kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pentingkah GLC, mana hilangnya SEDC?

Bila berbicara mengenai GLC (Government-linked Corporations), lazimnya orang akan merujuk kepada syarikat-syarikat yang dikorporatkan dan dikuasai kerajaan. Sering dirujuk bila menyentuh mengenai GLC ialah syarikat-syarikat di bawah kumpulan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah). Ada banyak lagi GLC selain syarikat-syarikat di bawah kumpulan Khazanah. Kerajaan menyelaraskan kesemua institusi ini menerusi satu jawatankuasa dinamakan PCG (Putrajaya Committee for GLC) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.

GLC ini berasingan sama sekali dengan GLIC (Government-linked Investment Corporations) dalam kalangan institusi pelaburan seperti Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Setiap satunya juga punyai banyak anak syarikat dan syarikat sekutu. Satu lagi kumpulan syarikat milik kerajaan yang tidak terangkum di bawah GLC ialah anak-anak syarikat atau syarikat sekutu dimiliki atau dikuasai pelbagai agensi pelaksana dan Agensi Perusahaan Awam (PEA) di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.

Suatu ketika dulu Perbadanan-perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (State Economic Development Corporation atau SEDC) adalah tunggak utama PEA dan diselaraskan oleh Kementerian Perusahaan Awam. Malangnya kebanyakan SEDC ini tidak lagi berkembang menjadi mangsa dasar penswastaan yang terbukti merugikan Bumiputera. Maka orang Melayu tertanya-tanya, dengan begitu rapi perancangan kerajaan memperkukuhkan ekonomi Bumiputera menerusi penubuhan sekian banyak syarikat dikuasai atau dimilikinya, mengapa agenda ekonomi bumiputera masih tidak mencapai matlamat, disasar menguasai 30 peratus ekonomi dan kekayaan negara?

Jika diimbas kembali pada awal pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE) (2011-2020) dan pada permulaan penggal RMK-10 (2011-2015), amat jelas hasrat sesetengah pihak dalam kerajaan yang tidak menggalakkan kerajaan untuk terlibat secara langsung dalam bisnes, ini adalah urusan pihak swasta, konon katanya. Pada suatu ketika, telah dimulakan usaha untuk sesetengah GLC, GLIC dan PEA melupuskan atau menswastakan apa yang dianggap non-core business kepada institusi-institusi itu.

Begitulah teraturnya usaha mengurangkan pembabitan kerajaan secara langsung dalam bisnes. Alhamdulillah, orang Melayu kembali merasa lega apabila hasrat itu penyudahnya padam begitu saja. Malah, orang Melayu amat mengharapkan SEDC di semua negeri yang suatu ketika dulu pernah menjadi ikon atau lambang kemajuan ekonomi Bumiputera, disusun semula dan diberi nafas baru. Pada zaman kegemilangannya, SEDC inilah dalam kalangan PEA yang menyerlah, lebih menonjol berbanding GLC serta mampu melahirkan ramai tokoh korporat Melayu terbilang. Kini kebanyakannya tenggelam, mujur GLC kian penting dan menyerlah.

Menjadi peneraju

Cabaran kepada Kumpulan Ekonomi Bumiputera (KEB) ini semakin kritikal jika dirujuk kepada unjuran ekonomi dunia menjelang tahun 2050 yang dibuat oleh tiga institusi utama dunia, iaitu HSBC, Pricewaterhouse Coopers dan Standard Chartered Global Research. Dalam laporan-laporan berasingan mereka mensasarkan Malaysia akan berada di tangga ke-21 dari 32 negara yang dikategorikan sebagai negara pesat membangun (high growth nations), dengan purata pertumbuhan tahunan sekitar 5 peratus. Menjelang tahun 2050, ekonomi Malaysia dianggarkan (nilai GDP) bersaiz AS$1,160 bilion, manakala pendapatan per kapita AS$29,247 setahun.

Soalnya, mampukah orang Melayu menjadi peneraju utamanya, dengan menguasai, paling tidak majoriti dalam kelompok M40 (Kelas Menengah 40 peratus). Amat membimbangkan seandainya Melayu masih menjadi kumpulan majoriti dalam kelompok B40 (Kelas Bawah 40 peratus).

Mahu tidak mahu, ketiga-tiga kumpulan syarikat itu, GLC, GLIC dan PEA, wajib dipertanggung-jawabkan untuk berperanan lebih penting. Semuanya wajib diseragamkan dari segi budaya pengurusan korporat dan berprestasi cemerlang sebagai peneraju agenda ekonomi Bumiputera. Semasa Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah anjuran UMNO di PWTC pada 24 November 2015 lepas, saya ada menyentuh mengenai peluang-peluang bisnes untuk rebutan KEB dan bagaimana GLC, GLIC dan PEA wajar berperanan. Saya membahagikan peluang-peluang bisnes itu kepada empat tajuk kecil:

i) Pengwujudan & Penerokaan Peluang Bisnes,

ii) Kesaksamaan Peluang Bisnes,

iii) Perkongsian Peluang Bisnes,

iv) Akses Peluang Bisnes.

Dalam tajuk kecil (i) di atas, saya merujuk kepada peranan GLC, GLIC dan milik PEA sebagai institusi KEB yang wajib diamanahkan untuk mewujudkan atau meneroka sesuatu peluang bisnes, terutama yang baru. Industri halal sebagai contoh, mempunyai potensi saiz pasaran bernilai melebihi AS$1.7 bilion untuk direbut. Adalah mustahil usahawan Bumiputera yang hampir 90 peratus daripadanya berskala mikro, mampu menjadi peneraju kepada agenda Bumiputera dalam industri ini.

Akan tetapi jika ada dalam kalangan GLC, GLIC atau PEA bersedia dan komited untuk berperanan sebagai the prime mover, membangunkan industri makanan halal berskala mega, pastinya ia mampu menarik minat banyak IKS Bumiputera untuk terlibat sama sebagai vendor di sepanjang rantaian nilai industri. Bagi usahawan berskala mikro pula, sinergi seperti itu pun masih sukar untuk mereka turut terlibat sama. Di sinilah letaknya peranan PEA (terutama dalam kalangan agensi pelaksana) menaungi usahawan mikro ini, mengumpul, membimbing, mengurus dan mengklusterkan mereka itu untuk terlibat sama dalam satu kluster yang tersusun dan dijaringkan sebagai conduit jaringan pasaran yang dibangunkan oleh GLC itu.

Adakah masih tidak memadai dengan menubuhkan begitu banyak institusi bisnes untuk kepentingan Bumiputera? Atau, adakah hanya GLC saja yang efektif dalam memikul tanggungjawab itu walhal ratusan syarikat atau syarikat sekutu di bawah PEA hanya berperanan ala kadar saja, lebih malang mereka itu ibarat hidup segan mati tak mahu? Atau, barangkali inisiatif ini sudah tidak lagi relevan dalam konteks pembangunan ekonomi semasa, maka lebih baik biarkan saja sektor swasta menentukannya?

Maknanya, orang Melayu masih menaruh harapan menggunung agar semua kategori syarikat milik atau dikuasai kerajaan ini memainkan peranan lebih penting dalam menerajui ekonomi Bumiputera.

Ringkasnya, GLC (termasuk GLIC) dan PEA (terutamanya SEDC) wajib berperanan sebagai prime movers. IKS pula adalah golongan oportunis dapat terlibat sama dan merebut peluang yang diwujudkan, manakala usahawan mikro pula dikumpulkan dalam kluster dan dibimbing oleh PEA, membina jaringan dan kesepakatan dalam menguasai bisnes atau industri itu. Inilah kesepakatan bijak (smart partnership) GLC-IKS-Usahawan Mikro yang ingin dipaparkan.

Para perwakilan UMNO yang bakal bersidang bolehlah renungkan bagaimana agaknya GLC (termasuk GLIC) dan PEA (terutamanya SEDC) yang diilhamkan penubuhannya sejak zaman DEB lagi, boleh kekal penting, malah semakin penting kepada agenda pemerkasaan ummah, terutamanya kepada orang Melayu. Pastikanlah GLC (termasuk GLIC) terus kekal penting manakala PEA (terutama SEDC) diislahkan atau bangkit untuk sama-sama cemerlang sebagai pemain global, membawa bersamanya lain-lain kluster dalam KEB. - Dr. Hasan Mad Utusan Malaysia Rencana 06 Disember 2015 12:29 AM

Tags: ekonomi, glc
Subscribe

Posts from This Journal “glc” Tag

  • Merencana GLC negeri

    MAJLIS yang diadakan pada hari itu sekali lagi berkait soal ‘integriti’ dalam pentadbiran negeri. Yang menyentuh soal kejujuran dan…

  • Driving GLCs to greater heights

    KUALA LUMPUR: GOVERNMENT-linked companies (GLCs) have played a significant role in nation building and supporting the country’s economic…

  • Bisik-Bisik Awang Selamat

    Obama - Najib KEBANYAKAN rakyat Malaysia belum lahir ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Lyndon B. Johnson melawat negara ini pada tahun 1966.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments