kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tangani Ancaman Media Sosial ~ Positif, Negatifnya

Tangani Ancaman Media Sosial

MUKADIMAH SIRI kelapan Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hari ini.

Program bertajuk ‘Media sosial: positif atau negatif?’ bertujuan membincangkan mengenai sejauh mana medium berkenaan telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna untuk tujuan kebaikan.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NI ZAM YATIM baru-baru ini, Naib Canselor UTeM yang juga Timbalan Pengerusi Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) MPN, PROF. DAT UK DR. SHAHRIN SA HIB (gambar) berpendapat semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan tsunami media sosial tidak membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

UTUSAN: Kenapakah ta­juk ini dipilih?

SHAHRIN: Pertama­nya, perangkaan pada tahun lalu menunjukkan di Lembah Klang ini peranti komunikasi yang digunakan lebih banyak daripada orang. Ini bermakna, satu orang itu menggunakan lebih daripada satu peranti termasuk telefon bimbit, tablet, iPad, komputer riba dan peralatan komunikasi lain yang mempunyai sambungan dengan Internet. Keduanya, bilangan pengguna Internet yang aktif di negara ini kini melebihi 20.1 juta dengan 16.8 juta daripadanya menggunakan media sosial.

Kadar penembusan penggunaan media sosial berbanding keseluruh­an penduduk pula adalah seba­nyak 64 peratus dan yang menarik perhatian kita ialah purata masa yang digunakan pengguna bagi mengakses media sosial setiap hari adalah lebih tiga jam.

Ketiga, daripada keseluruhan pengguna telefon bimbit di negara ini, sebanyak 58 peratus menggunakan aplikasi media sosial.

Keempat, pengguna Facebook di negara ini adalah sebanyak 10.4 juta. Daripada jumlah itu seba­nyak 3.5 juta adalah golongan muda berusia 18 hingga 24 tahun.

Berikutan jumlah pengguna media sosial yang ramai di negara ini yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan usia, kita ingin melihat adakah penggunaan terbanyak medium ini untuk tujuan positif atau sebaliknya.

Apakah kesan positif media sosial?

Memang ada faedahnya. Kerana teknologi ini umpama pisau tajam yang boleh digunakan untuk tujuan kebaikan seperti memotong sayur dan juga sebaliknya seperti membunuh orang. Contohnya, Facebook sendiri pada waktu mula-mula diwujudkan bertujuan mengumpul dan mewujudkan hubungan dalam kalangan kumpulan graduan yang telah menamatkan pengajian dari sesebuah universiti.

Kini banyak lagi kesan positif Facebook, termasuk membolehkan syarikat mempromosikan produk mereka. Pada hari ini, tiada syarikat yang buat bisnes yang tiada Facebook.

Dalam bidang pendidikan sendiri seperti di UTeM, pensyarah telah menggunakan media sosial sama ada Facebook, WhatsApp atau lain-lain bagi tujuan perbincangan keilmuan termasuk memberikan tugasan kepada pelajar dan mencadangkan topik-topik tertentu yang perlu dibaca pelajar. Ada juga dalam kalangan pensyarah yang merekodkan sesi kuliah dan kemudiannya memuat naik dalam YouTube untuk kemudahan pelajar.

Bagaimana pula aspek yang negatif?

Media sosial ini turut digunakan sebagai satu platform untuk membuli. Contohnya, pasangan kekasih apabila bergaduh akan saling meng­ugut untuk mendedahkan gambar yang bersifat peribadi dan tidak wajar dijadikan tatapan umum. Kes seperti ini apabila telah mencapai satu tahap yang serius akan menjadi kes jenayah.

Begitu juga YouTube, walaupun ada video yang boleh memberikan pengetahuan berguna, tetapi peratusnya adalah lebih kecil berban­ding video tidak berfaedah yang bersifat hiburan semata-mata. Saya dapati kesan negatif media sosial juga berpunca daripada kecende­rungan pelbagai pihak menggunakan kaedah 3G bagi meraih keuntungan dari segi kewangan. 3G ialah gambling (perjudian), gaming (permainan) dan girl (perempuan).

Perlukah Malaysia menyekat media sosial seperti di China?

Malaysia tidak boleh melakukannya kerana pada waktu kita mula-mula melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) telah ada jaminan untuk tidak melakukan penapisan bagi tujuan menarik kemasukan pelabur asing dalam bidang ICT.

Bagaimanapun, setelah berlaku beberapa kes jenayah yang memerlukan kerajaan mendapat bahan bukti untuk tujuan pendakwaan di mahkamah, baharulah kerajaan membuat pemantauan terhadap trafik data yang masuk ke dalam negara dan juga maklumat yang disalurkan menerusi organisasi, jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi serta syarikat.

Setakat ini kita tidak melakukan sekatan seperti di China sehingga menyebabkan Google dan Facebook tidak boleh diakses rak­yatnya. Sebaliknya Malaysia secara amnya membenarkan akses secara agak terbuka. Cuma apabila mendapat aduan, pihak berkuasa akan menyekat laman web dan aplikasi tertentu.

Adakah undang-undang sedia ada memadai untuk menyekat salah guna media sosial?

Sebenarnya banyak akta yang boleh digunakan bagi mengawal salah guna media sosial termasuk Akta Hasutan dan Akta Percetakan. Ini bermakna banyak undang-undang yang boleh digunakan dan kita tidak perlu bergantung kepada akta yang berkaitan dengan teknologi maklumat sahaja untuk mendakwa pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Jadi bagi saya undang-undang sedia ada adalah memadai dan menyeluruh.

Bagaimana pula dari aspek pe­nguatkuasaan?

Dari segi penguatkuasaan, pihak polis telah mempunyai bahagian siber sendiri. Kita juga mempunyai pakar yang boleh mengesan pihak yang mula-mula menyebarkan emel yang menyalahi undang-undang.

Cuma yang perlu dipertingkatkan adalah bagi melahirkan lebih ramai pakar berkelulusan dalam bidang keselamatan komputer yang berpengetahuan mengenai forensik digital yang boleh mengesahkan ketulenan sesuatu video, gambar, audio dan dokumen.

Dalam erti kata lain, pakar ini boleh mengesahkan data-data ber­kenaan tidak disunting sehingga boleh dijadikan sebagai bahan bukti di mahkamah.

Adakah perlu pendidikan etika di peringkat sekolah?

Kalau kita tengok di Amerika Syarikat (AS), etika siber sudah menjadi satu budaya hidup. Sebaliknya di Malaysia, orang kita mempunyai banyak kerangka minda.

Contohnya, seseorang itu bila berada dalam masjid memang cukup warak, tetapi bila memandu kereta, dia boleh menjadi pemandu yang paling tidak berhemah.

Ini membuktikan orang di Malaysia ini tidak berpegang kepada satu nilai etika sahaja. Jadi sistem pendidikan kita perlu ditingkatkan bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai etika sekata.

Jika di luar mereka sudah didi­dik supaya tidak mencarut kepada orang lain maka perkara sama juga perlu dibuat apabila berhubung dalam media sosial.

Utusan Malaysia Rencana 17 Disember 2015 6:15 PM


Positif, Negatifnya Media Sosial

ADAKAH anda resah gelisah sekiranya tidak dapat melihat perkembangan status anda di media sosial dalam sehari? Jumlah masa yang anda tumpukan pada media sosial tentu melebihi sejam. Malah, kalau anda menggunakan telefon pintar, beberapa aplikasi media sosial kegemaran anda seperti Facebook, Twitter,Instagram, Skype, Viber dan WhatsApp tentu sengaja dibiarkan beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu. Dalam hal ini, adakah anda tergolong dalam kelompok pengguna tegar media sosial?

Kalau jawapannya ya, jangan gusar kerana anda bukan keseorangan. Berdasarkan statistik terkini di laman Statistika, penggunaan harian media sosial oleh pengguna Internet secara global telah mencecah 106.2 minit sehari berbanding 103.2 minit sehari pada 2014. Pada 2016 yang akan menjelang tidak lama lagi, pengguna media sosial sedunia dijangkakan mencecah dua bilion. Facebook masih media sosial paling popular pada 2015 dengan 1.5 bilion pengguna aktif sebulan.

Kalau dilihat dari segi jumlah jam purata penggunaan media sosial mengikut negara, Argentina paling hebat dan menjuarai senarai ini dengan penggunaan 4.3 jam sehari. Ini diikuti Filipina, Mexico, Brazil, Thailand dan Emiriyah Arab Bersatu. Malaysia berada di tempat keenam dengan 3.5 jam sehari. Di ASEAN, penggunaannya amat tinggi dengan negara tetangga kita seperti Filipina pada 4.3 jam sehari, Thailand pada 3.8jam sehari, Vietnam pada 3.1 jam sehari, Indonesia pada 2.9 jam sehari dan Singapura pada 2.5 jam sehari. Sebagai perbandingan, penggunaan media sosial di Amerika Syarikat hanya pada 2.7 jam sehari, Korea Selatan pada 1.3 jam sehari dan Jepun pada 0.7 jam sehari.

Fenomena ini tentu menarik kerana media sosial begitu popular di negara ASEAN dan masa yang digunakan amat tinggi. Bagi kebanyakan pengguna tegar media sosial, masa penggunaan boleh mencecah melebihi 12 jam sehari. Keadaan ini tentu merunsingkan ramai pihak seperti ibu bapa, suami, isteri dan majikan. Pada pandangan mereka, produktiviti kerja pasti menurun kerana banyak masa terbazir pada media sosial yang dianggap tidak berfaedah. Namun bagi pengguna media sosial, masa tersebut tidak sia-sia kerana mereka mendapat banyak manfaat daripada interaksi di alam siber. Antaranya maklumat dan gosip, selain pelbagai permainan interaktif yang mengasyikkan.

Keadaan ini tentu menimbulkan konflik antara ibu bapa dan anak, suami dan isteri serta pekerja dan majikan. Dalam situasi ini, adakah media sosial suatu alat yang positif atau negatif?

Secara mudah, media sosial adalah aplikasi komputer yang menjadi pengantara atau media di alam siber untuk membolehkan penggunanya mencipta pelbagai maklumat berkenaan pelbagai perkara secara santai dalam bentuk teks, gambar dan video yang dikongsikan kepada rakan-rakan dalam suatu rangkaian maya. Nama media sosial digunakan kerana pada mulanya tujuan utama kemudahan ini adalah untuk bersosial.

Dengan media ini, pengguna komputer tidak lagi perlu keluar dan dapat bersembang atau berkongsi pendapat dengan rakan mereka secara maya. Kawan-kawan baru juga mudah diperoleh kerana berbanding di dunia sebenar tiada batasan atau sekatan pergaulan dalam alam maya.

Di alam siber, seorang pengguna boleh diwakili oleh sebuah avatar atau imej yang jantina, ras, kewarganegaraan, kerja, status perkahwinan, watak dan usianya boleh berbeza dengan keadaan di alam sebenar. Seorang lelaki tua boleh memberikan imej jejaka kacak yang muda dan kaya. Begitu juga seorang wanita boleh menyamar sebagai gadis ayu yang belum berpunya sedangkan mungkin sudah bersuami dan beranak enam.

Dengan pengetahuan yang pentadbir media sosial sahaja yang mengetahui peribadi sebenar, memberikan keberanian luar biasa kepada pengguna media sosial. Tanpa ketakutan ini, pengguna yang berniat jahat mudah mempengaruhi rakan media sosialnya untuk bermain cinta dan melakukan pelbagai tindakan yang akhirnya menyebabkan kerugian wang ringgit dan ada kalanya maruah serta kehormatan diri hancur.

Di Malaysia penggunaan media sosial begitu meluas dan ramai warganegara melanggani beberapa aplikasi serta mempunyai lebih daripada satu akaun. Dengan kemudahan membentuk kumpulan atau komuniti, apa yang dimuat naik oleh pengguna akan diterima oleh semua ahli dalam kumpulan maya tersebut. Sesuatu berita begitu cepat merebak dan menjadi viral kerana sesuatu pos yang sensasi cepat dimajukan kepada semua ahli. Mereka pula akan memajukan pos tersebut kepada rakan-rakan dan ahli dalam kumpulan lain. Cerita yang kecil boleh menjadi besar seperti riak di air yang akhirnya menjadi gelombang tsunami.

Mengikut kajian, lebih ramai yang malas untuk berfikir lama dan mudah mempercayai apa yang dikirim oleh rakan mereka sebagai sahih. Oleh itu, media sosial bertukar menjadi satu wahana yang efektif untuk menyebarkan khabar angin dan fitnah mengatasi surat layang.

Majlis Profesor Negara mengambil pendirian bahawa pengguna perlu dididik untuk lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial. Pelbagai kaedah boleh digunakan untuk memastikan pengguna mematuhi undang-undang dan menggunakannya secara beretika. Pendidikan boleh membentuk budaya bermedia sosial yang lebih efektif, mampan dan sesuai dengan nilai murni Malaysia.

Masyarakat dunia termasuk di Malaysia kini mempunyai gaya hidup berteraskan digital. Hampir semua urusan seperti perbankan sehingga ke memesan makanan dapat dilakukan dengan menggunakan peralatan digital. Berdasarkan gaya hidup ini dan penularan penggunaan media sosial, ramai pihak yang mengambil kesempatan untuk berniaga secara atas talian. Dari produk tudung, kraf tangan, insurans, emas sehingga ke ikan pekasam sudah boleh dijaja melalui media sosial. Aktiviti ini mendatangkan pendapatan lumayan kepada pelbagai usahawan Internet yang dahulu terhad pasarannya.

Media sosial juga digunakan oleh pelbagai pihak termasuk Kerajaan Malaysia untuk menyampaikan khidmat berguna dengan kos yang amat murah. Media sosial boleh juga digunakan untuk berdakwah. Ketika bencana alam seperti banjir besar melanda, media sosial memainkan peranan sebagai penghubung penyelamat dengan mangsa. Dalam situasi ini, adakah media sosial suatu alat yang positif atau negatif?

Media sosial banyak berjasa di kawasan luar bandar kerana berperanan menghubungkan ahli keluarga yang berjauhan. Seorang ibu dari kaum Penan di sebuah desa pedalaman seperti di Long Lamai, Sarawak dapat melihat dan bercakap dengan anak dan sanak saudaranya di Kuching melalui media sosial dengan kemudahan pusat Internet di kampung tersebut. Dahulu, perjalanan ke kampung terpencil tersebut akan memakan masa yang agak lama dan terpaksa melalui jalan darat melalui kawasan hutan dan pembalakan serta sungai yang berliku. Kos perjalanan amat tinggi dan banyak risiko yang perlu dihadapi sedangkan komunikasi melalui media sosial amat murah asalkan talian Internet dapat diperoleh. Kemudahan yang sama tetapi lebih besar jalur lebarnya boleh digunakan untuk memantau pelajar di luar negara.

Kemudahan streaming video membolehkan warganegara Malaysia di luar negara mengetahui apa yang berlaku di tanah air secara langsung atau secara siaran tertunda. Universiti awam di Malaysia sedar kecanggihan teknologi media sosial tersebut boleh digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Kaedah blended learning atau pembelajaran campuran menjadi lebih efektif apabila digabungkan dengan media sosial. Dalam situasi ini, adakah media sosial suatu alat yang positif atau negatif?

Tags: media, sosial
Subscribe

Posts from This Journal “media” Tag

  • Hampir semua berita berbaur politik

    Kita terlampau berpolitik, setuju? oleh Merrepak 24 Mac 2019 adalah dipersetujui. Setiap hari tentunya kita akan membaca dan memperolehi berita…

  • Print media still has a role

    Avoid straining your eye and outlook and ‘never say die’ is maybe what I understand of the writing by the NST group editor, Rashid Yusof…

  • Media cetak masih relevan

    Elakkan dari menyakitkan mata dan pandangan anda dan 'jangan mengalah' mungkin apa yang saya faham tentang penulisan oleh editor kumpulan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments