kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Masalah ekonomi tanggungan bersama

Di mana-mana negara dan dalam apa-apa pun keadaan, kerajaanlah pihak yang paling akhir kena pikul tanggungjawab dan cari jalan keluar kepada apa saja masalah.

Lagi-lagilah kalau negara itu kerajaannya dipilih secara demokrasi oleh rakyat jelata melalui pilihan raya dan dibiayai oleh orang yang bayar cukai.

Kerajaan tak boleh kata ia tak bertanggungjawab atau rakyat jelata tak boleh salahkan kerajaan.

Banyak orang boleh jadi tak tahu secara mendalam masalah ekonomi yang landa dunia sekarang dan kesannya kepada ekonomi negara kita, tapi semua orang sudah mula rasa kesan buruknya.

Walaupun struktur ekonomi kita telah banyak berubah, daripada negara pertanian kepada negara perindustrian dan perkhidmatan, bahan-bahan mentah masih penting kepada ekonomi kita.

Petroleum, kelapa sawit dan getah masih main peranan penting kepada ekonomi negara dan hasil kerajaan.


Setiausaha Agung, Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berucap di Forum Ekonomi Dunia 2015 di Davos, Switzerland.


Apa yang sedang terjadi kepada ekonomi dunia sekarang adalah kesan perang politik, ekonomi dan ideologi, tapi banyak orang tak sedar.

Minyak jadi alasan lancar perang

Kalau kita baca sejarah, kita akan tahu yang dari dulu lagi minyak jadi alasan untuk lancar perang dan takluk wilayah.

Perlanggaran ke atas Iraq oleh tentera bersekutu Barat dan sokongan Barat kepada revolusi Arab Spring adalah kerana minyak.

Alasan nak hapuskan pemerintahan kejam dan ganti dengan kerajaan demokrasi adalah alasan saja.

Tujuan tersirat adalah penguasaan ke atas sumber minyak negara-negara Arab.

Tapi Barat silap kira. Pada mula perang Iraq memang harga petroleum naik pasal pengeluaran jatuh dan dunia bimbang kekurangan minyak mentah.

Dalam perkiraan mereka, bila bekalan kurang dan harga naik, bolehlah mereka majukan sumber alternatif yang ada di negara mereka. Amerika Syarikat, Kanada dan sesetengah negara Eropah, misalnya, kaya dengan minyak dari batu syal iaitu sejenis batu enapan.

Tapi kos pengeluaran minyak syal lebih tinggi daripada petroleum, dalam AS$100 (RM428) satu tong walaupun ada tempat di Amerika yang kosnya serendah AS$25 (RM107) satu tong.

Dengan memaksa harga minyak mentah naik barulah minyak syal boleh dimajukan secara ekonomik.

Apa yang Barat tak jangka adalah ekonomi dunia menurun dan anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum (OPEC), khususnya negara-negara Arab, berjaya tampung kekurangan yang disebabkan oleh Perang Iraq, malah mereka hasilkan lebih banyak.

Negara-negara OPEC sengaja keluarkan lebih banyak minyak supaya harga kekal rendah dan dengan itu usaha perluas pengeluaran minyak syal gagal.

Tidak layak jadi ahli OPEC

Masalahnya kepada kita ialah walaupun kita hasilkan minyak dan gas, tapi kita adalah negara pengeluar kecil. Kita tak layak pun nak jadi ahli OPEC.

Tapi sumbangan minyak kepada ekonomi negara, lagi-lagi kepada hasil kerajaan, sangat besar daripada aspek nisbah.

Masa bentang Belanjawan 2016 Oktober lepas, kerajaan anggar harga minyak mentah AS$48 (RM205.68) satu tong. Tapi sekarang dah jatuh kepada AS$35 (RM150).

Tak ong, kata orang Cina.

Nasihat Kunta Kinte, kita pandai-pandailah jaga diri.

Atur perbelanjaan dengan cermat. Yang boleh jimat kita jimat. Yang tak betul-betul perlu kita jangan guna.

Nak bergantung kepada orang lain atau pihak lain dah susah.

Nampak-nampaknya mereka pun buntu. Kunta Kinte tak jangka masalah ekonomi sekarang akan selesai atau tamat dalam masa yang singkat. Wallahuaklam.
Tags: ekonomi
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments