kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Budaya integriti, kod etika elak FIFA dicemari skandal rasuah

PRESIDEN Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter, yang kini digantung, melangkah ke ibu pejabat badan dunia itu pada 17 Disember lalu, untuk menjawab dakwaan rasuah sementara pihak berkuasa Switzerland membekukan akaun lebih AS$50 juta (RM200 juta).

Blatter dan timbalannya, Michel Platini, menghadapi penggantungan yang panjang. FIFA terjunam ke dalam skandal rasuah tahun ini, yang menyumbang kepada pengumuman Blatter pada Jun lalu, akan meletak jawatan apabila pemilihan baharu diadakan Februari 2016. Skandal menghimpit FIFA amat memalukan.

Peranan Blatter dalam skandal rasuah kini disiasat Biro Siasatan Persekutuan (FBI). Syarikat pemasaran sukan ISL dilapor membuat pembayaran STG66.2 juta (RM424.7 juta) kepada pegawai, termasuk bekas Presiden FIFA, Joao Havelange, dan bekas Eksekutif FIFA, Ricardo Teixeira. Mei lalu, AS menahan 14 pegawai FIFA dan bekas dan sekutu atas tuduhan 'berleluasa, sistemik, dan mendalam' rasuah berikutan siasatan FBI.

Bulan ini, 16 lagi pegawai ditangkap termasuk dua naib presiden FIFA di hotel sama di Zurich. Dunia terkejut apabila FIFA diselubungi tuduhan rasuah, terutama selepas menganugerahkan tiket penganjuran Piala Dunia 2022 kepada Qatar - negara Teluk kecil tetapi kaya dan berpengaruh.



Pada Disember 2014, FIFA memilih untuk tidak mendedahkan siasatan sendiri berkaitan skandal rasuah.

Penyedia bebas laporan, Michael Garcia, yang juga peguam Amerika Syarikat, meletak jawatan sebagai tanda protes.

Sukan paling popular

Bola sepak adalah sukan paling popular di dunia dengan peminat berbilion orang. Piala Dunia pula kejohanan paling mendapat tarikan peminat, lebih besar dari segi nilai kewangan berbanding Sukan Olimpik.

Ia menjana berbilion dolar dalam pendapatan daripada penaja korporat, hak siaran dan barangan. Maka, tidak sangsi apabila penangkapan dan penyiasatan skandal membabitkan FIFA dan pemimpin tertingginya menimbulkan keraguan berkaitan ketelusan dan integriti proses memperuntuk hak menganjurkan Piala Dunia, memilih Presiden dan pentadbiran dana.

FIFA sepatutnya menjadi model peranan kepada belia dan platform penting bagi menyampaikan mesej yang adil, integriti dan menghormati peraturan dan undang-undang.

Jika FIFA mahu menunjukkan ia serius menangani tuduhan yang muncul, memerangi rasuah dan mengembalikan kepercayaan peminat, siasatan yang sedang dijalankan sepatutnya dikendalikan dengan telus dan profesional oleh pihak bebas di luar FIFA.

Pendirian FIFA yang komited untuk menjadi lebih telus dan mengambil pendekatan toleransi sifar rasuah amat dialu-alukan.

Untuk melaksanakan usaha ini, FIFA perlu ubah struktur dan budaya.

Perubahan asas seperti ini hanya boleh membawa pembaharuan dari atas lagi holistik. Sepanjang sejarahnya, cara kerja badan induk bola sepak seolah-olah legap dan kebal daripada penelitian pihak luaran.

Jika FIFA mahu membina semula amanah yang harus menerima ketelusan, ia perlu laksana pembaharuan menyeluruh.

Perbetul reputasi FIFA

Tindakan asas adalah budaya berintegriti. FIFA perlu ambil pendekatan untuk membawa perubahan dan perbetul reputasi.

Pertama dan yang amat mustahak adalah barisan kepemimpinan yang baharu. FIFA berhadapan dengan cabaran ini di mana ia perlu ada pendekatan 'kepemimpinan berintegriti melalui teladan.'

Tanpanya, ia tidak mungkin dapat menyebarkan komitmen untuk bertindak dengan integriti, sekali gus menjadi ikutan pihak lain.

Kedua, menggubal peraturan jelas tentang cara menangani dakwaan rasuah, dan juga laporan yang telus dan peraturan perakaunan.

Sebagai badan sukan induk bola sepak, FIFA dari semasa ke semasa menguatkuasa pelbagai peraturan tetapi perkembangan semasa kelihatan ia seolah-olah longgar dari segi undang-undang kawalan, yang boleh menyumbang kepada penyelewengan, salah guna kedudukan dan rasuah.

Ketiga, bertolak dari dua pendekatan di atas, tiba masanya FIFA melancarkan kajian semula kod etika sedia ada termasuk kecekapan jawatankuasa etika.

Seterusnya, FIFA juga wajar memperkenal klausa pematuhan bagi setiap kontrak yang ditawarkan termasuk sokongan kewangan FIFA untuk anggotanya.

Kelima, sistem tender dan prosedur pemberian acara serta hak siaran TV dan kontrak penajaan perlu dikaji semula untuk perkenal yang baharu.

Skandal terbesar ini memperlihatkan pemimpin sukan juga boleh menyalahgunakan kedudukan dan menggadaikan prinsip jika tidak ada integriti dan gagal mematuhi kod etika atau piagam yang diputuskan.

Apabila kepentingan diri diutamakan, maka kebajikan ahli dan masa depan organisasi hancur. Ini yang berlaku di FIFA.

Tiba masanya FIFA mengutamakan budaya berintegriti sebagai langkah awal mengelak jenayah rasuah dan salah guna kedudukan atau kuasa.
Tags: integriti, pemimpin, rasuah, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “integriti” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments