Panduan keselamatan dalam terowong
APABILA melalui terowong, antara aspek keselamatan penting adalah jarak penglihatan seperti pencahayaan dan juga kualiti udara yang tidak mengehadkan pandangan di hadapan kenderaan.
PENGGUNA Terowong Genting Sempah boleh menggunakan laluan kecemasan untuk keluar sekiranya berlaku perkara sedemikian di dalam terowong. |
Justeru, memandu di ruang tertutup seperti terowong tidak memerlukan kelajuan tinggi, malah amat berbahaya jika kenderaan dipandu laju melebihi had yang ditetapkan.
Untuk memaksimumkan tahap keselamatan di Terowong Genting Sempah, pemegang konsesinya ANIH Berhad telah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan memastikan spesifikasi di terowong tersebut menepati tahap keselamatan yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).
Menurut Naib Presiden Kanan dan Ketua Aset Lebuh Raya ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, pihak pemegang konsesi sentiasa menekankan aspek keselamatan termasuk meminimumkan kadar kemalangan di dalam terowong.
LALUAN kecemasan dalam Terowong Genting Sempah yang dipanggil escape passage ini membolehkan pengguna keluar dari terowong sebelah untuk menyelamatkan diri sekiranya terperangkap. |
“Kita sebenarnya tertakluk di bawah pengawasan LLM dan perlu mematuhi spesifikasi keselamatan di lebuh raya seperti yang ditetapkan. Sebagai contoh, had laju, pencahayaan dalam terowong dan sebagainya.
“Selain itu, kita juga perlu mematuhi prestasi petunjuk utama (KPI) daripada LLM seperti meminimumkan kadar kemalangan di lebuh raya dan dalam terowong setiap tahun. Usaha tersebut sentiasa dilakukan.
“Seperti di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak (KLK), dengan jarak kira-kira 60 kilometer dari Tol Gombak hingga ke Tol Karak, kita mengamalkan sistem tol terbuka. KPI kadar kemalangan untuk lebuh raya tersebut ialah 20 kemalangan pada setiap satu juta kenderaan yang lalu.
“Selain itu, kita juga selalu mengadakan latihan kecemasan bersama jabatan kerajaan seperti Bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), hospital serta pelbagai agensi lain untuk menguji tahap kesiapsiagaan kelengkapan Lebuh Raya KLK berhadapan kecemasan dalam terowong,” katanya sewaktu ditemubual S2 di pejabatnya.
Tambah beliau lagi, terdapat beberapa aspek lain turut dilakukan seperti penguatkuasaan undang-undang keselamatan jalan raya dan sebagainya seperti pematuhan had laju.
“Secara umumnya, had laju di Lebuh Raya KLK adalah 90 kilometer sejam, sementara kelajuan di terowong yang dibenarkan adalah 60 kilometer sejam sahaja.
“Kita tidak ada kuasa dan peruntukan undang-undang untuk menahan atau mengenakan tindakan terhadap pemandu yang tidak mematuhi had laju dan muatan yang dibawa. Itu bidang kuasa pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memantau trafik.
“Begitupun, kita juga menempatkan sebuah stesen JPJ untuk memantau kenderaan yang melalui Lebuh Raya KLK.
“Justeru, kita nasihatkan pengguna agar mematuhi had laju kerana Lebuh Raya KLK terletak di kawasan bergunung-ganang sementara selekohnya lebih banyak berbanding dengan lebuh raya lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Lebuh Raya KLK juga lazim mendapat permintaan daripada pihak-pihak tertentu untuk memohon penggunaan lebuh raya tersebut terutama bagi kenderaan yang membawa muatan bersaiz besar.
Menurut Radzimah, pihak ANIH Berhad perlu dimaklumkan terlebih dahulu terutama pemandu-pemandu yang membawa muatan besar supaya tidak ada masalah bagi mereka untuk melalui Terowong Genting Sempah.
“Selain had laju ditetapkan, pemandu kenderaan khususnya lori harus mengetahui ketinggian lori yang dipandu dan saiz muatannya agar tidak melebihi had kadar ketinggian terowong iaitu 5.5 meter.
“Ketinggian sebenar terowong adalah sekitar enam hingga tujuh meter dan had yang dibenarkan bagi kenderaan pula ialah 5.5 meter. Dua meter lagi adalah ruang untuk pengudaraan seperti kipas jet, lampu dan juga laluan kabel elektrik.
“Justeru sekiranya ada lori dengan muatan besar, lazimnya mereka akan maklumkan pada pihak ANIH Berhad tentang saiz barang yang dibawa. Mereka boleh membawa muatan besar, tetapi mempunyai hadnya. Kita juga akan membantu mereka melalui lebuh raya dari segi keselamatan dan memudahkan aliran trafik,” jelasnya.
Sementara itu, tambah beliau lagi, sehingga hari ini belum terdapat lagi kes kemalangan berlaku kecuali kerosakan kenderaan yang menyebabkan kesesakan dalam terowong.
“Belum ada kemalangan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa berlaku kecuali kerosakan kenderaan seperti yang menyebabkan kenderaan terhenti di dalam terowong.
“Masa itu, trafik akan jadi sesak sebab hanya satu lorong sahaja yang boleh digunakan. Jadi, bahagian pengurusan trafik akan membantu melancarkan aliran dan keselamatan trafik.
“Sekiranya terdapat hal-hal kecemasan berlaku dalam terowong, kita juga telah menyediakan pelan-pelan keselamatan dan laluan untuk keluar dari terwong. Terdapat sebuah laluan keluar sepanjang 20 meter menghubungkan kedua-dua terowong.
“Sekiranya berlaku kecemasan, pengguna boleh melalui laluan tersebut seterusnya keluar dari terowong. Selain itu, kita juga menyediakan telefon kecemasan dan juga pili bomba untuk memudahkan operasi daripada agensi berkenaan,” jelasnya
Senggara lebih sukar daripada bina
LEBIH RM10 juta telah dilabur untuk membina terowong pertama di Genting Sempah untuk lebuh raya dua hala yang siap sepenuhnya pada 1978.
KERJA-KERJA penyelenggaraan dan pembersihan kedua-dua terowong di Terowong Genting Sempah menelan belanja yang besar dan jumlah kos tersebut telah melebihi perbelanjaan untuk pembinaannya. |
Kemudian RM50 juta lagi dibelanjakan untuk pembinaan terowong kedua bagi mengatasi masalah peningkatan trafik.
Begitulah sukarnya membina Terowong Genting Sempah dengan pelbagai cabarannya, namun menjaga dan menyelenggaranya adalah lebih payah dan menelan belanja yang lebih tinggi.
Hal tersebut diakui oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Aset Lebuh Raya ANIH Berhad, Radzimah Mohd. Radzi yang memberitahu penyelenggaraan terowong menelan belanja lebih besar berbanding dengan kos pembinaan lebuh raya itu.
“Kita sebenarnya menghadapi pelbagai cabaran untuk menyelenggara terowong tersebut dan ia menelan belanja yang tinggi setiap tahun.
“Kita tidak ada jumlah yang tepat untuk dinyatakan kerana angka tersebut berbeza pada setiap tahun. Ada tahun-tahun tertentu, perbelanjaannya rendah dan tahun lain, tinggi pula.
“Selain kos, kita juga berhadapan dengan keadaan trafik sewaktu menyelenggara. Masa bina tidak ada trafik, jadi tiada masalah untuk melakukan kerja-kerja pembinaan.
“Dengan adanya trafik, kita perlu mewujudkan sistem pengurusan trafik seperti laluan kontra untuk menyelenggara terowong. Pastinya pemandu akan berang ketika jalan sesak di lebuh raya sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan,” katanya ketika ditemubual S2.
Menurut beliau lagi, terdapat pelbagai kerja-kerja penyelenggaraan yang perlu dilakukan seperti pembersihan terowong, membaiki kerosakan pada kelengkapannya dan pengurusan serta pengawasan cerun.
Kerja-kerja tersebut dilakukan secara berkala dan memerlukan pengurusan trafik yang teratur bagi melancarkan alirannya serta tidak mengganggu aktiviti penyelenggaraan.
“Penyelenggaraan dan pembersihan terowong dilakukan sebulan sekali dan selalunya dilakukan pada pertengahan setiap bulan.
“Kerja-kerja tersebut perlu dilakukan dalam masa 24 jam kerana satu terowong akan ditutup dan laluan kontra perlu dibuat sebagai alternatif bagi terowong yang diselenggara.
“Maknanya, satu terowong akan dibuka untuk dua laluan dari timur ke barat dan sebaliknya. Masa itu, trafik memang akan sibuk dan kerja-kerja tersebut perlu dilakukan secepat yang mungkin.
“Selalunya, kita akan memilih hari bekerja untuk melakukan kerja-kerja tersebut untuk mengurangkan kesesakan trafik kerana jumlah kenderaan di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak (KLK) akan meningkat dua hingga tiga kali ganda pada hujung minggu dan cuti umum,” jelasnya.
Tambah Radzimah lagi, pengurusan cerun juga dilakukan secara berkala untuk memastikan struktur tanah dan saliran air berada dalam keadaan baik.
“Pengurusan cerun adalah paling penting, kerana ia melibatkan keselamatan pengguna sekiranya berlaku pergerakan pada struktur tanah di sepanjang Lebuh Raya KLK.
“Untuk bahagian ini, kita mempunyai tenaga pakar sendiri, selain memerlukan khidmat syarikat luar untuk melakukan kerja-kerja pengawasan cerun seperti pemeriksaan saliran air di lereng-lereng bukit dan sebagainya.
“Selain itu, kita juga menggunakan helikopter untuk memantau kawasan-kawasan atas bukit yang berada di bawah pengawasan kita untuk melihat keadaan di sana,” ujarnya.