kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pusat dagangan bijih timah, Gedung jadi pusat pengumpulan timah , Sejarah Pelabuhan Klang

Sejarah Pelabuhan Klang

PELABUHAN Klang memainkan peranan penting di dalam pembangunan ekonomi negara bersesuaian dengan kedudukannya yang hampir dengan hab perdagangan dan perindustrian Lembah Klang.

Lokasi geografinya yang sesuai itu juga menjadikan pelabuhan tersebut pilihan utama persinggahan kapal ke timur dan menjadi pelabuhan terakhir persinggahan ke barat bagi laluan Eropah-Timur Jauh.

Pembangunan fasiliti dan perkhidmatan yang diusahakan menyaksikan kejayaan Pelabuhan Klang sebagai Pusat Muatan Negara yang setanding dengan pelabuhan bertaraf dunia dan terus berkembang menjadi hab serantau bagi pemindahan atau pemunggahan kargo.


Pelabuhan Swettenham sekitar 1970-an. koleksi peribadi Faisal

Peningkatan di dalam pengendalian kontena telah menjadikan kedudukan pelabuhan Klang berada ditangga ke-14 pada 2010, ke-13 pada 2011 dan ke-12 pada 2012 dalam senarai tertinggi 20 pelabuhan utama dunia.

Merangkumi pelabuhan utara, barat dan selatan, Pelabuhan Klang menawarkan kemudahan perkhidmatan yang serba lengkap dan canggih di dalam mengendalikan pelbagai jenis bentuk dagangan.

Mengimbau sejarah pelabuhan berkenaan, pelabuhan itu dahulunya dikenali sebagai Pelabuhan Swettenham dan merupakan salah satu daripada pelabuhan terpenting di Tanah Melayu selepas Singapura dan Pulau Pinang.

Sebelum pelabuhan tersebut dibuka secara rasminya pada 1901, kebanyakan kapal-kapal yang berdagang antara negeri Selat dengan Selangor berlabuh di Klang melalui Sungai Klang.

Jeti-jeti yang terdapat di Klang bagaimanapun tidak mampu menampung pertambahan dalam perdagangan import dan eksport pada awal 1890-an.

Atas sebab itu, beberapa cadangan dikemukakan yang akhirnya menyaksikan Kuala Klang dipilih untuk pembinaan pelabuhan di kawasan pantai.



Pelabuhan Klang dari pandangan atas sekitar 1970-an. KOLEKSI PERIBADI FAISAL

Pembinaan itu pada mulanya hanyalah meliputi dermaga-dermaga atau tembok batu sebagai penahan ombak. Setelah landasan kereta api dibina dari Kuala Lumpur ke Klang, pembinaannya kemudian meliputi gudang-gudang, perhentian kereta api dan kemudahan lain.

Memandangkan berlaku pertambahan kemudahan berkenaan, kos pembinaan yang pada awalnya dianggarkan sebanyak $422,188 (nilai sekarang RM1.8 juta) telah meningkat sehingga $1,108,791 (nilai sekarang RM4.8 juta).

Sebaik sahaja pelabuhan tersebut siap dibina barulah ia diletakkan di bawah tanggungjawab dan pentadbiran Jabatan Kerja dan Lalu Lintas Keretapi.

Pelabuhan itu dinamakan sebagai Pelabuhan Swettenham sempena nama Residen General bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-Negeri Melayu iaitu Sir Frank Swettenham.

Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) kemudian ditubuhkan pada 1963 bagi mengambil alih pentadbiran pelabuhan tersebut daripada Keretapi Tanah Melayu.

Pelabuhan Kelang kemudian diswastakan pada 1986 selaras dengan dasar kerajaan untuk menyemai pengurusan dan disiplin sektor swasta ke atas badan yang dimiliki dan dikawal kerajaan di negara ini.

Kemudahan terminal kontena yang dikendalikan oleh LPK itu diswastakan kepada Klang Container Terminal Berhad.

Selebihnya, bahagian operasi dan perkhidmatan pelabuhan diswastakan kepada Klang Port Management Sdn. Bhd. pada tahun 1992.

Pelabuhan-pelabuhan tersebut digabungkan dan dikenali sebagai Northport Malaysia. Fasiliti terbaru pelabuhan seterusnya dibangunkan di Pulau Lumut dan diswastakan kepada Kelang Multi Terminal Sdn. Bhd. pada 1994 yang dikenali sebagai Westports.



Gedung jadi pusat pengumpulan timah

DIKENALI sebagai Gedung Raja Abdullah atau Muzium Tin, bangunan lama yang terletak berhampiran Jalan Tengku Kelana ini suatu ketika dahulu merupakan pusat pengumpulan, gudang penyimpanan dan pemasaran bijih timah milik Raja Abdullah Raja Jaafar.


Gedung Raja Abdullah suatu ketika dahulu. – PADAT

Menurut Kurator Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat), Intan Salina Idrus, gedung itu dibina berhampiran Pengkalan Batu di Sungai Klang pada 1856 setelah Raja Abdullah diberi kuasa memerintah Klang oleh Sultan Selangor, Sultan Muhammad Shah.

Katanya, kawasan Pangkalan Batu dipilih sebagai tapak gedung kerana lokasinya terletak berdekatan tebing Sungai Klang.

“Raja Abdullah merupakan wakil Sultan yang diperintahkan untuk mengurus dan memperdagangkan bijih timah di daerah Klang.

“Beliau seterusnya mengatur penerokaan kawasan perlombongan bijih timah sehingga ke pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak yang kini dikenali sebagai Kuala Lumpur,” ujarnya.

Menyelusuri sejarah Gedung Raja Abdullah, bangunan tersebut pernah dijadikan markas pertahanan oleh pengikut Raja Mahadi yang berkubu di Kota Raja Mahadi yang terletak tidak jauh dari lokasi berkenaan (kini merupakan pejabat Majlis Perbandaran Klang) ketika tercetusnya perang saudara pada 1866.

“Bangunan dua tingkat bercirikan seni bina Anglo-Indian abad ke-19 dengan gabungan seni bina tempatan itu kemudian dijadikan sebagai Pusat Pentadbiran Daerah pada 1874 oleh Residen Inggeris pertama iaitu JG Davidson di samping menjadi lokasi Majlis Mesyuarat Negeri Selangor yang pertama kali diadakan.

“Bangunan itu seterusnya dijadikan Ibu Pejabat Polis Selangor bermula pada tahun 1880 sehingga 1970,” katanya.

Selepas terbiar kosong, gedung itu kemudian dibaik pulih oleh Badan Warisan Malaysia pada tahun 1984 sebelum dijadikan Muzium Tin setahun kemudian di bawah seliaan Lembaga Muzium Selangor.

“Usaha konservasi bangunan disusuli oleh Jabatan Warisan Malaysia yang melakukan proses membaikpulih pada 2009 dan rawatan kelembapan dijalankan oleh Padat pada 2014,” ujarnya.

Bangunan kayu bertiang konkrit ini dibina secara memanjang dan tinggi dengan tingkat bawah berlantaikan simen sementara lantai di tingkat atas pula berasaskan kayu.

Bersesuaian dengan peranannya sebagai pusat pengumpulan dan penyimpanan bijih timah, gedung itu dibina secara mudah dan ringkas tanpa menerapkan elemen-elemen hiasan seperti rumah-rumah tradisi yang lain.

Di tingkat bawah mempunyai ruang berbilik namun di tingkat atasnya terdapat dewan besar yang dibiarkan terbuka dengan serambi di sekeliling.


Pusat dagangan bijih timah

KEKAYAAN hasil bijih timah yang terdapat di lembah-lembah sungai di Selangor membolehkan masyarakat tempatan menjalinkan hubungan dagangan dengan pedagang luar terutama di utara Semenanjung Tanah Melayu dan Vietnam.

Sumber galian itu amat diperlukan masyarakat luar ketika itu memandangkan logam bijih timah merupakan antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk gangsa.


Lombong bijih timah di Selangor sekitar 1900-1920-an. koleksi peribadi Faisal

Menurut Kurator Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat), Intan Salina Idrus, lembah Sungai Klang antara kawasan yang kaya dengan sumber galian timah.

“Oleh sebab itu, lokasi di sekitar Sungai Klang juga berperanan sebagai pusat pengumpulan bijih timah untuk didagangkan ke luar Semenanjung Tanah Melayu.

“Besar kemungkinan bijih timah dari Lembah Klang dan Lembah Langat didagangkan ke pusat-pusat pertukangan gangsa di tanah besar Asia Tenggara pada zaman logam.

“Hal ini memandangkan timah merupakan salah satu bahan yang diperlukan dalam pembuatan barangan berunsurkan gangsa seperti gendang Dongson,” katanya.

Berdasarkan bukti arkeologi, penempatan-penempatan purba yang wujud di Klang berfungsi sebagai pusat pengumpulan hasil bijih Lembah Klang.

“Pendapat ini diperkuatkan lagi dengan jawapan tiga buah gendang Hegar 1 di Semenanjung Malaysia adalah dari Selangor dan terletak di sekitar kuala sungai.

“Petempatan-petempatan ini amat sesuai untuk menguruskan aktiviti perdagangan luar.

“Selain itu, terdapat juga jumpaan gendang gangsa di Bukit Kuda dan juga loceng gangsa yang dianggap sebagai artifak perdagangan dan bukan produk tempatan.

“Hasil dapatan itu menunjukkan peranan masyarakat awal di Klang dalam aktiviti perdagangan antarabangsa yang turut menyaksikan komoditi terpenting di Klang pada masa itu adalah timah,” katanya.

Tags: ekonomi, sejarah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments