kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Petaka koyaknya integriti

INTEGRITI amat penting kepada setiap manusia. Ia boleh diumpamakan seperti brek - jika kereta yang dipandu tiada brek pasti akan terjun ke dalam gaung, begitu juga dengan manusia yang breknya tidak ‘makan’, azab Allah bakal menanti jika berterusan melakukan kemungkaran tanpa sempat bertaubat.

Segelintir pekerja lazimnya akan bekerja dengan penuh dedikasi apabila berada di hadapan ketua; pemandu cukup berhemah apabila mendekati kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES); pemimpin berwajah manis dan penuh keikhlasan apabila berhadapan dengan rakyat atau menjelang pilihan raya, begitulah seterusnya.

Jika semua penghalang itu tiada, apa yang bakal terjadi? Rasanya tidak perlu dihuraikan, namun kenyataan ini tidak terpakai kepada individu yang berintegriti atau takutkan azab Allah.

Saban tahun Jabatan Audit Negara akan mengeluarkan laporan mengenai ketirisan dan salah laku jabatan kerajaan bersabit dengan pengurusan kewangan yang lemah. Jabatan atau agensi kerajaan tidak bersalah kerana roh penubuhannya amat jelas iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat, tetapi apa yang menjadi masalah ialah ‘batang tubuh’ yang berada di dalamnya.

Sebenarnya masalah integriti di negara ini agak membimbangkan, jika ia kecil atau dianggap sebagai kes terpencil maka tidak perlulah ditubuhkan badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

SIAP yang genap usianya empat tahun pada 1 April lalu, diperanakkan hasil daripada cadangan asalnya iaitu pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Secara praktikalnya EAIC lebih baik kerana tidak hanya tertumpu kepada satu agensi penguatkuasaan sahaja tetapi merangkumi dan mengawal 21 agensi penguat kuasa utama negara.

Ini kerana perasaan tidak puas hati rakyat tidak semestinya tertumpu kepada polis sahaja, agensi penguatkuasaan lain pasti tidak terkecuali kerana mereka turut berurusan secara langsung dengan rakyat.

Menurut statistik aduan diterima SIAP bermula 2011 hingga 2015 yang boleh dirujuk daripada laman web, www.eaic.gov.my/pusat-sumber/statistik/aduan, polis meng­ungguli carta selama lima tahun berturut-turut, jauh meninggalkan 20 pencabarnya.

Pada 2011 SIAP menerima sebanyak 17 aduan terhadap polis, 2012 (253 aduan), 2013 (215 aduan), 2014 (222 aduan) dan 2015 (200 aduan) menjadikan keseluruhannya seba­nyak 907 aduan. Mengekori rapat ialah Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kastam Diraja Malaysia yang masing-masing menerima 63, 42 dan 23 aduan bagi tempoh sama.

Bukan untuk mencari kesalahan mana-mana agensi atau individu kerana semua pihak arif bahawa manusia itu bukannya maksum, kecuali Rasulullah SAW, yang bermaksud kebarangkalian untuk sesiapa sahaja melakukan kesalahan adalah amat tinggi.

Persoalannya, bolehkah alasan mudah ini digunakan? Contohnya banjir, selain daripada faktor musim tengkujuh dan taburan hujan yang tinggi, terdapat juga pe­nemuan mengatakannya berpunca daripada kawasan tadahan hujan yang diterokai secara rakus, adakah wajar kita menganggapnya sebagai ketentuan Allah tanpa gigih berusaha menanganinya.

Tindakan proaktif amat perlu dilakukan oleh semua pihak yang terbabit termasuk mengenalpasti dan menutup terus segala pintu-pintu yang mendorong kepada keruntuhan integriti ini.

Perlu diingatkan, tujuan utama Allah menciptakan manusia dan jin adalah untuk beribadah, sekali gus menjadi hamba terbilang di dunia dan mampu melepasi proses pengauditan di akhirat kelak. Jika kepada Allah Yang Maha Kuasa pun manusia itu gagal melaksanakan tanggungjawabnya, bagaimana pula kepada organisasi yang diwa­kilinya? Ini amat berkait rapat dengan konsep ihsan dalam Islam yang secara ringkasnya bermaksud melaksanakan sesuatu ibadah atau aktiviti dengan perasaan penuh yakin seolah-olah ia dilihat terus oleh Allah SWT.

Soalannya, kebalkah diri hingga mampu menahan dibakar api neraka? Jika tidak mampu, jangan berlagak sombong, jagalah integriti anda.

- Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana 17 Disember 2015 6:20 PM
Tags: integriti
Subscribe

Posts from This Journal “integriti” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments