kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melayu 
tolehlah sejarah, Isu-Isu Akhbar Cina

2016 TAHUN 
KEPAHITAN RAKYAT?

SITUASI ekonomi Malaysia yang dikatakan genting ketika ini telah memaksa ramai rakyat tempatan memilih untuk berhijrah mencari rezeki di Singapura antara isu yang dikupas dalam artikel di akhbar Sinchew Daily News bertarikh 19 Disember 2015.

Artikel bertajuk ‘Langkah selamatkan ekonomi tahun 2016’ ditulis Lim Sue Guan dalam ruangan Sudut Pendapat halaman 33 akhbar itu menyebut ketidakstabilan politik, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan penyusutan nilai mata wang ringgit antara punca ekonomi genting.


KERATAN akhbar Sinchew Daily News bertarikh 19 Disember 2015.

Buat pertama kali dalam sejarah, kesesakan teruk di laluan Tambak Johor menghala ke Singapura melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar minggu lepas adalah terjemahan kepada apa yang diperkatakan penulis.

Malah, kesesakan luar biasa membabitkan laluan masuk dan keluar Singapura telah memaksa rakyat tempatan yang bekerja di republik itu berjalan sejauh kira-kira tiga kilometer dari Tambak Johor ke CIQ Woodlands demi mencari rezeki lebih.

Difahamkan, kesesakan itu berlaku berikutan tindakan pihak berkuasa Singapura memperketatkan kawalan keselamatan dengan menjalankan pemeriksaan rapi ke atas setiap kenderaan yang memasuki republik berkenaan berikutan serangan yang berlaku di Paris, Perancis bulan lepas.

Kemajuan ekonomi Singapura dengan nilai mata wangnya melepasi tiga kali ganda ringgit Malaysia kini menarik lebih ramai rakyat tempatan beralih arah mencari rezeki di republik berkenaan.

Biarpun gaji tinggi dua kali ganda, kepahitan hidup tetap berlaku apabila pendapatan masih tidak mencukupi ekoran kos sara hidup meningkat disebabkan GST, pemansuhan subsidi serta kejatuhan ringgit Malaysia. Seolah-olahnya gaji yang dapat tidak berbaloi dengan kepayahan dilalui.

Pada hemat penulis, perubahan politik yang tidak tercapai, sikap penting diri pemimpin politik mahu memperkukuhkan kedudukan serta kegagalan membendung rasuah dan penyelewengan kuasa, menyumbang kepada ketegangan ekonomi sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Dijangka tekanan kepahitan ekonomi tahun depan lebih dahsyat apabila harga minyak dunia jatuh selain kenaikan faedah dikenakan kerajaan Amerika Syarikat. Hal ini berkemungkinan akan mendorong kerajaan untuk merombak semula bajet kewangan 2016.

PULIHKAN IMEJ POLIS

Akhbar Nanyang Siangpau bertarikh 19 Disember 2015 menyiarkan artikel yang menekankan kepentingan kerajaan meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas.

Artikel bertajuk ‘Imej polis memberi kesan yang mendalam’ itu disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman B11 akhbar berkenaan.

Isu keselamatan dan ekonomi saling berkaitan, dan contoh dapat dilihat banyak kes kecurian dan rompakan melibatkan kematian berlaku selepas ekonomi dunia meleset pada 2008. Dalam konteks sekarang, pelaksanaan GST juga telah memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Kes-kes jenayah yang semakin meningkat dikaitkan dengan desakan hidup, justeru keperluan masyarakat mengutamakan keselamatan, dan tentunya melibatkan peranan polis, maka penting bagi pihak berkuasa itu untuk memberi imej yang lebih berkesan.

Rasuah yang seringkali dikaitkan dengan polis sepatutnya ditangani bagi memulihkan imej pihak berkuasa itu untuk meningkatkan keyakinan rakyat mahupun para pelabur asing.

Laporan audit 2012 yang didedahkan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan rasuah kalangan pihak berkuasa di negara ini bukan lagi satu andaian apabila peralatan dan kelengkapan polis bernilai RM1.3 juta telah hilang, dan ini termasuk 156 gari, 44 senjata api dan 29 buah kenderaan.

Data tersebut secara tidak langsung mencalar imej pasukan keselamatan, dan disebabkan stigma ‘polis itu rasuah’, maka ramai orang Cina tidak berminat menyertai polis sedangkan negara masih kekurangan anggota polis iaitu dengan hanya memiliki kekuatan 12,000 orang.

Dalam perkembangan lain, tindakan kerajaan membekukan pengambilan anggota polis baharu memburukkan lagi keadaan, justeru bagaimana rakyat boleh tenteram hati jika mengetahui tahap keselamatan mereka pada masa depan tergugat, lebih-lebih lagi dengan lambakan pekerja dan pendatang asing ke negara ini. - Utusan Malaysia Rencana 24 Disember 2015 6:00 PM


Melayu 
tolehlah sejarah

SESEKALI kena toleh sejarah. Tidak ada ruginya. Untungnya lagi besar untuk pengajaran masa depan.

Orang Melayu harus ambil iktibar kejatuhan Empayar Uthmaniyyah yang dianggap sebuah kerajaan hebat yang tidak mungkin ditewaskan suatu ketika dahulu.

Kekalahan kerajaan Uthmaniyyah dalam Perang Lepanto pada 7 Oktober 1571 telah menaikkan moral tentera Kristian sehingga kerajaan Islam itu terus mengalami kekalahan sebelum runtuh pada 1919.

Kesedaran adalah suatu perkara yang lazimnya tidak akan berlaku. Melainkan setelah berlaku suatu peristiwa yang mencengkam perasaan dan jiwa seseorang. Apabila berlaku kematian atau musibah yang amat mengejutkan, maka kebiasaannya akan wujud kesedaran yang akhirnya membawa perubahan.

Demikianlah lumrah hidup ini yang mempunyai cara semula jadi dalam memperbetulkan sesuatu keadaan, bangsa mahupun individu.

Selepas pilihan raya umum 2013, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan sokongan rakyat negara ini terhadap politik perkauman semakin luntur.

Akhbar berkenaan melaporkan dapatan satu forum yang memetik beberapa orang pensyarah dari sebuah universiti menyatakan ketuanan Melayu sudah mulai ditolak khalayak. Pada masa sama, kumpulan pensyarah itu turut mendakwa berlaku ‘tsunami Cina’. Akhbar itu memetik satu kertas kerja ‘Multiracial Tsunami’ yang mengatakan ‘Ketuanan Melayu’ yang nyawa-nyawa ikan hanya dilanjutkan kerana orang Melayu takut hilang kuasa politik.

Menurut kertas kerja itu, hanya tinggal puak konservatif dalam parti pemerintah yang masih cuba mempertahankan ‘Ketuanan Melayu’.

Kita tidak boleh menolak fakta. Memang benar ‘tsunami Cina’ pada pilihan raya umum lalu berjaya mengukuhkan kedudukan pakatan pembangkang di negeri-negeri masyarakat majmuk yang diperintah mereka. Di Selangor dan Pulau Pinang, Barisan Nasional menyusut prestasinya pada 2013 berbanding 2008.

Tsunami Cina sebenarnya berjaya memenangkan beberapa orang calon Melayu baharu Pas dan PKR di kerusi campur serta membantu calon-calon Melayu yang lain mempertahankan kerusi mereka.

Misalnya Rafizi Ramli (PKR) menang di kawasan 48.2% pemilih Cina di Pandan, Selangor; Mohd. Idris Jusi (PKR) di kawasan 45.7% pemilih Cina di Batu Pahat, Johor; dan Shamsul Iskandar Akin (PKR) di kawasan 40.8% pemilih Cina di Bukit Katil, Melaka.

Calon PKR, Mansor Othman pula menang kerusi Nibong Tebal (37.3% Cina) di Pulau Pinang, dan calon-calon Pas Che Rosli Che Mat dan Mohd. Hanipa Maidin masing-masing menang di Hulu Langat (34.3% Cina) dan Sepang (34.0% Cina), Selangor.

Calon-calon PKR yang memenangi kerusi yang mempunyai lebih satu pertiga pemilih Cina, Mohd. Imran Hamid di Lumut, Kamarul Baharin Abbas di Telok Kemang, Zuraida Kamaruddin di Ampang dan Fuziah Salleh di Kuantan.

Calon Pas Dr. Siti Mariah Mahmud menang di kerusi Kota Raja, Selangor yang mempunyai 45.4% calon bukan Melayu.

Mahu tidak mahu, orang Pas kena akui parti itu lebih berjaya di kawasan yang mempunyai sejumlah besar pemilih Cina di kerusi-kerusi campur. Cuma, mereka tidak mampu menang di kawasan Melayu pekat di negeri-negeri Pantai Barat.

Impak tsunami Cina menyerlahkan rekod DAP yang mencipta kesempurnaan di negeri-negeri ‘Chinese belt’.

Di kerusi-kerusi DUN Pulau Pinang, DAP bertanding 19 kerusi, menang 19. Di Perak, mereka bertanding 18 kerusi, menang 18.

Di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, DAP sapu bersih kesemua kerusi DUN yang ditandingi. Di Selangor (15/15), Negeri Sembilan (11/11) dan Pahang (7/7).

Di kerusi-kerusi DUN Johor, DAP bertanding 14 kerusi, menang 13. Kesemua 13 calonnya tidak ada seorang pun Melayu menang di Johor. Yang kalah hanya seorang calon DAP keturunan India.

Dalam kalangan 19 ADUN DAP di Pulau Pinang, tidak ada seorang yang Melayu. Perak, Selangor dan Negeri Sembilan begitu juga, tiada Melayu.

Cuma dalam kalangan tujuh ADUN DAP di Pahang, barulah ada seorang Melayu dari kerabat diraja. Tsunami Cina telah menambahkan jumlah bilangan perwakilan pakatan di DUN daripada 196 kerusi kesemuanya pada 2008 kepada 229 kerusi pada 2013.

DAP terbukti parti pembangkang paling berkuasa sekali.

Bertitik-tolak daripada sepotong ayat daripada Surah Ar-Raad (Q13:11), bahawasanya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hingga kaum tersebut mengubah apa yang ada di dalam mereka.

Bangsa Melayu sekarang tidak sama dengan bangsa Melayu 50 tahun yang dulu. Jika disandarkan kepada ayat al-Quran tadi, maka dapat dirumuskan, pencapaian bangsa Melayu hari ini adalah hasil daripada iltizam generasi bangsa Melayu terdahulu yang telah sanggup berkorban, bekerja keras dan mengubah apa yang ada dalam diri mereka.

Ini sehinggakan Melayu hari ini mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa Cina dan India dengan bangganya seraya berkata, hidup anak-anak bangsa ini telah berubah.

Tetapi adakah kita akan alpa dengan segala pencapaian hari ini atau perlukah Melayu sedar bahawasanya apa saja yang dicapai hari ini, boleh lenyap dengan sekelip mata? Jika bangsa Melayu leka dan tidak kenal mana satu kawan dan mana satu lawan maka akhirnya bangsa Melayu akan memusnahkan nasib bangsa hasil perbuatan tangan-tangan mereka sendiri.

Politik bangsa Melayu kini berada di persimpangan. Lipatan sejarah berulang-ulang kali cuba memberi pelajaran kepada bangsa Melayu bahawa jika mereka tidak bangun, sedar dan berubah maka sentiasa nasib bangsa ini akan menjadi seperti mana tercatat dalam sejarah bangsa Melayu. Dan lipatan sejarah ini tidak pernah sekalipun tersilap.

Orang-orang Melayu mesti ambil iktibar daripada sejarah bahawa persengketaan di antara bangsa Melayu yang menyebabkan Portugis, Belanda dan British menjajah Tanah Melayu.

Jangan kerana idealisme politik romantika yang berasaskan fitnah dan kebencian dijadikan asas, maka segala bakti dan budi parti sedia ada yang telah banyak membantu ramai orang-orang Melayu untuk bangun dan berjaya dalam hidup - dipersiakan sebegitu sahaja. - Zulkifli Jalil Utusan Malaysia Rencana 24 Disember 2015 6:06 PM

Tags: melayu, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments