Isu rintihan rakyat
Di beberapa kawasan penduduk membantah pembinaan kondominium mewah dan juga jalan raya bertol. Tuanku ada pandangan dalam hal ini?
SULTAN SHARAFUDDIN:
Kondominium mewah ini saya setuju tetapi perlu tengok lokasinya. Mesti diseimbangkan dengan rumah atau pangsapuri mampu milik. Saya cakap dengan menteri besar, kondominium mewah kita mesti tengok tempatnya. Jangan sampai tempat tak sesuai pun kita buat juga.
Tetapi rumah atau pangsapuri mampu milik sangat penting sebab saya tengok graduan universiti kini tiada tempat tinggal dan sewa pula mahal. Sebab itu, PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) diwujudkan untuk orang Melayu dapat membeli rumah kos rendah mampu milik. Malangnya semasa era pentadbiran Khalid, PKNS jadi seperti pemaju-pemaju lain dan membuat keuntungan.
Semasa PKNS mula ditubuhkan dahulu, pemaju-pemaju Cina merungut kenapa PKNS hendak bersaing dengan mereka. Datuk Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor) panggil mereka semua dan jelaskan PKNS bukan hendak bersaing dengan semua pemaju lain. PKNS bina rumah untuk orang miskin, akhirnya pemaju-pemaju Cina menerimanya. Sebab itu PKNS memperolehi tanah dengan premium rendah dan kemudian boleh membina rumah untuk orang miskin. Dengan cara itulah Selangor dan Kuala Lumpur dibangunkan pada masa itu. Selepas rumah dua bilik, PKNS bina rumah tiga bilik. Harga RM20,000, saya ingat lagi. Perkara sama juga berlaku di Kampung Baru, Keramat, Bangsar dan lain-lain. Semua itu di bawah tanggungjawab PKNS. Semasa era Khalid, PKNS seolah-olah diletakkan setanding dengan Sime Darby. Maka agak susah jugalah orang nak dapat rumah.
Adakah kemungkinan untuk perkara ini dikaji semula?
SULTAN SHARAFUDDIN:
Sekarang ni pun sudah dikaji semula melalui Rumah Selangorku yang mampu milik. Perumahan mewah mesti diseimbangkan dengan perumahan mampu milik sebab ramai orang luar datang sini.
Setiap kali bulan Ramadan, Tuanku akan berbuka puasa dan solat Tarawih bersama rakyat hampir setiap malam. Apa yang membuatkan Tuanku mahu berbuat demikian?
SULTAN SHARAFUDDIN:
Almarhum ayahanda saya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dahulu solat Jumaat di masjid berlainan setiap minggu. Sekarang tugas saya banyak, kalau saya buat begitu, saya hanya dapat bekerja empat hari seminggu. Hari Jumaat saya pergi masjid, balik pukul 5 petang, tidak boleh buat apa dah. Sebab itu saya selalu pergi ke masjid berdekatan seperti masjid negeri atau masjid di Bukit Jelutong.
Tetapi saya ambil kesempatan pergi ke semua masjid pada bulan Ramadan. Saya juga mendapati kos untuk merasmikan masjid dalam bulan Ramadan adalah lebih rendah. Saya selalu beritahu kerajaan negeri, jangan bazirkan duit. Sepanjang bulan Ramadan, saya pergi ke 26 masjid, itu menyamai dengan jumlah yang boleh saya pergi setiap minggu dalam masa setengah tahun. Saya jumpa rakyat, sumbangkan duit raya sebab Selangor banyak terima zakat. Mufti kata duit zakat tidak boleh disimpan. Kalau tahun ini dapat zakat, tahun ini juga mesti dihabiskan zakat itu. Jadi, kita agihkan kepada orang miskin, saudara baharu, ibu tunggal dan anak yatim. Kita telah bahagikan kira-kira RM30.8 juta kepada 41,568 keluarga asnaf, fakir miskin, ibu tunggal dan lain-lain yang berhak menerimanya. Saya kata kepada Datuk Mufti, kalau duit zakat banyak sangat, bolehkah kita simpan kira-kira RM30 juta setahun untuk tabung bencana? Mufti kata tidak boleh, jadi kita gunakan dana wakaf. Kita tidak ada masalah dalam perkara itu. Mana yang terlebih, kita tolong kepada orang miskin di negeri Selangor.
Tetapi saya tidak setuju kalau kita salurkan kepada negara lain. Orang Melayu sendiri masih ramai yang memerlukannya. Sebab itu kita pergi ke Kelantan, Perlis dan Perak. Di Kemboja pula, kita bantu umat Islam di sana dari segi pendidikan. Soal makanan, itu tanggungjawab kerajaan negara mereka. Lembaga Zakat Selangor juga sangat telus dan cekap. Setiap tahun kita umumkan dalam akhbar termasuk Mingguan Malaysia jumlah zakat yang dipungut dan diagihkan. Jadi, rakyat yang bayar zakat di negeri Selangor tahu ke mana wang zakat mereka disalurkan.
Perpaduan Melayu dan Komitmen Raja-Raja Melayu
Kalau dalam isu ini, orang Melayu lebih cenderung meletakkan kepercayaan kepada Raja-Raja Melayu, apa pandangan Tuanku?
SULTAN SHARAFUDDIN:
Majlis Raja-Raja Melayu sekarang sedang mengusahakan ke arah menitikberatkan isu-isu orang Melayu. Kalau dahulu tidak seperti ini, tetapi kini perlu. Kesemua sembilan Raja-Raja Melayu banyak membincangkan tentang perkara ini.
Saya rasa silaturrahim antara Raja-Raja Melayu sekarang adalah semakin rapat, bukan hendak kata dahulu tidak rapat tetapi dahulu kurang berkomunikasi - segan. Sebelum merdeka, perjalanan rasa sedikit jauh, tetapi kini Raja-Raja Melayu boleh berkumpul dengan mudah dan berkomunikasi kerana pengangkutan yang mudah dan mempunyai telefon.
Saya rasa kita lebih rapat sekarang. Lebih mengambil berat kerana agendanya adalah untuk masa depan negara. Kita tekankan tentang tanggungjawab untuk diberikan kepada generasi seterusnya. Kita tidak mahu generasi seterusnya menyalahkan kita sebab tidak menjalankan tugas. Raja-Raja Melayu hari ini menghadapi banyak cabaran besar. Raja-Raja Melayu sangat prihatin kepada rakyat. Saya percaya Raja-Raja Melayu mengambil berat tentang rakyat mereka, tetapi dengan cara mereka sendiri.
- Utusan Malaysia Rencana 13 Disember 2015 6:10 PM