kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Animasi bercorak Islam tambat hati generasi muda, Internet dan keruntuhan moral

Internet dan keruntuhan moral

Perhatian saya sering tertarik kepada beberapa aspek negatif kafe siber yang kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di seluruh negara. Pada awal diperkenalkan, kafe siber adalah premis yang sering dikunjungi bagi mendapatkan ilmu pengetahuan, merapatkan hubungan perniagaan atau bersosial atau melakukan penyelidikan untuk pelbagai tugasan.

Tetapi kini kebanyakan kafe siber telah bertukar menjadi tempat perjudian dan pertaruhan haram yang melanggar peraturan pelesenan.


Anggota polis merekodkan peralatan komputer yang dirampas dalam serbuan ke atas premis yang menjalankan perniagaan mesin judi di Kuantan, Pahang. UTUSAN/Mahathir Ali

Apa yang lebih membimbangkan, kafe siber sering dikunjungi oleh kanak-kanak sekolah dan remaja tanpa pengawasan orang dewasa. Ini menyebabkan, kanak-kanak dan remaja terbabit mempunyai akses kepada kegiatan perjudian dan permainan online dan pornografi. Adalah lebih penting untuk melindungi generasi muda kita daripada pengaruh negatif yang dibawa oleh Internet ini.

Dengan kemunculan era ICT dan persekitaran pembelajaran pintar, memperoleh pengetahuan dan maklumat melalui komputer perlu dilakukan seiring dengan pendidikan moral dan akhlak yang mencukupi. Jika tidak, apa saja maklumat yang diperoleh boleh disalahguna sehingga menjejaskan masa depan generasi muda kita.

Dengan kemunculan maklumat tanpa sempadan, penekanan yang lebih perlu diberikan kepada penerapan etika dan nilai murni di dalam pendidikan untuk mengelakkan munculnya lebih banyak lagi penyalahgunaan IT dan jenayah siber.

Sungguhpun kita perlu menghasilkan generasi celik IT, ini harus dicapai tanpa mengorbankan atau mengabaikan keperluan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri manusia.Walaupun saya sedar mengenai Internet tanpa tapisan, saya bagaimanapun me­ngambil berat tentang betapa mudahnya akses por­nografi yang boleh memudaratkan minda golongan muda dan seterusnya membawa kepada gejala sosial.

Saya bersetuju dengan pandangan bahawa ada asas untuk mengkaji kemungkinan mem­bangunkan beberapa bentuk sistem penapisan untuk menyekat bahan-bahan yang negatif ini.

Sekarang kita telah menerima Internet, ruang siber dan kandungan online sebagai cara hidup kita yang tidak dapat diubah, jadi apa yang perlu dilakukan adalah untuk membantu generasi muda untuk menjadi lebih bijak dan tidak menjadi mangsa sisi-sisi negatif penggunaan Internet.

Selaras dengan ini, kita perlu memupuk anak-anak kita dengan disiplin dan nilai-nilai murni supaya mereka akan dapat mentafsirkan apa yang baik dan buruk serta menerima yang baik dan menolak yang buruk.

Ini memerlukan program ‘nilai untuk negara’ melalui intensif program yang perlu diajar di sekolah-sekolah, di rumah serta di peringkat masyarakat.

Apa yang penting adalah untuk memperkukuhkan institusi keluarga sebagai teras masyarakat yang sihat dan stabil di dalam memerangi keruntuhan sosial dan moral.

Keruntuhan moral disebabkan oleh kemerosotan nilai moral dan etika yang hanya dapat diatasi bukan melalui undang-undang atau peraturan tetapi dengan menaiktaraf kualiti hidup keluarga dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek disiplin, integriti dan nilai-nilai murni.

Kerajaan sebelum ini menyatakan tidak menapis Internet tetapi jika pornografi di Internet ini terus diedarkan dan dikongsi maka sudah tiba masanya untuk melihat kembali kemungkinan melakukan sesuatu untuk memeriksa bahan yang boleh meruntuhkan moral ini di Internet.

Terdapat keperluan untuk mengemudi golongan muda dari pornografi dan kandungan yang menggalakkan keganasan melalui pendidikan yang betul, kempen advokasi yang berterusan dan keibubapaan yang baik.

Dalam pada itu, kemunculan pelbagai jenis peralatan dan lain-lain alat komunikasi digital yang lebih canggih boleh menyebabkan kegiatan jenayah siber semakin berleluasa.

Peningkatan jumlah peralatan yang diperkenalkan akan meningkatkan penjenayah siber termasuk penggodam yang mengambil kesempatan terhadap sistem keselamatan yang lemah. Ancaman jenayah siber pada hari ini tidak terhad kepada penipuan, pemalsuan, peras ugut, hasutan dan fitnah tetapi juga merangkumi menggodam, penyebaran virus dan serangan ke atas institusi penting negara seperti bank, perniagaan dan agensi kerajaan.

Peralatan terkini dan canggih adalah dialu-alukan pada masa kini kerana ini menunjukkan teknologi maklumat semakin berkembang tetapi sistem keselamatan juga perlu diperkukuhkan untuk memerangi jenayah siber.

Sistem keselamatan bersepadu dan menyeluruh perlu diwujudkan oleh setiap organisasi dengan mempunyai polisi keselamatan maklumat.

Satu mekanisme perlu untuk mengintegrasikan semua elemen keselamatan siber sedia ada termasuklah peranti keselamatan, peranti rangkaian dan sistem pengesanan pencerobohan untuk mengesan dan seterusnya mengelakkan berlakunya aktiviti pencerobohan sistem komputer.

Dalam pada itu, ibu bapa perlu memainkan peranan pen­ting dalam mendidik anak supaya generasi baru tidak mudah terpedaya dengan fitnah di Internet. Fenomena penularan fitnah dan eksploitasi di Internet boleh dibanteras menerusi pe­ranan ibu bapa.

Kita dapat lihat media sosial menjadi medan pergaduhan, penyebaran fitnah dan lebih menakutkan menjadi medium anti kaum yang sangat membimbangkan terutama apabila muncul sesuatu isu yang dipaparkan dalam media massa.

Semua pengguna Internet terutamanya media sosial perlu tahu peranan serta tanggungjawab mereka sebelum memuat naik bahan seperti gambar atau video kerana mungkin menyinggung perasaan pihak lain.



Animasi bercorak Islam tambat hati generasi muda

PERKEMBANGAN teknologi yang berlaku hari ini membawa impak sosial yang hebat dalam aspek tamadun bangsa. Isu identiti bangsa dan warisan Islam semakin dipinggirkan, terutama oleh generasi muda yang hanyut dibuai pesona budaya asing yang dibawa oleh Barat.

Teknologi menjadi pemangkin dalam usaha penyebaran dakwah melalui pelbagai medium yang disediakan. Contohnya aplikasi internet, drama, filem dan iklan, animasi, radio, televisyen dan banyak lagi aplikasi terkini yang terlalu mudah untuk dicapai.

Masyarakat amat terpengaruh dengan apa yang ditayangkan di media massa. Justeru, ia adalah peluang untuk pendakwah teknologi menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing, memainkan peranan dan memikul tanggungjawab dakwah.

Di sinilah pentingnya ruang dan kepakaran itu dimanfaatkan bagi menakluki hati masyarakat. Apa yang perlu digarapkan adalah penghasilan drama, filem dan iklan memerlukan tenaga tunjang iaitu pengarah, penerbit dan penulis skrip yang memahami dan mementingkan aspek ajaran Islam dalam setiap produk mereka.

Daripada sini bermulanya pendidikan secara tidak langsung kepada masyarakat yang memerlukan alternatif lain bagi kepelbagaian tontonan mereka.

Pembangunan jiwa ummah

Kanak-kanak juga adalah kelompok yang tidak boleh dipencilkan dalam arena dakwah. Generasi muda yang terdidik dengan acuan yang betul mampu memberi corak yang positif terhadap pembangunan negara.

Justeru, pembangunan negara yang mapan perlu bermula dengan pembangunan jiwa ummah yang mantap. Industri di negara kita masih kekurangan dan memerlukan lebih banyak animasi bercorak Islam yang mewarnai dunia hiburan kanak-kanak supaya mereka terdidik dengan ajaran Islam yang sebenar dengan cara lebih menarik.

Bukan setakat kualiti maklumat yang disalurkan dalam animasi itu dipentingkan, malah ia satu cabang dakwah yang berkesan untuk menambat hati generasi muda dan kanak-kanak. Itulah elemen yang mampu disuntik dalam kerangka pembangunan jiwa ummah bagi golongan teknodaei yang tercari-cari peluang dan ruang yang mudah untuk mendekati masyarakat.

Dominasi media elektronik juga perlu diperbanyakkan dengan pengamal, peneraju, pembikin dan penyampai yang berkualiti dari aspek sahsiah dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap dakwah.

Dari sini, akan lahir produk yang pengetahuan dan pengajaran Islam untuk dihidangkan kepada masyarakat. Berdakwah tidak hanya terhad dengan cara yang membabitkan pendengar atau penonton, tetapi kalangan pembaca juga perlu diambil kira.

Sastera dan novel mampu dijadikan alat dakwah dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat supaya memahami Islam secara menyeluruh.

Kerjasama pengkarya

Kerjasama antara pengkarya, pengamal filem dan golongan agama perlu disinergikan supaya filem atau novel yang dihasilkan mempunyai nilai tinggi.

Bagi mencari kepelbagaian dalam penyampaian dakwah, novel Islam boleh diadaptasi dalam bentuk filem. Ia adalah satu bentuk usaha yang bermotifkan dakwah kerana teknologi sekarang tidak seharusnya merencatkan perkembangan Islam.

Teknologi membuka ruang kepada penyebaran maklumat mengenai agama dengan lebih pantas dan berkesan.

Namun, jumlah penyebaran maklumat yang banyak tidak dapat menjamin mutu kefahaman mengenai agama.

Di sini wujud halangan yang sebenar dalam dakwah iaitu berlakunya penyampaian semata-mata tanpa ada unsur tarbiah dan mungkin hanya bergantung kepada teknologi semata-mata.

Keprihatinan terhadap perubahan sosial yang melanda tamadun dan budaya warisan bangsa oleh arus kemajuan teknologi ini mendorong Universiti Teknologi MARA Melaka menganjurkan Persidangan Antarabangsa Warisan Islam bertemakan Warisan Islam Memacu Warisan Bangsa baru-baru ini bagi mengangkat budaya, pemikiran dan ilmu warisan kecemerlangan Islam dalam konteks teknologi.

Teknologi sentiasa berkembang dan harus difikirkan bagaimana untuk mengembangkan kesedaran masyarakat dalam mensinergikan pembangunan teknologi dengan pembangunan insan.

Realiti hari ini dapat dilihat terpisahnya golongan agama dan profesional seolah-olah satu bentuk sekularisme. Ia terhasil daripada pendidikan yang memisahkan agama dan ilmu.

Kemajuan teknologi dianggap gagal sekiranya ia tidak dapat menghubungkan manusia dengan Allah.

Oleh itu, manfaat daripada perkembangan teknologi perlu digunakan dalam usaha teknodaei mendekati masyarakat pada masa kini bagi pembangunan jiwa ummah.

Yang penting, penggunaan teknologi perlu secara seimbang dan bijaksana. Shafezah Abd Wahab Berita Harian Kolumnis Jumaat, 18 Disember 2015 @ 7:03 AM

Tags: internet, karya, moral, teknologi
Subscribe

Posts from This Journal “karya” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments