan tentang 1MDB dan derma RM2.6 bilion oleh pihak yang berkaitan sama naiknya dengan cerita songsang dua isu itu. Waktu ini terkesan dengan jawapan yang meyakinkan, sesaat kemudian terganggu pula dengan andaian-andaian baharu. Begitu pantas ceritanya berkembang.
Sebahagan orang UMNO pula tidak lagi berpegang kepada slogan 3B (Bersatu, Bersetia, Berkhidmat). Mereka mengaku orang UMNO tetapi ke sana ke mari meniupkan api sengketa, perpecahan dan menjadi pengadu domba. Tingkahnya sama sekali menyongsong Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Lantas, orang UMNO, yang memimpin di atas dan yang dipimpin di peringkat akar umbi, harus bagaimana?
Sesama pemimpin tidak bersatu hati dan tiada keikhlasan, bagaimana yang di bawah mahu mengikut kata? Pada saat antara pemimpin berpelukan, orang sekeliling yang diberi amanah, mengatur strategi untuk saling menjatuhkan. Di depan menabur budi dan puji tetapi sebaik-baik berkalih ke belakang saling mentohmah dan mengeji. Yang di bawah terpinga-pingga. Yang mana satu mahu diturut.
Masing-masing ketakutan dan cemas UMNO bakal hilang kuasa. Lantas, masing-masing yang mengaku sayang dan cintakan UMNO, mengambil jalan sendiri-sendiri. Dalam keghairahan untuk menyelamatkan UMNO itu, mereka malah menggambarkan parti berusia 70 tahun ini berada dalam keadaan sakit teruk. Mereka mengaku orang UMNO tetapi berperangai seperti Si Kitul, Raja Mendeliar dan Patih Karma Wijaya. Kritikan tajam dan teguran bernas bertukar menjadi kecaman dan makian.
Mereka hanya mahu berfikir mengikut jalan fikir mereka semata-mata. Melihat apa yang mereka mahu sahaja. Mereka seperti terkena sihir dan dirasuk jembalang sehingga lupa terhadap semangat untuk bersatu, bersetia dan berkhidmat. Akibat ketakutan yang berlebihan akan kehilangan kuasa, tingkah mereka menjadi seperti serba tidak kena di mata rakyat. Mereka hilang keyakinan, melilau-lilau tanpa arah.
Jadi, perhimpunan umat Melayu terbesar bermula Selasa depan seharusnya dijadikan pentas untuk mengurai segala kekusutan. Serlahkan kebenaran, tunjukkan perpaduan. UMNO yang penuh tradisi dengan segudang prestasi, tidak sepatutnya tertunduk layu dengan asakan dan desakan liar. UMNO yang keramat itu tidak seharusnya tewas dengan fitnah, adu domba dan pengkhianatan.
Tunjukkan wajah sebenar UMNO. Yang lebih penting, setiap ahli UMNO yang berada di PWTC nanti bertanyakan diri sendiri. Aku ini mahu bagaimana? Mahu menjadi seperti Si Kitul, Raja Mendeliar, Patih Karma Wijaya atau menjadi penguasa yang gugup dan kebingungan. Atau masing-masing bertekad untuk menjadi orang UMNO sebenar yang menjiwai semangat bersatu, bersetia dan berkhidmat. - Zulkifil Hamzah Warung Rakyat Utusan Malaysia Rencana 06 Disember 2015 12:29 AM