kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Plagiat jejas profesionalisme

Isu plagiarisme dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi (IPT) bukan perkara baru kerana ia sudah lama berlaku, malah dianggap sebagai isu universal.

Ini dilihat sebagai sesuatu yang memalukan kerana bukan saja memburukkan imej dan kredibiliti graduan, malah mencacatkan nilai ilmu yang bakal dihasilkan.

Plagiarisme dilihat sebagai cara paling mudah untuk ‘melepaskan’ tanggungjawab siswa terhadap pemikiran nilai ilmu baru yang ingin diketengahkan dan dijadikan platform bagi memudahkan usaha memperoleh penarafan status.



RAMAI melakukan plagiat, namun ia menjadi isu sensitif apabila membabitkan institusi pengajian tinggi. - Gambar hiasan

Jika dulu sumber bagi memplagiat hasil atau karya orang lain agak sukar dilakukan kerana perlu membaca dan menyalin bahan penulisan, kini kehadiran teknologi maklumat yang ‘super’ maju menjadikan kegiatan penipuan itu makin mudah dan berleluasa dilakukan.

Dengan hanya menggunakan komputer atau telefon pintar, hasil karya orang lain boleh ‘dirompak’ dengan mudah secara salin dan tampal (copy and paste).

Ibarat barah, ia makin merebak. Lebih-lebih lagi kini muncul pihak yang menawarkan perkhidmatan memplagiat kepada siswa dengan berselindung di sebalik cuma membantu meringkan bebanan tugas.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Zaid Ahmad berkata, plagiarisme bukan saja boleh menjejaskan profesionalisme mereka yang melakukannya, lebih buruk lagi boleh mencetuskan konflik jangka panjang yang mungkin menyebabkan penurunan kualiti ahli akademik atau bakal cendekiawan yang dihasilkan.



PERKEMBANGAN dunia teknologi menjadikan plagiat aktiviti sukar dibendung kerana maklumat kini makin mudah diakses. - Gambar hiasan

Menurutnya, jika plagirisme tidak dibendung, ia akan melahirkan graduan berkualiti rendah sekali gus menjejaskan perkembangan ilmu baru yang seharusnya dicambah di menara gading.

“Ada yang melihat ia cuma isu kecil dengan alasan semua orang ada melakukan plagiat.

“Sebenarnya itu pemikiran dangkal kerana mereka tidak melihat kesannya untuk jangka panjang termasuk dari sudut etika serta nilai percambahan ilmu.

“Bagaimana ilmu baru boleh berkembang andai plagiarisme dilakukan sewenang-wenangnya sedangkan tujuan utama mereka ke menara gading untuk memperoleh ilmu baru,” katanya.

Beliau berkata, plagiarisme sebenarnya bukan ha­nya berlaku dalam kalangan warga IPT semata-mata tapi disebabkan faktor mereka golongan terpelajar, ia menjadi lebih sensitif.

Dr Zaid berkata, sejak dahulu ada pelbagai versi plagiarisme, namun yang membabitkan ahli akademik paling menonjol.

“Sebenarnya aktiviti memplagiat mencakupi ahli sejarah, matematik dan pelbagai lagi bidang ilmu. Malah, bekas Presiden Amerika Syarikat Jimmy Carter yang menulis buku berjudul ‘Palestine: Peace, Not Apartheid’ juga dituduh melakukan plagiat oleh bekas diplomat Asia Barat Dennise Ross.

“Ini kerana dalam buku itu Carter menerbitkan peta dihasilkan Ross tanpa meminta izin atau menyatakan sumber.



TIDAK salah membuat banyak rujukan asalkan meletakkan dari mana sumber itu diperoleh. - Gambar hiasan

“Plagiarisme juga dikatakan pernah diamalkan sasterawan Arab dengan mengaku sesebuah syair itu milik mereka walhal kepunyaan sasterawan terdahulu sebelum kedatangan Islam lagi.

“Ini menunjukkan plagiarisme boleh berlaku di mana-mana dan dilakukan sesiapa saja. Tentulah tak tepat jika kita merumuskan plagiat hanya berlaku di menara gading, “ katanya.

Plagiat berasal daripada bahasa Inggeris yang diubah ke bahasa Melayu. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka menterjemahkan plagiat sebagai hasil mencedok karya atau tulisan orang lain yang disiarkan kembali sebagai karya sendiri.

Dr Zaid bagaimanapun menegaskan aktiviti plagiat yang dilakukan ahli akademik atau graduan boleh merendahkan nilai harga diri dan ilmu.

“Bagi golongan ini, plagiat dilihat sebagai sesuatu yang sangat tidak profesional kerana mereka langsung tiada kesedaran menilai harga ilmu itu.

“Pada tahap ini, sepatutnya mereka sedar ilmu yang mahu dituntut itu akan dinilai dan dipandang tinggi masyarakat.

“ Jika mereka memplagiat hasil orang lain, di manakah tahap yang perlu kita letakkan nilai kualiti mereka sebagai seorang yang bakal bergelar cendekiawan?,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak salah untuk menjadikan karya atau idea orang lain sebagai rujukan, namun menegaskan yang menjadi kesalahan ialah tidak meletakkan sumber rujukan dalam penghasilan tesis, jurnal atau projek.

“Untuk menghasilkan ilmu baru, kita memang perlu membuat rujukan daripada karya atau hasil terdahulu. Ia tak jadi kesalahan.

“Yang salah kerana tidak letakkan dari mana kita memperoleh sumber rujukan itu. Dengan kata lain, mencedok atau menciplak bulat-bulat dan menganggapnya sebagai hasil sendiri.

“Meletakkan sumber rujukan simboliknya untuk memberitahu bahawa kita menggunakan hak orang lain bagi mengembangkan ilmu sedia ada.

“Kita tak boleh menolak bahawa proses percambahan ilmu baru perlu membuat rujukan daripada hasil orang lain,” katanya.

Tags: plagiarism
Subscribe

Posts from This Journal “plagiarism” Tag

  • Plagiarisme politik

    Artikel “ Muda plagiat Muda” menjadi bahan bacaan hari ini, 18 September 2020. Ciplak atau plagiarisme bermaksud "perbuatan meniru…

  • Opting for the easy way out

    The writing on ‘Plagiarism and paper chase’ (Nov 7, 2017) is of course of interest to many readers especially the academics. It seemed…

  • Plagiarism and the paper chase

    A FEW days ago, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) announced that it would be using the QR (Quick Response) code on each of its…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments