kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Akta MKN memperkukuh keselamatan

RANG Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN) yang diluluskan kedua-dua Dewan Parlimen menyebabkan kerajaan diasak dengan pelbagai persepsi tanpa menghiraukan tujuan dan kepentingan undang-undang berkenaan.

Pada dasarnya, undang-undang ini amat diperlukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang kini sedang beroperasi secara pentadbiran. Undang-undang ini juga menjadikan gerak kerja MKN lebih telus dan lebih mudah dipantau dalam prinsip semak dan imbang demokrasi supaya tidak disalah guna eksekutif.

Sepintas lalu, undang-undang ini membentuk MKN; Perdana Menteri sebagai Pengerusi, Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi, tiga menteri (Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia), Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan Ketua Polis Negara (KPN).

Ia memberi kuasa kepada Perdana Menteri atas nasihat majlis, mengisytiharkan kawasan tertentu di Malaysia sebagai kawasan keselamatan. Ia menyatakan fungsi MKN untuk membuat dasar dan mengatur strategi bagi mengendali keadaan dalam kawasan keselamatan.

Ia juga memperuntukkan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan bagi mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan.

Antara isu dipolemikkan dalam pengenalan undang-undang ini termasuk MKN, terutama Perdana Menteri mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat; Perdana Menteri juga dikatakan mengambil kuasa tentera dan polis mengenai keselamatan negara dan tindakan eksekutif yang dibuat MKN tidak boleh dipersoal menerusi prosiding mahkamah.

Kuasa PM atas nasihat MKN

Menurut Seksyen 18 Akta MKN ini, kuasa Perdana Menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan hendaklah dilakukan atas nasihat MKN. Ia bukan kuasa budi bicara Perdana Menteri yang mana Perdana Menteri tidak boleh mengisytihar kawasan keselamatan jika MKN tidak memberi nasihat.

Perdana Menteri tidak mengambil alih kuasa membuat keputusan berkaitan keselamatan yang dipertanggungjawabkan kepada PAT atau KPN kerana kedua-dua pimpinan tertinggi entiti keselamatan ini adalah ahli MKN dan secara khususnya mempunyai peranan yang perlu dilaksana dalam pengisytiharan kawasan keselamatan.

Pengisytiharan kawasan keselamatan oleh Perdana Menteri hendaklah diwartakan dan kemudian dengan seberapa segera, hendaklah dibentangkan di Parlimen untuk dibahas, sama ada dipersetujui ataupun ditolak (lihat seksyen 18(6)). Jangka hayat pengisytiharan itu ialah enam bulan.

Peruntukan ini menunjukkan ketelusan proses pengisytiharan kawasan keselamatan, berbanding undang-undang darurat sebelum ini.

Maka, polemik Perdana Menteri menjadi diktator dalam proses pengisytiharan kawasan keselamatan ini adalah tidak benar dan tidak berasas.

Polemik mengenai Perdana Menteri mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam pengisytiharan darurat juga perhalusi dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat disebut dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Menurut Perkara 150, jika ada darurat besar ke atas keselamatan negara, keadaan ekonomi dan ketenteraman awam, maka, sekiranya berpuas hati, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat.

Kesan pengisyitharan darurat besar ini ialah, seluruh Perlembagaan digantung dan Parlimen (jika kedua-dua Majlis sedang bersidang secara serentak) atau Yang di-Pertuan Agong (jika kedua-dua Majlis Parlimen tidak bersidang secara serentak) boleh membuat apa juga undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan.

Keadaan sebegini, iaitu penggantungan Perlembagaan, tidak berlaku dalam pengisytiharan kawasan keselamatan di bawah Akta MKN. Akta MKN ini hanya undang-undang biasa, bukan akta berkaitan kuasa khas dalam Bahagian XI Perlembagaan Perkara Persekutuan, terutama Perkara 149 atau 150.

Apa pun, ucapan penggulungan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai menteri bertanggungjawab selepas usai perbahasan di Dewan Negara menunjukkan jiwa besar kerajaan.

Kerajaan bersedia mengambil kira komen dan pendapat Yang Berhormat untuk penambahbaikan akta berkenaan. Kesediaan kerajaan itu dilihat sebagai suatu tindakan terbaik.

Ia menunjukkan keikhlasan kerajaan bahawa Akta MKN sebenarnya bertujuan menjamin keselamatan negara, bukan untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai diktator dalam sistem demokrasi. Kesediaan kerajaan itu akan juga mematangkannya.

Ada beberapa perkara dalam akta ini yang perlukan perincian. Begitu juga dengan proses rundingan dan perbincangan kerana akta ini juga memerlukan pembabitan agensi keselamatan dalam proses gubalannya.

Dr Shamrahayu A Aziz RABU, 30 DISEMBER 2015 @ 6:40 AM

Tags: akta, keselamatan, undang-undang
Subscribe

Posts from This Journal “akta” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments