kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hak asasi Muslim yang lebih kukuh

PERLEMBAGAAN Perseku­tuan meletakkan asas yang kukuh bagi kedudukan Is­lam sebagai agama negara melalui fasal 3(1) dan fasal-fasal lain berkaitan. Sumpah sharie Yang di-Pertuan Agong di dalam fasal 37(1) (Jadual Keempat), memaktubkan tanggungjawab ba­ginda untuk memelihara Islam pada setiap masa. Tugas ini diamanahkan di bahu setiap penjawat awam bagi kerajaan yang memerintah, serta adalah salah satu tiang utama yang membina asas kenegaraan.

Kedua-dua fasal penting ini pada hakikatnya merangkumi tugas memelihara hak-hak Muslim. Kes-kes mahkamah yang telah diputuskan sehingga hari ini jelas menunjukkan tafsiran terhadap kedudukan dan peranan Islam tersebut. Pada masa sama, Islam di Malaysia bukanlah alat untuk menganiaya dan menafikan hak-hak bukan Islam sebagaimana yang dimanipulasi dan dituduh sesetengah pihak.


Golongan LGBT di luar negara kini sudah begitu berani mempromosikan gaya hidup songsang itu di khalayak ramai. Agensi

Frasa ‘agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni’ di dalam fasal 3(1) tersebut adalah prasyarat yang diletakkan secara jelas bagi memastikan wujud sikap saling hormat-menghormati dalam kalangan penganut pelbagai agama di negara ini, sejak Persekutuan ini mula-mula dibentuk dengan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

Kedudukan fasal 3(1) yang mendahului fasal-fasal 5 hingga 13 (Bahagian Kedua) Perlembagaan Persekutuan menunjukkan betapa kepentingan Islam mendahului tuntutan-tuntutan kebebasan asasi atau hak asasi seperti yang difahami di zaman mutakhir ini. Sebagai sebuah negara yang mene­rima Islam sebagai kerangka pandangan hidupnya, Malaysia perlu mengawal selia agar prinsip-prinsip Islam dan nilai-nilai murni lain menjadi panduan bagi membentuk ke­sejahteraan masyarakat.

Pada masa sama, fasal-fasal yang menjamin hak-hak asasi manusia di dalam Perlembagaan Persekutuan menggunakan frasa-frasa yang menunjukkan hak-hak tersebut tidak mutlak, sebagai contoh subject to clause…, save in accordance with law…, Except as expressly authorized by this Constitution…, The Parliament may by law impose…, dan State law and in…Federal law may control or restrict.

Rujukan terhadap saving clauses sebegini mesti diberikan penekanan apabila kita bercakap tentang tuntut­an hak asasi manusia. Kebebasan asasi yang diperuntukkan di dalam bahagian kedua tersebut tertakluk pada kedudukan undang-undang yang wujud dan sedang berkuatkuasa, khususnya undang-undang yang melaksanakan tujuan fasal 3(1).

Gambaran ini diinsafi para hakim apabila memutuskan kes-kes yang mana kedudukan Islam dipersoalkan atas dasar tuntutan hak asasi manusia. Sebagai contoh di dalam kes ZI Publications Sdn. Bhd. & Mohd. Ezra Mohd. Zaid lwn Kerajaan Negeri Selangor (2015), Mahkamah Persekutuan tidak bersetuju dengan hujahan pempetisyen-pempeti­syen berkaitan kuasa Parlimen bagi mengehadkan kebebasan bersuara melalui fasal 10(1)(a).

Bagi Mahkamah Persekutuan, peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan tidak boleh dibaca secara berasingan. Mahkamah berpendapat bahawa fasal 10 di dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bersuara hendaklah dibaca khususnya bersama-sama fasal 3(1), 11, 74(2) dan 121. Fasal 3(1) mengisytiharkan Islam sebagai agama persekutuan manakala fasal 11 menjamin hak menganut dan mengamalkan agama seseorang, tetapi tertakluk pada sub fasal (4) mengenai menyebarkan agama.

Dalam aspek ini, Mahkamah Persekutuan mengesahkan kepu­tu­s­­an-keputusan terdahulu di dalam kes Sulaiman bin Takrib lwn Kerajaan Negeri Terengganu [2009] dan kes Fathul Bari Mat Jahaya lwn Maj­lis Agama Islam Negeri Sembilan (2012) dalam memutuskan bahawa seksyen-seksyen di dalam enakmen-enakmen Jenayah Syariah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Adalah jelas bahawa keteguhan fasal 3(1) ini telah terzahir di dalam pelbagai ujian asid khususnya melalui kes-kes di Mahkamah. Sementara wujud ruang yang luas untuk memperbaiki tata urus dan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini, sudah tiba masanya juga untuk umat Islam menggesa kerajaan mewujudkan agenda hak asasi Muslim yang lebih kemas, terpelihara dan dihormati semua. Usaha seumpama ini sebenarnya adalah benteng terakhir mengawal maruah dan nilai-nilai kehidupan masyarakat yang semakin tergugat akibat serangan bertubi-tubi gerak­an hak asasi manusia kesan lobi mereka dari pentas global.

Serangan terhadap Islam nampaknya semakin meluas di Malaysia dengan kenyataan dan tindakan memperlekeh pihak berkuasa agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis-majlis Agama Islam Negeri. Di sebalik sikap sedemikian sebenarnya adalah usaha berterusan golongan liberal-sekular yang ingin bebas dari bentuk panduan keagamaan demi kehendak dan nafsu individu yang mahukan hak asasi manusia dan kebebasan mutlak. Ini sebenarnya tindakan yang mahu menafikan hak-hak asasi Muslim.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan Bagi Hak Asasi Manusia ASEAN (AICHR), Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah telah mengemukakan pendirian yang kon­sisten dengan Islam dalam aspek ini. Ketika berucap pada majlis penyerahan tugasnya kepada wakil Laos pada 29 November lalu, beliau mengakui bahawa dalam konteks Malaysia, dan yang sebenarnya adalah cerminan nilai-nilai ASEAN itu sendiri, hak-hak asasi manusia tidak boleh diberikan secara mutlak.

Khususnya, hak-hak seperti kebebasan bersuara perlu mempunyai batas-batas tertentu, dan kita tidak boleh secara melulu mengikuti contoh di negara-negara seperti Perancis yang memberikan kebebasan bersuara mutlak, sehinggakan penghinaan terhadap agama dianggap suatu bentuk tradisi satira yang dijamin hak mutlak kebebasan bersuara.

Begitu juga beliau menyebutkan bahawa hak-hak golongan gay dan mereka yang ingin melaksanakan perkahwinan sejenis tidak mungkin mendapat pengiktirafan di negara ini. Adalah jelas bahawa hak-hak asasi manusia sebegitu tidak munasabah. Bahkan, perlu difahami dari lipatan sejarah,hak-hak sedemikian bukanlah perkara-perkara yang pernah diiktiraf atau dipermuafakatkan negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR 1948) sejak diisytiharkan dahulu.

Kita perlu mengakui bahawa selama ini wujud interaksi berkesan antara fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia wujud bagi mengawal insiden penghinaan terhadap Islam dan membela hak asasi manusia, dan sudah tentu dengan ruang pemerkasaan yang luas dan adil.

Hakikat ini, serta keupayaan Malaysia mengemudi ASEAN ke suatu tahap baharu dengan termeterainya Dekla­rasi Kuala Lumpur 2015, perlu mencetuskan usaha menyebar luas wacana kritikal bagi membentuk agenda hak asasi Muslim sebagai naratif baharu hak asasi manusia sejagat.

Dalam hal ini, penyegaran semula Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam 1990 boleh menjadi titik mula usaha tersebut manakala penyertaan optimum golongan alim ulama, pengamal undang-undang serta profesional perlu dizahirkan, demi merangka arah tuju baru gerakan hak asasi manusia yang dapat menyelamatkan manusia dari fahaman melampau tuntutan hak asasi manusia tanpa

Tags: bebas
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments