MASYARAKAT Melayu dahulu sememangnya terkenal dengan legenda dan kisah rakyatnya. Di Klang, lagenda Batu Belah Batu Bertangkup cukup popular dan tidak asing lagi bagi masyarakat tempatan.
Malah ceritanya turut diadaptasi ke sebuah filem Melayu yang diterbitkan Jamil Sulong pada 1959 dalam bentuk hitam putih.
Menurut legenda tersebut, batu belah batu bertangkup mendapat nama sempena sebongkah batu besar yang terbelah dua seolah-olah mempunyai ruang mulut yang ternganga dan terbuka seperti gua.
Batu itu dikatakan mengeluarkan suara yang kuat dan menyeramkan di samping boleh menelan ramai manusia yang memuja-mujanya untuk dimakan.
Cerita mengenai batu belah batu bertangkup yang berpuaka itu bagaimanapun menurut Shamsuddin Shawal (gambar) adalah tidak tepat.
“Kalau mengikut cerita sebenar, sebatang pokok Binjai yang berpuaka dan bukannya batu bertangkup sebagaimana diperkatakan sebelum ini.
“Pokok Binjai tersebut dipercayai didiami makhluk halus (jin) dan sering mengganggu orang yang lalu lalang di kawasan berhampiran,” katanya.
Bukit Binjai yang terletak tidak jauh dari Jalan Kapar, Klang kini dikenali sebagai Bukit Batu Belah. |
Setelah mendapat bantuan daripada seorang pawang Bugis yang mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi, makhluk halus itu kemudian dapat ditewaskan dan jin tersebut dikurung di dalam batu tersebut.
Beberapa tahun kemudian barulah timbul kisah mengenai keluarga Pak Uda Daik dan isterinya Mak Timah yang mempunyai seorang anak perempuan bernama Mawar dan seorang anak lelaki bernama Pekan.
“Mak Timah dikatakan merajuk kerana kempunan telur ikan Tembakul. Pak Uda pula meninggal dunia selepas ditimpa sebatang pokok yang tumbang akibat hujan lebat dan ribut semasa mencari telur ikan tersebut.
“Setelah kematian Pak Uda, Mak Timah bersama dengan anak-anaknya telah meninggalkan Lubuk Binjai menghala ke Sungai Kerayong di utara Kapar.
“Bagaimanapun tiada keterangan dan bukti yang mengatakan Mak Timah mati ditelan batu belah batu bertangkup,” katanya.
Begitu juga dengan cerita yang mengatakan anak lelaki mereka yang bernama Pekan berlaga ayam dan berkahwin dengan anak sultan, juga boleh dipersoalkan kebenarannya.
“Hal ini memandangkan tiada catatan sejarah yang menunjukkan puteri sultan berkahwin dengan pemuda yang bernama Pekan atau sultan berkahwin dengan Mawar kerana pada masa kejadian, Selangor dikatakan berada di bawah pemerintahan Sultan Muhammad atau Sultan Abdul Samad,” katanya.
Dalam pada itu, berlaku perang saudara di antara Raja Mahadi dan Tengku Kudin iaitu menantu Sultan Abdul Samad pada pertengahan kurun ke-19.
Ketika peperangan itulah, Bukit Binjai dijadikan sebagai salah satu kubu pertahanan Raja Mahadi sebelum dirampas oleh pasukan lawan.
Pada akhir kurun ke-19, barulah kawasan berkenaan dibuka oleh Datuk Panglima Garang Salleh Datuk Man, Datuk Kaya Baduk Datuk Kaya Mohd Ali Orang Kaya Klang bersama Raja Hassan Raja Ibrahim, Penghulu Wan Hassan Datuk Bentara Kiri Amar Diraja Wan Muhamad Salleh, Datuk Maharaja Lela Abdul Ghani Datuk Maharaja Lela Meka’ dan Datuk Panglima Perang Kiri Sedia Diraja Wan Idris Datuk Bentara Kiri Amar Diraja Wan Muhamad Amin.
“Bukit Binjai dan Kampung Sungai Binjai akhirnya dinamakan dengan nama Bukit Batu Belah dan Kampung Sungai Pinang.
“Kampung Sungai Binjai bagaimanapun telah lenyap berikutan tindakan British yang membenarkan kilang-kilang minyak kelapa dan kasut didirikan.
“Tindakan tersebut turut menyebabkan rumah-rumah masyarakat dan pemimpin Melayu terhimpit sehingga terpaksa dipindahkan,” katanya