kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

FIFA dan IAAF dilanda tsunami kepemimpinan

SEJAK dari awal tahun 1960-an hingga ke hari ini dunia sukan tidak serik dihimpit dengan pelbagai masalah. Isu dadah bukanlah perkara baharu dan masih berte­rusan. Ini telah menghantui dunia sukan sejak tahun 60-an apabila terdapat atlet Jerman Timur mengambilnya bagi meningkatkan prestasi mereka dalam pertandingan.

Baru-baru ini dunia sukan dikejutkan dengan kekalutan yang ber­laku dalam FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan IAAF (Persekutuan Olahraga Antarabangsa). Siapa sangka kedua-dua pertubuhan dunia ini dilanda masalah kepimpinan yang serius. Kita nampak FIFA dan IAAF seolah-olah tiada masalah, rupa-rupanya ‘siapa sangka air tenang tiada buaya!’. Beberapa pegawai kanan FIFA dituduh terlibat dengan skandal penyelewengan yang melibatkan ra­suah berjuta-juta ringgit.


Presiden FIFA, Sepp Blatter (atas) selepas memberi kenyataan di ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland pada 2 Jun lalu dan Presiden UEFA, Michel Platini (bawah) menghadiri sidang akhbar di Monte Carlo, Monaco pada Ogos lalu. Blatter dan Platini kedua-duanya digantung lapan tahun baru-baru ini oleh Jawatankuasa Etika FIFA atas tuduhan rasuah. REUTERS

Lebih mengejutkan Presiden FIFA, Sepp Blatter dan Michel Pa­tini, Presiden UEFA turut dikaitkan dengan isu rasuah. Kedua-duanya menafikan akan tuduhan yang dikaitkan. Terkini Blatter dan Platini dikenakan hukuman gantung dari terlibat dengan bola sepak selama lapan tahun oleh Mahkamah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa. Mereka digantung serta-merta daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Sebelum itu, pendakwa Amerika Syarikat menahan ramai pegawai bola sepak Amerika Selatan. Antaranya, Juan Angel Napour, Presiden CONMEBOL; Manuel Burga - Jawatankuasa Pembangunan FIFA; Carlos Chavez -Bendahari CONMEBOL; Marco Polo - Presiden Konfederasi Bolasepak Brazil dan beberapa individu lain.

Isu ini dilihat akan berterusan di mana pihak berkuasa Switzerland dan FBI sedang mengendalikan kes berbangkit. Difahamkan Blatter dan Platini akan melawan habis-habisan isu yang membabitkan mereka berdua bagi membersihkan namanya dengan menggunakan saluran kuasa Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

Sekarang dunia bola sepak betul-betul dalam keadaan bercelaru dan diharapkan suasana akan kembali seperti biasa selepas diadakan Kongres FIFA pada Februari 2016 nanti. Isu pokok di sini berkait rapat de­ngan isu kepimpinan yang melibatkan tang­gungjawab, akauntabiliti dan in­­tegriti. Itulah masalahnya apabila tiada peraturan khusus dalam FIFA dan IAAF mengenai tempoh yang dibenarkan untuk seseorang indivi­du memegang jawatan badan induk berkenaan. Apabila sudah terlalu lama memegang jawatan maka ada kemungkinan timbul masalah sepertimana yang sedang dihadapi sekarang - ‘power corrupt power!’

Kalau FIFA sebagai ‘bapa’ kepa­da badan induk bola sepak dunia menghadapi masalah serius, maka tidak hairanlah sekiranya masalah bola sepak boleh berlaku di negara-negara di bawah naungannya! ‘bapa’ tidak boleh salahkan ‘anak’ jika anak menimbulkan masalah kerana bapa itu mempunyai ma­sa­lahnya sendiri. Itu tidak adil na­manya. Ini sinonim dengan pepa­tah, ‘Bapa borek, anak rintik’ atau ‘Bapa ken­cing berdiri, anak kencing berlari!’ Kedua-duanya membawa maksud dan konotasi yang sama.

Akibat kecelaruan yang timbul dalam FIFA, terbaru badan induk tersebut bersetuju untuk melakukan beberapa transformasi, antaranya (i) mengurangkan kuasa jawatan eksekutif, (ii) mengehadkan tem­poh memegang jawatan pegawai utama FIFA kepada tiga hingga empat penggal sahaja, dan (iii) pegawai dilantik tertakluk kepada semakan integriti berpusat sebelum individu memegang jawatan.

Penaja utama FIFA seperti Adidas, Coca-Cola, Mc Donald Corp dan Visa Inc. turut mendesak agar proses transformasi ini dapat dila­kukan secara telus dan adil.

Kita berharap isu yang timbul dalam badan induk FIFA ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan sukan bola sepak tidak terjejas teruk dan dapat berjalan se­perti sediakala.

Yang penting sukan bola sepak itu sendiri, pegawai boleh datang dan pergi. Integriti dan kepenti­ng­an bola sepak perlu dipertahankan setiap masa.

FIFA tidak mampu hendak menyelesaikan masalah isu individu yang korup mengatur perlawanan jika mereka sendiri bergelut dengan masalah yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Secara mudah, FIFA perlu cermin diri terlebih dahulu dan membuat transformasi mantap bagi mengembalikan semula imejnya yang sudah tercalar. Sesuatu tindakan drastik perlu dilakukan segera bagi memastikan imej FIFA dapat dipulihkan.

Dalam pada FIFA bermasalah da­lam kalangan pegawai-pegawai­nya, IAAF turut dilanda masalah yang dikaitkan dengan isu dadah dan ke­pimpinan Presiden IAAF itu sendiri. Isu kepimpinan IAAF timbul apabila bekas Presiden IAAF, Lamine Diack mengaku kepada pihak polis Pe­rancis bahawa beliau ada meminta wang dari Rusia sebanyak €1.5 juta untuk kegunaan kempen politiknya di tanah airnya, Senegal.

Pihak polis Perancis mencurigai beliau mengambil wang itu sebagai rasuah bagi menutup kes atlet Rusia yang gagal ujian dadah. Beberapa hari lepas, Suruhanjaya Etika IAAF telah mengendalikan pembi­caraan terhadap Balakhnichev, Papa Massata Diack - anak Diack, Gabriel Dolle - bekas Pengarah anti doping IAAF dan Alexie Melnikov - bekas ketua jurulatih Konfederasi Rusia untuk atlet jarak jauh. Kesemua pegawai ini dituduh cuba menyem­bunyikan kesalahan mengambil da­dah oleh atlet Rusia. Mereka dituduh dengan pelbagai salahlaku kod etika IAAF dan berkemungkin­an menghadapi larangan seumur hidup apabila keputusan dibuat pada awal Januari 2016 nanti.

WADA (Agensi Anti-Dadah Dunia) sedang menyediakan laporan mengenai tuduhan rasuah dalam IAAF di mana Sebastian Coe pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden selama lapan tahun sebelum menjadi Presiden IAAF pada Ogos 2015. Pada Kejohanan Ragbi Dunia di London baru-baru ini tiada pemain terlibat dengan pengambilan dadah setelah ujian dibuat sebelum dan ketika kejohanan berlangsung. Bagi negara kita pula, untuk tempoh 16 tahun, Malaysia masih lagi mematuhi indeks WADA.

“Dua kes terbaru atlet Malaysia yang dilaporkan mengambil dadah tidak langsung menggambarkan ke­seriusan kes dadah terhadap persatuan sukan di negara ini dan dikatakan masih lagi terkawal”, menurut Dr. Jegathesan, penasihat perubatan Sukan Komanwel.

Walaupun kita lihat FIFA dan IAAF sedang bergelut dengan masalah besar yang timbul dalam badan dunia itu, kita penuh percaya masa depan sukan bola sepak dunia dan olahraga masih lagi mampu dipulihkan dalam masa terdekat. Isu kepimpinan menjadi isu pokok yang perlu diatasi dengan seberapa segera oleh kedua badan induk sukan tersebut.

-
Tags: pemimpin, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “pemimpin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments