kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kemasyuhran Mersing, Daerah penuh sejarah

Daerah penuh sejarah

TIDAK
keterlaluan jika dikatakan Mersing, sebuah daerah yang masyhur kerana kisah Sri Mersing. Filem yang masih lagi segar dimainkan di kaca televsiyen sehingga sekarang. Kisah percintaan terhalang antara dua insan yang bernama Sri Mersing dan Damak.

Namun, bukan itu sahaja yang menjadikan Mersing, sebuah tempat yang terkenal. Banyak kisah-kisah menarik yang perlu dibongkar dengan lebih mendalam kerana daerah ini menyimpan seribu satu rahsia.

Kunjungan penulis ke Mersing baru-baru ini untuk menyingkap rahsia di sebalik kemasyhuran Mersing mendapati daerah ini sememangnya unik. Dari sejarah namanya, pulau-pulau indah dan pantai Air Papan, pencerobohan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua serta kisah-kisah mistik membuatkan penulis mahu sahaja tinggal lebih lama di daerah ini.


SUASANA di tepi pantai Mersing pada 1923 yang sibuk dengan aktiviti nelayan menggunakan perahu payang. MAJLIS DAERAH MERSING

Kehidupan penduduk tempatan di sini agak tenang. Industri pelancongan dan perusahaan memproses makanan laut serta restoran makanan laut menjadi aktiviti yang menjana pendapatan penduduk.

Menurut Penghulu Kanan Mersing, Hafnee Md. Noor, nama Mersing dipercayai berasal dari nama seorang lelaki berketurunan Punjabi bernama Amir Singh atau Men Singh. Lelaki ini merupakan banduan dari Pahang.

“Ketika pengawal terleka, Amir Singh berjaya meloloskan diri dengan terjun ke dalam sungai di suatu kawasan yang dipercayai Mersing pada hari ini. Ketika operasi memburu, pengawal telah menemui cebisan baju lelaki itu di dalam sungai.

“Sehingga hari ini, sungai itu diberi nama Sungai Lengan Baju ekoran peristiwa itu. Ketika diburu, seorang rakan Amir Singh pula ditembak sehingga menyebabkan darah masuk ke dalam sebuah sungai lain pula. Oleh itu, dapatlah nama sungai itu, Sungai Air Merah,” katanya.

Sementara nama Mersing pula katanya, dipercayai diambil sempena nama Amir Singh berikutan peristiwa besar itu.

Beliau berkata, pelbagai peristiwa berlaku di Mersing suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan nama kawasan di sekitarnya diberi nama bersempena dengan kejadian-kejadian yang berlaku.

Sebagai contoh, kawasan Mukim Tenglu mendapat namanya hasil kisah persahabatan yang erat antara pemuda Melayu dan Cina yang masing-masing bernama Abul dan Lam Seng yang mengusahakan tanaman getah di situ.

“Apabila Abul sudah tidak mampu lagi mengusahakan tanaman itu, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kawasan itu lalu berkata kepada Lam Seng, ‘tinggallah lu’. Maka dari situ kawasan itu dinamakan Tenglu,” katanya.

Katanya, Mersing merupakan sebuah daerah yang padat dengan kisah-kisah sejarah termasuklah kisah dari filem Sri Mersing yang sering menjadi sebutan ramai. Malah, daerah ini juga menjadi lirik lagu Sri Mersing dendangan Biduanita Negara, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini.

Menyentuh mengenai penduduk pula, Hafnee berkata, kebanyakan masyarakat Melayu di Mersing berasal dari Terengganu dan Kelantan apabila nenek moyang mereka berhijrah ke situ suatu ketika dahulu.

Beliau berkata, dahulu sebahagian besar mereka merupakan nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan sehingga ke pesisir pantai Johor dan menetap di Mersing, selain berkahwin dan membina keluarga di situ.

Oleh kerana itu, tidak hairan apabila masyarakat Melayu di Mersing sehingga kini masih bertutur seakan-akan loghat Terengganu, malah makanan tradisi dari negeri Pantai Timur seperti nasi dagang, keropok lekor, sata dan kuih bakar boleh ditemui secara meluas di Mersing.

Sementara perusahaan makanan laut terutama keropok lekor menjadi perniagaan utama bagi penduduk di sekitar bandar Mersing sehingga ramai pelancong merasakan wajib bagi mendapatkan produk-produk itu apabila berkunjung ke situ.

Selain orang Terengganu, Mersing juga suatu masa dahulu menjadi tumpuan pedagang permata dari Timur Tengah yang datang ke situ untuk berniaga. Akhirnya mereka tidak lagi mahu pulang ke negara asal dan berkahwin dengan orang tempatan di Mersing.

Kedatangan pedagang Arab itu boleh dikaitkan dengan kisah seorang wanita berketurunan Arab bernama Sharifah Manik yang dikenali kerana kecantikannya. Sharifah Manik yang tinggal bersama suaminya di Kampung Makam, Mersing dianggap seperti orang ternama di kampung itu.

Apabila dia meninggal dunia, orang kampung telah memakamkannya di sebuah kawasan yang pada hari ini terletak di tepi jalan raya di kampung itu.


Kemasyuhran Mersing

LANTUNAN lagu Melayu nyanyian Biduanita Negara Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini bertajuk Sri Mersing membuai fikiran tentang daerah yang terletak di Timur Laut negeri Johor ini.


PULAU Batu Cawan yang menjadi mercu semulajadi Mersing.

Bukan sahaja lagu, Sri Mersing juga merupakan sebuah filem yang menampilkan pelakon legenda Nordin Ahmad, Roseyatimah, Mustafa Maarof dan Rosnani Jamil berlatarbelakangkan suasana perkampungan Melayu dahulu kala di Mersing.

Malah, Sri Mersing juga seringkali menjadi tajuk yang digarapkan di pentas teater sehingga ke hari ini.

Tidak hairanlah Mersing menjadi tempat yang tersohor dengan keindahan pantai dan kehidupan berlatarbelakangkan nelayan itu sejak berdekad lamanya.

Mersing menyimpan seribu satu kisah sejarah dan khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Selain memiliki antara hutan simpan tertua di dunia, Mersing juga menjadi destinasi pelancongan yang terkenal dengan gugusan pulau-pulau unik yang mempunyai cerita tersendiri.

Sudah pasti yang paling terkenal adalah Pulau Tioman. Walaupun pulau itu terletak di dalam negeri Pahang, tetapi Mersing menjadi pusat persinggahan bagi pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu ke pulau yang pernah diiktiraf sebagai pulau tercantik di dunia itu.

Pulau-pulau lain seperti Pulau Sibu, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Rawa juga tidak kurang tarikannya kerana sering mendapat perhatian pelancong. Namun ada juga pulau-pulau yang tidak pernah diketahui tetapi wujud di sekitar gugusan pulau-pulau di perairan Mersing.

Yang paling unik dan menarik tentu sahaja Pulau Batu Cawan. Terletak hanya beberapa ratus meter dari pantai peranginan di bandar Mersing, pulau batuan kecil itu boleh dianggap sebagai mercu tanda semula jadi Mersing.

Di sebalik kemasyhuran pulau-pulaunya, nama Mersing turut terpahat di dalam sejarah Perang Dunia Kedua apabila menjadi kawasan kemaraan ketumbukan tentera Jepun ke Singapura pada 1941.

Sejarah hitam turut terpalit apabila tentera Jepun bertindak membakar bandar Mersing selain memusnahkan jalan raya dan jambatan yang dibina pihak British. Pusat pentadbiran Jepun ketika itu pula kini dijadikan bangunan Majlis Daerah Mersing.

Ikuti perjalanan wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA yang mengunjungi Mersing baru-baru ini bagi menyingkap sejarah kewujudan kawasan itu dan kisah-kisah di sebalik kemasyhurannya.

Sri Mersing lagulah Melayu

Dikaranglah oleh biduan dahulu

Hatiku runsing bertambahlah pilu

Mengenangkan nasib yatimlah piatu

Pantai Mersing kualalah Johor

Pantainya bersih sangatlah masyhur

Pohonkan doa kitalah bersyukur

Negaralah kita hai aman dan makmur

Tags: sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments