kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ambil iktibar kisah Hang Nadim

SETIAP kapal hanya dikepalai seorang nakhoda untuk mengendalikan laju geraknya.

Memilih jalur yang tepat agar tidak bertembung dengan kapal lain. Mempersiapkan kapal berserta awak-awaknya untuk menghadapi terpaan badai, ombak menggunung dan gugusan batu karang yang kadang-kala tidak nampak namun bila-bila masa sahaja mendatangkan kecelakaan.

Demikianlah UMNO. UMNO ha­nya berpimpinkan seorang nakhoda. Tidak dua. Tidak tiga.

Namun, nakhoda memerlukan anak-anak kapal yang baik, untuk kapal akhirnya tiba di pelabuhan. Tidak semudah itu cabaran yang hendak ditempuh andai hanya bergantung kepada 3.5 juta ahli parti itu untuk berdepan 14 juta pengundi daripada keseluruhan 30 juta rakyat.

Untuk kapal meluncur laju, UMNO tidak perlukan awak-awak yang sengaja memberikan laporan salah untuk menyelamatkan tengkuk sendiri.

Berdepan dengan rakyat dalam keadaan langit terbuka luas terma­suk percambahan parti-parti politik serpihan yang entah benarkah haluannya, banyak perkara melekat di benak fikiran nakhoda.

Pengundi muda umpamanya menjadi kumpulan yang sangat-sangat di atas pagar. Mereka diandaikan belum lagi berbuat apa-apa keputusan.

Ada kalangan mereka mengundi buat kali pertama dalam pilihan raya akan datang. Tiada mana-mana parti politik berani mendakwa mendapat sokongan blok pengundi muda.

Pengundi muda yang pertama kali mengundi, mempunyai penilaian lebih luas.

Ini dikatakan pengundi yang terapung yang mana tidak ketahuan apungan ke arah mana. Mereka dikatakan mengundi atas dasar rasional, tidak lagi mengundi atas dasar kekuatan parti. Mereka menilai segmen lebih besar seperti isu, sentimen dan persepsi.

Ruang untuk pengundi muda masih terbuka luas dan kini bergantung kepada strategi parti politik bagi menjuarai persepsi kelompok ini.

Dalam diterjah badai, kapal perlukan keseimbangan. Nakhoda per­lukan yang tua ada pengalaman dan yang muda dengan ilmunya. Bukankah lebih baik digabungkan kedua-duanya menjadi sesuatu yang lebih hebat?

Belajar menerima teguran. Ti­dak memandang sesuatu perkara remeh hanya kerana berfikir de­ngan kelebihan yang ada.

Salah seorang daripada penasihat ketenteraan pada zaman Kerajaan Cao hanyalah budak berumur 15 tahun sahaja. Pembina sebuah empayar hebat Macedonia hanya berumur 18 tahun - Alexander The Great. Begitu juga Al-Fateh yang menakluk Constantinople pada usia 21 tahun dan naik takhta pada umur 19 tahun.

Buat ketua-ketua bahagian UMNO dan ketua-ketua cawangan, pandanglah seseorang itu melalui ilmu dan pengalaman. Usia hanya sekadar angka, bukan pengukur kepada kredibiliti. Kalau mahu dihormati, biarlah dengan ilmu dan pengalaman. Bukan merendahkan mereka hanya kerana menyangka empunya diri memiliki kelebihan dalam satu aspek. Singapura selamat kerana buah fikiran si budak kecil yang umurnya dalam lingku­ngan tujuh tahun.

Siapa tahu, pagi yang aman dan damai di Temasik bertukar menjadi mimpi ngeri. Nelayan yang mahu turun ke laut mencari rezeki bertempiaran menyelamatkan diri dari angkara todak. Lantas, si raja Singapura berfikir andai sumber rezeki utama Temasik iaitu laut tidak dapat disentuh, bagaimana Temasik mahu berjalan?

Lantas diarahnya orang-orang serta hulubalang istana berdiri di tepi pantai berbentengkan betis. Buah akal raja Singapura ketika itu akhirnya mengundang padah. Pantai Temasik bergelimpangan jasad tidak bernyawa dengan darah membasahi pantai putih bersih.

Tiba-tiba muncul seorang penyelamat. Tiada siapa sangka Hang Nadim, seorang kanak-kanak kecil mencadangkan agar dibentengkan dengan batang pisang.

“Apakah halnya kita sekalian ini berbenteng dengan betis? Bukankah baik kita dirikan sahaja benteng batang pisang?”

Maka idea daripada si kecil ini disambut riang. Todak yang menyerang akhirnya kalah pada buah akal seorang kanak-kanak naif bernama Hang Nadim. Lalu diangkat seluruh penduduk kampung sebagai seorang wira.

Siapa tahu, kebijaksanaan Hang Nadim ini menimbul cemburu kepada penasihat istana. Mana mungkin budak muda yang masih mentah ini memiliki akal mengatasi mereka. Dek kerana kesombongan dengan apa yang dimiliki, maka ditamatkan riwayat budak kecil ini.

Hang Nadim hanya budak kecil dan ramai daripada kita yang sombong akan umur yang dimiliki, tetapi memandang rendah serta enteng pada usia itu sehingga menyangka diri sahaja yang gah.

Nyahkanlah sikap yang andai ada seperti pada diri pembesar Melayu yang menamatkan riwayat Hang Nadim - si genius yang kalau dilentur dan dibentuk bakal menggegar dunia.

Bagi sebilangan ketua bahagian atau ketua cawangan UMNO yang masih enggan menerima golongan muda cerdik pandai hanya kerana bimbang diri akan dicaras atau dicantas, ambillah iktibar ini.

Jangan disekat-sekat kalau orang muda berkeinginan menyertai dan berkhidmat untuk UMNO. - Zulkifli Jalil Utusan Malaysia Rencana 17 Disember 2015 6:10 PM

Tags: politik, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments