kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Merencana GLC negeri

MAJLIS yang diadakan pada hari itu sekali lagi berkait soal ‘integriti’ dalam pentadbiran negeri. Yang menyentuh soal kejujuran dan ketulusan serta ko­mitmen dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan bagi kepentingan negeri dan rakyat.

Integriti itu jugalah yang diharap memberi makna ‘bersih’ terhadap kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bagi mengukuhkan keyakinan rakyat, dijadikan sebagai salah satu teras dalam gagasan Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

Namun kelihatan banyak kerusi kosong yang sepatutnya dipenuhi kalangan yang sepatutnya turut serta dalam Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (TISB) dan Anak-Anak Syarikat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini kerana ia khusus buat mereka.

Ini memberi gambaran tidak me­nyenangkannya, apatah lagi banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang ternyata tidak berdaya maju, malah dikatakan lebih kerap mengira kerugian setiap tahun walaupun mereka di tempatkan di lubuk yang sepatutnya dapat mengaut keuntungan.

TISB adalah sayap pelaburan negeri dengan 20 anak syarikat yang diharap menjadi tunjang kekuatan ekonomi negeri dan keuntungan yang dicapai dapat dipulangkan dengan membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat, bukannya turut mengeringkan kantung negeri tanpa rasa kesal dan bersalah.

“Saya lihat banyak kerusi yang kosong dan ini menunjukkan mereka yang dilantik dalam pengurusan syarikat masih ada yang tidak serius dan komited dengan tanggungjawab dan peranan mereka. Jadi, saya fikir adalah perlu untuk saya menyemak semula pelantikan tersebut dan jika perlu, kita akan melakukan rombakan,” katanya yang menyifatkan ia satu siri majlis yang begitu penting.

Sebelum itu, empat program serupa diadakan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

“Kita perlu mempunyai disiplin tinggi dan konsep yang saya bawa ialah mesra tapi tegas. Jadi kalau GLC tidak dapat memberikan keyakinan (untuk maju) kepada pihak pengurusan kerajaan negeri, kenapa kita perlu kekalkan pentadbiran yang ada,” katanya.

Ahmad Razif ternyata tidak menyembunyikan lagi rasa kesalnya dengan berterus terang walaupun menyedari bahawa beliau tidak akan popular dengan langkah sebegitu, malah mungkin hanya akan merentang duri dalam perjalanan politik dan pentabirannya.

Ramai yang tertarik dengan kenyataannya itu dan mahu Ahmad Razif membuktikannya kelak dengan melakukan pembersihan dalam syarikat-syarikat tidak berdaya maju dan berdepan masalah pentadbiran.

Kalangan umum berharap pelantikan kalangan peneraju di GLC negeri lebih terarah kepada habuan politik dan bukannya soal keupayaan sebenar mereka berperanan secara profesional.

Malah mereka mahukan kerajaan tidak harus berterusan melabur sekadar untuk terus menghidupkan sesuatu syarikat dan seakan sekadar membolehkan kalangan tertentu berpaut di situ sehingga peranan sebenar penubuhan sudah tidak lagi terarah tanpa perancangan jelas untuk memajukannya.

Sebagai sayap pelaburan negeri, syarikat-syarikat milik kerajaanlah yang seharusnya berperanan mencari sumber pendapatan baharu yang sering diperkatakan untuk mengurangkan kebergantungan kepada dana khas yang menyumbang kepada hampir 90 peratus hasil negeri.

Senario ekonomi global yang suram berikutan kejatuhan mata wang negara dan kebergantungan Terengganu terhadap dana khas daripada kerajaan Pusat memberikan gambaran membimbangkan.

Jika disandarkan kepada sumber hasil negeri, bayaran emolumen atau gaji pegawai awam di Terengganu sahaja telah mencecah RM267 juta dan sekiranya ditolak dana khas, kerajaan negeri tidak berupaya melunaskannya.

Hasil sebenar yang diperoleh, daripada RM2.9 bilion bagi tahun 2013 menurun kepada kepada RM2.6 bilion (2014), RM.2.4 bilion (2015) dan anggaran RM2.02 bilion tahun depan,

Ini bermakna kerajaan negeri kehilangan hampir RM600 juta pendapatan dari tahun-tahun sebelum ini, dan gambaran ini turut dibentangkan oleh Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) semasa perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

“Kini kejatuhan harga minyak sudah mula menampakkan kesan kepada pendapatan negeri. Mujur ia tidak begitu drastik kerana dibenteng oleh kenaikan harga mata wang Dollar Amerika berbanding Ringgit,’’ ujar Wan Abdul Hakim.

Kerajaan negeri harus menerima hakikat bahawa ini semakin menjadi ‘kebiasaan baru’ dan perlu mengurus pentadbiran negeri berasakan realiti semasa dengan tumpuan diberikan kepada penjanaan pendapatan negeri berasaskan ekonomi perkhidmatan berbanding ekonomi berasaskan petroleum dan gas.

Sehubungan itu, sememangnya perlu satu pendekatan khusus diberikan kepada GLC negeri ini dengan memberi sasaran yang jelas kepada beberapa indikator yang penting termasuk jumlah keuntungan yang perlu dijana dan berapakah pulangan dividen kepada negeri.

“Jika kita berharap dalam masa lima tahun GLC perlu me­nunjukkan keuntungan sebanyak satu bilion, adakah dividen sebanyak 50 peratus atau RM500 juta setahun yang bakal disumbangkan pada perbendaharaan mencukupi?,” ujarnya.

Justeru sudah sampai masa GLC dikejutkan termasuk untuk mengorak langkah merencana pelan yang jitu dengan mengukuh dan mengembangkan perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa terutama di dalam bidang gas dan minyak, komoditi, perkhidmatan serta pembangunan hartanah.

Anak syarikat kerajaan negeri seperti TDM Berhad, Epic, Golden Pharos Berhad, GPQ dan lain-lain boleh membawa obor itu untuk menambahkan pendapatan dan mencorak masa depan negeri yasng lebih terjamin.

Namun, dalam melaksanakan, sebarang perbelanjaan harus disesuaikan dengan pendapatan yang diterima dan di­sasarkan menjadi kenyataan, dengan kesedaran sebagaimana peringatan Ahmad Razif: apabila ‘sempit bertimpuh, lega berlunjur’. - Wan Zulkifli Wan Yaacob Utusan Malaysia Rencana 14 Disember 2015 6:10 PM

Tags: ekonomi, glc
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments