kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahaya idea 'bodoh' Trump

HAMPIR sepuluh tahun lalu, semasa di New York iaitu ketika berjalan menuju ke ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, penulis ditunjukkan sebuah pencakar langit tersergam, Trump Tower. Pemiliknya, Donald Trump terkenal sebagai usahawan berjaya dalam bidang hartanah dan perhotelan.

Beliau bertambah terkenal di seluruh dunia melalui satu program realiti televisyen berbentuk motivasi untuk bakal usahawan. Ungkapan “You are fired (Kamu dipecat)” menjadikan beliau selebriti global. Tanpa sebarang pengalaman politik, beliau memasuki persaingan untuk menjadi calon presiden Amerika Syarikat bagi pihak Parti Republikan.


Donald Trump

Cuba bayangkan jika Trump menang dalam pilihan raya kepresidenan Amerika. Setelah dilantik sebagai presiden bayangkan juga beliau melaksanakan janjinya untuk menghalang orang Islam daripada memasuki negara itu. Maka semua negara di dunia terpaksa membuat peraturan-peraturan baharu bagi menguatkuasakan kehendak beliau.

Sememangnya ia merupakan suatu yang tidak mungkin berlaku tetapi cuba bayangkan kalau-kalau benar cadangan Trump itu dapat dilaksanakan. Maka antara senario yang mungkin dapat dilihat ialah semua tempat masuk ke Amerika akan ada kakitangan imigresen memastikan setiap orang yang memasuki negara itu bukan beragama Islam.

Tetapi pemeriksaan ini sudah tentu kena dibuat di tempat-tempat di mana kenderaan yang menuju ke Amerika berlepas. Umpamanya, kakitangan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan memeriksa setiap penumpang kapal terbang yang hendak ke Los Angeles adalah dari kalangan bukan Islam.

Malah mungkin kerja untuk memastikan seseorang yang hendak ke Amerika boleh bermula dari masa seseorang membeli tiket kapal terbang. Jika seseorang itu ingin menempah tiket kapal terbang, dia akan ditanya apa agamanya. Jika beragama Islam, pembelian tiket itu secara automatik dibatalkan.

Bagi jalan darat pula, sempadan Amerika dengan Mexico dan Kanada akan diketatkan untuk memastikan tidak ada orang Islam masuk ke negara itu. Orang Islam Kanada tidak lagi dapat memandu kereta masuk ke Amerika. Sementara orang Islam Amerika sendiri tidak boleh pulang jika mereka keluar dari negara itu.

Penguatkuasaan

Tetapi penguatkuasaan yang jelas pula boleh berlaku di peringkat pengeluaran visa. Apabila kedutaan-kedutaan Amerika di seluruh dunia tidak mengeluarkan visa untuk orang Islam, maka dengan sendirinya mereka tidak dapat masuk negara itu. Bayangkan bagaimana negara-negara Islam perlu melantik orang bukan Islam saja untuk menjadi duta bagi berkhidmat di Amerika.

Mungkin hanya orang Islam yang perlu pergi ke ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York dibenarkan masuk Amerika. Tetapi dia tidak dibenarkan ke mana-mana kecuali ke kawasan bangunan PBB yang merupakan wilayah antarabangsa. Selepas urusan, dia perlu keluar dari New York.

Maka tentu timbul persoalan bagaimanakah pihak kedutaan Amerika mahu memastikan seseorang itu bukan beragama Islam? Agama adalah kepercayaan yang tidak semestinya dapat dikesan daripada zahirnya. Tetapi jelasnya ialah larangan terhadap orang Islam daripada memasuki Amerika adalah satu cadangan diskriminasi yang bercanggah dengan sifat demokrasi negara itu sendiri.

Apabila dibayangkan senario ini, tentu dirasakan cadangan itu adalah suatu yang lucu dan mustahil boleh berlaku dalam zaman demokrasi, hak asasi manusia dan globalisasi sekarang. Tetapi realitinya ialah Trump adalah tokoh paling terkedepan dalam persaingan untuk menjadi calon Parti Republikan bagi jawatan presiden Amerika.

Kalau melihat rentak persaingan yang berlaku sekarang, beliau mungkin akan berlawan dengan Hillary Clinton, calon terkedepan bagi Parti Demokratik. Bila bersaing, tentu banyak pihak yang pastinya menjangka Hillary akan menang dan menjadi presiden wanita pertama Amerika.

Tetapi demokrasi boleh menghasilkan pemimpin-pemimpin yang di luar jangkaan. Ini kerana pilihan pengundi boleh melakukan sesuatu kejutan. Tentu tidak dapat dijangkakan bahawa di saat saat akhir, iklim politik begitu berubah hinggakan rakyat Amerika boleh mengundi Trump. Ia tidak mustahil. Siapa sangka boleh timbulnya kumpulan seperti Islamic State. Juga tidak dapat dijangkakan sebelum ini akan berlakunya krisis pelarian di Eropah. Tidak juga dijangkakan pengeboman di Paris dan California. Siapa juga yang dapat menyangka bahawa Trump akan bertanding dalam pilihan raya presiden. Orang juga tidak dapat menyangka Trump boleh buat cadangan supaya orang Islam dihalang masuk ke Amerika.

Cadangan

Sememangnya tidak wajar Trump mengeluarkan kenyataan itu. Ia tidak layak bagi seorang calon presiden untuk membuat cadangan itu. Seseorang yang membuat cadangan seumpama itu dilihat tidak layak untuk menjadi presiden Amerika. Malah bukan untuk Amerika saja. Mana-mana negara moden tidak wajar memiliki ketua kerajaan yang mempunyai pandangan seumpama itu.

Kenyataan seperti itu tidak akan keluar daripada mana-mana ahli politik. Tetapi Trump tidak ada pengalaman politik. Walaupun dia mempunyai banyak penasihat dalam kalangan golongan fahaman konservatif, Trump mempunyai watak meraih sensasi bagi mendapatkan populariti.

Apa yang ada dalam minda beliau mungkin selari dengan pemikiran banyak orang biasa yang menjadi penyokong fahaman konservatif dan Parti Republikan. Jika ini berlaku, apa yang disuarakan oleh Trump adalah gema perasaan golongan ini antaranya mempunyai sifat Islamofobia, iaitu takut pada bayang-bayang yang dikaitkan dengan Islam.

Jadi, dengan perasaan fobia iaitu campuran takut dan benci pada Islam, mereka mengambil pendapat bahawa Amerika patut ditutup daripada dimasuki oleh orang Islam. Ini kerana dalam kalangan orang Islam ini, mungkin akan muncul pengganas seperti Al-Qaeda dan Islamic State.

Tentu orang seperti ini, yang bilangannya banyak di Amerika boleh bersetuju dengan Trump. Mereka mungkin akan mengundi Trump dalam pilihan raya kepresidenan negara. Jika bilangannya cukup banyak, Trump boleh menang. Sama ada Trump benar-benar kemudiannya melaksanakan agendanya itu atau tidak, satu bahagian besar dunia yang merupakan umat Islam akan melihat bukan saja Trump adalah pemimpin Amerika yang boleh meningkatkan kekacauan dan peperangan di dunia tetapi mempersoalkan budi bicara rakyat negara itu sendiri.

Ini kerana Amerika bukan saja sebuah kuasa besar tetapi merupakan peneraju dunia. Kalau rakyat Amerika yang sepatutnya merupakan manusia paling maju, bertamadun dan demokratik boleh memilih Trump sebagai pemimpin mereka, maka amat malanglah bagi kemanusiaan.

Tags: ideas
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments