kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pinjam pinggan mangkuk bunian, Bunian dan misteri 
hantu gigi jarang

Bunian dan misteri 
hantu gigi jarang

PELBAGAI kisah yang penulis dengar mengenai kawasan sekitar Gunung Arong dan hutan simpan di sekitar jalan Mersing-Endau ketika berkunjung ke Mersing baru-baru ini. Antaranya cerita-cerita mistik dan menyeramkan tatkala melalui jalan raya.

Kisah yang sering didengar apabila ada yang menceritakan terserempak kelibat sekumpulan manusia berpakaian serba putih berjalan di tepi jalan, sementara suasana ketika itu diterangi cahaya dari arah hadapan ketika memandu. Malah ada yang mendakwa pernah ternampak sekumpulan orang sedang mengusung keranda di tepi jalan raya pada waktu malam.

Ada juga cerita di mana penduduk tempatan mengalami kejadian seram apabila terlihat bola api melalui di atas kepala ketika dalam perjalanan pulang dari Endau ke Mersing pada waktu tengah malam.

Jadi, penulis mengambil kesempatan bertanya kepada penduduk tempatan Mersing, Jamil Abu Bakar atau Pak Jamil mengenai kebenaran kisah mistik di kawasan itu.

Kata Pak Jamil, memang kawasan itu dihuni oleh orang bunian. Katanya, terdapat perkampungan bunian di situ maka tidak hairan ada pemandu terserempak dengan orang bunian ketika melalui kawasan itu terutama pada waktu malam.

“Itu memang kawasan ‘dia’. Bukan di situ sahaja, di sekitar Gunung Arong juga diketahui memang kawasan ‘mereka’,” katanya.

Lain pula kisahnya dengan big foot atau hantu gigi jarang yang dikatakan dilihat di hutan sekitar Johor. Ini kerana tidak lama dahulu, satu negara kecoh apabila ada individu mendakwa ternampak kelibat ‘big foot’ di kawasan hutan simpan itu.


PEMANDANGAN sebahagian bandar Mersing kini.

Lantas, penulis bertanyakan kisah yang pernah menggemparkan Malaysia ketika itu. Kata Jamil, memang big foot atau dipanggil ‘hantu gigi jarang’ oleh orang tempatan wujud di situ.

Katanya, arwah datuknya pernah menceritakan, hantu gigi jarang itu dikatakan merupakan manusia yang menjelma menjadi lembaga tinggi dan besar serta menghuni kawasan hutan di sekitar hutan simpan Mersing-Endau.

Menurut Jamil, sehingga sekarang manusia jelmaan itu dikatakan masih lagi wujud dan menurut cerita datuknya lagi, jika seseorang mengetahui nama manusia jelmaan itu lalu memanggilnya di kawasan itu, dia akan memperlihatkan dirinya.

Bagaimanapun, kesahihan wujudnya big foot masih lagi diperdebatkan oleh pelbagai pihak di seluruh dunia. Ada yang tampil dengan pelbagai teori mengenai kewujudan makhluk itu.


Pinjam pinggan mangkuk bunian

PULAU Batu Cawan sememangnya sinonim dengan Mersing. Pulau kecil ini seolah-olah telah menjadi mercu tanda semula jadi bagi bandar itu sejak sekian lama kerana ia berbentuk sama seperti cawan yang mempunyai tangkai dan terletak di atas piring.



PULAU Batu Cawan menjadi mercu semula jadi bagi daerah Mersing.

Pulau yang hanya terdiri daripada batu-batuan itu terletak kira-kira 500 meter dari pantai Mersing. Menariknya, pulau yang luasnya lebih kurang sehektar itu menjadi tumpuan para kaki pancing kerana ia merupakan lubuk pelbagai jenis ikan.

Menurut anak jati Mersing, Jamil Abu Bakar, 63, kewujudan Pulau Batu Cawan di Mersing mempunyai kisah mistik. Kisah hampir sama dengan tradisi masyarakat Melayu dahulu kala yang sering meminjam peralatan kenduri-kendara daripada orang bunian.

Menurut cerita orang terdahulu, pulau tersebut menjadi tumpuan penduduk Mersing suatu masa dahulu untuk meminjam peralatan pinggan mangkuk daripada orang bunian yang menghuni pulau itu. Terdapat sebuah gua yang dijadikan tempat untuk menyimpan peralatan pinggan mangkuk di pulau itu.

Katanya yang mesra di panggil Pak Jamil, penduduk kampung yang mahu mengadakan kenduri-kendara akan meminjam peralatan itu dan kemudian akan memulangkannya dengan jumlah yang betul seperti yang dijanjikan walaupun ada yang pecah atau rosak.

“Namun suatu hari, pinggan mangkuk yang dipinjam tidak dipulangkan semula mengikut perjanjian. Akibat daripada penipuan manusia terbabit, pintu gua itu terus tertutup sehingga ke hari ini,” katanya.

Menceritakan mengenai kisah kawasan peranginan pantai Air Papan yang terkenal di Mersing pula, Jamil berkata, kawasan itu dinamakan sedemikian kerana terdapatnya sebuah air terjun kecil yang digunakan penduduk di situ untuk membasuh kain.

Katanya, kaum wanita kemudian mengambil sekeping papan untuk dijadikan pelapik ketika mahu membasuh baju di air terjun itu. Lama-kelamaan, tempat itu dipanggil sebagai Air Papan.

Jamil yang merupakan pesara kerajaan berkata, dia banyak mengetahui kisah-kisah lama di Mersing apabila sering bertanya kepada generasi terdahulu seperti datuk dan neneknya ketika dia masih kecil.

“Saya ini suka mengkaji sejarah di Mersing. Banyak perkara yang saya ketahui selepas bertanya kepada orang-orang tua ketika saya muda dulu,” katanya.

Tags: sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments