kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penghubung timur barat Semenanjung, Keperluan terowong kedua

Keperluan terowong kedua
Pembinaan Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak (KLK) adalah untuk memenuhi keperluan peningkatan trafik keluar dan masuk ke ibu negara dari Pantai Timur walaupun terdapat jalan alternatif yang masih boleh digunakan ketika itu.

Untuk ke Pantai Timur, pemandu perlu menyeberangi Banjaran Titiwangsa. Selain Lebuh Raya KLK, terdapat beberapa jalan alternatif yang boleh dilalui seperti Jalan 68, Bentong-Kuala Lumpur dan Jalan 55, Kuala Kubu - Raub.


KELIHATAN sebuah bas dan dua buah kereta melalui Terowong Genting Sempah dalam gambar yang dirakamkan pada 1970-an. HAZIS.WORDPRESS.COM

Dengan menyusuri laluan tersebut, pemandu perlu menempuh laluan berliku dan jarak perjalanan yang lebih panjang, sekali gus menuntut lebih banyak masa dihabiskan di jalan raya.

Justeru bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pemandu yang memilih waktu perjalanan lebih singkat, maka lebuh raya tersebut telah dinaik taraf dan terowong kedua dibina pada 1994.

Lebih RM50 juta telah dilaburkan untuk membina terowong kedua dengan menggunakan teknologi dari Austria yang dipanggil New Austrian Tunnelling Method (NATM).

Hal tersebut dijelaskan oleh Naib Presiden Kanan dan Pengarah Projek Bahagian Pembinaan Kumpulan Alloy MTD Sdn. Bhd., Ahmad Tarmizi Ismail yang memberitahu terdapat beberapa faktor telah diambil kira untuk membina terowong kedua.

“Terowong Genting Sempah yang pertama dibina pada 1977 dan dibuka oleh kerajaan kepada orang awam pada 1979. Kemudian setelah diserahkan konsesinya pada MTD Prime (kini ANIH Berhad), beberapa kajian telah dibuat sebagai persiapan untuk mengharungi masa hadapan.

“Kita boleh nampak dengan jelas terdapat satu faktor utama yang memerlukan terowong tersebut dibina iaitu bentuk muka bumi di sekitar kawasan tersebut yang berbukit-bukau.


DAHULU, sebuah terowong sahaja menghubungkan Kuala Lumpur dan Karak pada 1970-an sebelum terowong kedua dibina pada 1994. HAZIS.WORDPRESS.COM

“Justeru, apabila peta pembinaan jalan dibentang, banyak selekoh menyusuri lereng-lereng bukit dan kecuraman lebuh raya perlu dibina. Jadi, perkara pertama yang difikirkan untuk lebuh raya ini ialah mengurangkan selekoh berbahaya dan mendaki,” katanya ketika ditemubual S2.

Selain itu, beliau telah menjangkakan sekiranya kedua-dua terowong tersebut tidak dibina, maka pemandu perlu melalui jalan yang banyak selekoh dan mendaki bukit pada kadar kecuraman yang tinggi.

“Bayangkan terowong tersebut tidak dibina, memang ada alternatif pembinaan jalan raya selain membina terowong, tetapi risiko bahaya pula yang datang. Sebagai contoh, jalan yang terlalu curam, selekoh tajam dan sebagainya.

“Pembinaan terowong tersebut sebenarnya mengikut standard lebuh raya di Malaysia dengan kadar kecuraman jalan raya sekitar lapan hingga 10 peratus.

“Maka sebab itulah terowong tersebut dibina bukan sahaja menambah keselesaan pengguna tetapi meningkatkan tahap keselamatan mereka apabila melalui Lebuh Raya KLK yang terkenal sebagai lebuh raya bergunung-ganang.

“Kemudian, faktor pembinaan terowong kedua pada 1994 pula sama seperti yang saya katakan tadi iaitu untuk memenuhi peningkatan jumlah trafik. Pada hari ini, secara puratanya lebih 105,000 kenderaan melalui Lebuh Raya KLK setiap hari,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, kadar keselamatan daripada sudut teknikalnya tiada masalah kerana struktur bukit tersebut adalah batu padu yang secara tidak langsung menambah kekukuhan terowong tersebut.

“Perkara yang paling dirisaukan sewaktu pembinaan terowong kedua ini ialah gangguan pada struktur terowong pertama. Jarak antara dua terowong itu adalah 18 hingga 20 meter, jadi jika pembinaan mengganggu terowong pertama, tidak mustahil akan menjejaskan strukturnya.

“Kita tidak tarah bukit untuk buat terowong, sebab strukturnya adalah batu ‘solid’. Jadi, teknik yang digunakan ialah meletupkan bahagian-bahagian batu tertentu supaya membentuk satu lubang besar, kemudian bercantum dari hujung ke hujung menjadi terowong.

“Walau bagaimanapun, kita telah mengkaji kadar kekukuhan dalam terowong tersebut. Mana bahagian yang didapati kurang kukuh, kita letakkan beam untuk menyokong.

“Kini, kerja-kerja pemantauan di terowong dan sepanjang Lebuh Raya KLK dilakukan setiap 24 jam oleh pihak konsesi untuk keselamatan pengguna,” katanya.

Penghubung timur barat Semenanjung
PADA 1970-an, sebuah bukit yang menghubungkan dua negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Selangor dan Pahang telah diletupkan untuk membina sebuah terowong.

Kepentingan kewujudan terowong tersebut adalah untuk memberi keselesaan dan kemudahan memandu kepada penduduk di kedua-dua bahagian di Semenanjung iaitu dari ibu negara menuju ke Pantai Timur dan sebaliknya.

TEROWONG Genting Sempah kini mampu menangani keperluan trafik yang tinggi dengan laluan berkembar yang disediakan.

Justeru, Terowong Genting Sempah yang terletak di kilometer 37 Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak (KLK) merupakan terowong jalan raya pertama di Malaysia, sekali gus menjadi pelopor lebuh raya pertama di negara ini yang mempunyai terowong.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1970-an, hanya sebuah sahaja terowong yang wujud untuk menghubungkan Lebuh Raya KLK sebelum terowong yang kedua dibina pada 1994 bagi memenuhi keperluan trafik.

Seperti yang diberitahu oleh Naib Presiden Kanan dan Pengarah Projek Bahagian Binaan AlloyMtd Sdn. Bhd., Ahmad Tarmizi Ismail, seperti yang boleh dilihat pada hari ini, terowong pertama adalah laluan yang menghala dari Karak ke Kuala Lumpur.

“Terowong pertama di Genting Sempah itu adalah lebih panjang sedikit dari terowong yang baharu dengan jarak 930 meter. Ia juga terletak pada ketinggian 555 meter dari paras laut.

“Pada waktu itu, AlloyMtd bukan pemegang konsesi, cuma syarikat yang dilantik untuk kerja-kerja pembinaan terowong dan Lebuh Raya KLK.

“Selepas terowong tersebut siap sepenuhnya, ia telah dibuka kepada orang ramai pada 1979 dan pembukaan rasminya telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Abdul Ghani Gilong,” katanya ketika ditemubual S2.

Ujar beliau lagi, pada waktu itu terdapat beberapa kelengkapan disediakan dekat terowong tersebut seperti sistem mencegah dan memadam kebakaran, telefon kecemasan dan sebagainya.

“Penting sebenarnya pembinaan Terowong Genting Sempah dan Lebuh Raya KLK. Pemandu tidak lagi perlu melalui jalan lama yang mempunyai banyak selekoh berbahaya selain terdedah dengan gangguan binatang liar.

“Masa itu, syarikat utama yang bertanggungjawab membina terowong tersebut ialah Italian-Thaid Development Corporation dan Korea Development Corporation.

“Dengan pembinaan terowong dan Lebuh Raya KLK kadar kecuraman jalan raya dan jumlah selekoh berbahaya dapat diminimumkan,” jelasnya.

Selain itu, Ahmad Tarmizi turut menjelaskan terdapat pelbagai cabaran perlu dihadapi untuk membina Terowong Genting Sempah dan yang paling utama adalah mencari laluan mudah untuk membina jalan.

“Masalah paling utama ialah kawasan bergunung-ganang. Justeru, kita perlu mengkaji bahagian-bahagian yang bersesuaian untuk bina jalan raya. Lepas itu, kena kaji pula struktur tanah dan sebagainya.

“Jadi, pelbagai pihak terlibat termasuklah pakar-pakar daripada sektor geologi iaitu kaji bumi untuk membuat pemetaan lebuh raya bagi mengkaji struktur tanah dan sebagainya.

“Terowong Genting Sempah dibina dengan menggunakan teknik letupan, justeru setiap kali bom diledakkan, ahli geologi kena periksa struktur tanah dan membuat penilaian.

“Kemudian daripada laporan tersebutlah kita dapat tahu kekukuhan struktur tanah dan gred, keperluan untuk membina beam untuk menyokong bahagian atas terowong dan sebagainya.

“Banyak lagi cabaran sebenarnya yang perlu dihadapi sewaktu membina Terowong Genting Sempah. Pelbagai perkara perlu dititik beratkan, paling penting adalah keselamatan pengguna selepas terowong dan lebuh raya siap,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut jurnal yang ditulis oleh Pengarah Tao Consult Sdn Bhd, Ooi Teik Aun, Pengurus Besar MTD Capital Sdn. Bhd., Keith Cowling dan jurutera Terratech Consultants Malaysia Sdn. Bhd., terdapat beberapa kekurangan pada terowong pertama seperti pengudaraan yang tidak baik sehingga mengehadkan jarak penglihatan di dalamnya serta membahayakan kesihatan.

Justeru, sebaik sahaja Lebuh Raya KLK diswastakan konsesinya pada AlloyMtd, beberapa tindakan telah diambil untuk menaiktaraf dan menambah baik kelengkapan pada terowong tersebut seperti pemasangan kipas jet, lampu dan sebagainya.

Selepas AlloyMtd melalui ANIH Bhd. mengambil alih konsesi Lebuh Raya KLK, Terowong Genting Sempah kedua telah dibina untuk memenuhi keperluan trafik dan keselesaan pemandu di lebuh raya bergunung-ganang itu.

Tags: jalan
Subscribe

Posts from This Journal “jalan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments