kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Filem berjiwa Islam perlu ditambah, Kaum Cina wajib kuasai bahasa

Kaum Cina wajib kuasai bahasa

SERING kedengaran kenyataan beberapa pemimpin negara bahawa pengambilan lebih ramai kaum bukan Melayu untuk bekerja dalam sektor awam, akan memudahkan kaum bukan Melayu ketika berurusan di pejabat kerajaan, kerana masih ramai kaum bukan Melayu tidak fasih berbahasa Melayu.

Malah, terdapat ramai juga yang tidak boleh berbahasa Melayu langsung, sedangkan bahasa Melayu ialah bahasa negara ini.

Pengambilan ini diharapkan dapat menyelesaikan masalah komunikasi dalam bahasa Melayu yang dihadapi kaum bukan Melayu.

Dengan ini, penjawat awam berbangsa Cina misalnya, akan ditugaskan untuk melayan pelanggan Cina dalam bahasa Cina.

Sudah tentu cara ini dapat menyelesaikan masalah berkomunikasi dalam bahasa Melayu itu. Kebelakangan ini, kaum bukan Cina, misalnya Melayu didapati ghairah mempelajari bahasa Cina, yang sesetengahnya dimulakan kaum Cina sendiri. Ini dilakukan atas alasan utama bahawa bahasa Cina akan menjadi bahasa antarabangsa lain yang penting.

Ini berikutan kebangkitan China kini yang didakwa akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi utama dunia, dalam masa terdekat ini.

Oleh itu, bahasa Cina bukan sahaja perlu giat dipelajari, malah ia juga hendaklah diberi tempat yang lebih wajar di negara ini seperti yang dimohon beberapa pihak dari kalangan kaum Cina.

Dalam usaha mempelajari bahasa Cina oleh kaum Melayu misalnya, mereka juga terikut-ikut dengan alasan kaum Cina, iaitu untuk memudahkan komunikasi antara kaum Melayu dengan kaum Cina.

Dengan ini, pengetahuan dan penguasaan bahasa Cina itu akan digunakan untuk menyelesaikan masalah komunikasi kaum Cina dalam bahasa Melayu.

Pertingkat kemahiran

Sepatutnya masalah ketidakcekapan berbahasa Melayu dalam kalangan kaum Cina ini diatasi dengan mempertingkat kemahiran itu dalam pelbagai kursus penataran yang boleh dianjurkan.

Malangnya perkara sebalik yang berlaku, iaitu kaum bukan Cina, Melayu misalnya mempelajari bahasa Cina untuk berkomunikasi dengan lebih baik bermakna dengan kaum Cina melalui bahasa Cina.

Kalau inilah keadaannya, kaum Cina yang rata-ratanya tidak fasih berbahasa Melayu, tidak akan berusaha untuk mempertingkat kemahiran ini, sama ada dalam kalangan pelajar di sekolah, mahupun orang dewasa di tempat kerja.

Ketidakcekapan dalam bahasa Melayu tidak menjadi masalah lagi apabila ada penjawat awam Cina dan kaum Melayu sendiri di hospital misalnya, yang boleh berkomunikasi dengan mereka.

Sudah tentu ini bukan isyarat baik dalam usaha kita membentuk negara bangsa. Masalah ketidakcekapan berbahasa Melayu yang sudah lama berlarutan sejak negara mencapai kemerdekaan, tidak boleh dibiarkan berterusan.

Ia hendaklah ditangani sebagai agenda sosiobudaya nasional yang penting. Ketidakcekapan dalam bahasa kebangsaan mencakupi banyak perkara kenegaraan.

Antaranya termasuk persoalan nasional, nasionaliti dan nasionalisme, selain identiti nasional. Dalam hal ini, walaupun negara ini ikut dibina kaum bukan Melayu, adalah mustahak bahawa semua warganegara berkongsi gagasan penting mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang wajib diketahui dan dikuasai dengan baik.

Lebih penting, ia wajib digunakan dalam urusan rasmi. Dengan semua warganegara fasih berbahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara, pasti akan mempertingkat suara politik mereka, khususnya dalam kalangan pemimpin kaum.

Mereka dapat menyuarakan sebarang hal, seperti yang dibenarkan dalam sistem demokrasi negara, dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Teo Kok Seong Berita Harian Kolumnis @6.45AM

Identiti nasional rapuh

Penggunaan bahasa lain dalam ranah formal dan rasmi negara bukan sahaja memperlihat rakyat Malaysia tiada identiti nasional, ia juga mempamerkan kita sebuah negara yang masih tidak bersatu, walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara.

Oleh itu, masalah berkomunikasi dalam bahasa Melayu yang sepatutnya tidak wujud selepas enam dasawarsa kita merdeka, hendaklah diatasi segera.

Keadaan linguistik ini sebenarnya bukan sahaja membayangkan, ia sudah pun mencerminkan keadaan rancu yang sedang berlaku dalam masyarakat dan negara kita.

Tidak dapat dinafikan bahawa kita belum dapat bersatu dengan baik, sebagai negara bangsa yang dihasratkan.

Ramai warganegara kita yang masih tidak nasional, malah nasionaliti pada mereka boleh dipersoal dan nasionalisme warganegara Malaysia mereka jauh daripada kental.


Filem berjiwa Islam perlu ditambah

SEJAK 2005 hingga kini, lebih 300 filem diterbitkan di negara ini, tetapi hanya sedikit yang mengangkat Islam sebagai tema dan persoalan utama.

Perspektif Islam belum menerjah ke dalam minda dan budaya kerja pembikin filem Malaysia. Berdasarkan filem yang diterbitkan, hanya ada sedikit filem menyelitkan unsur Islam secara langsung.

Berasaskan negara Islam dan mempunyai majoriti masyarakat Islam, tidak salah jika filem Islam atau filem berunsur Islam diselitkan sebagai satu lagi genre utama dalam kamus karyawan tempatan.

Penerapan mesej dan isu sosial menerusi filem dijadikan platform dakwah kepada masyarakat. Genre filem Islam membuktikan keindahan Islam bersifat sempurna, saling lengkap melengkapi menyelesaikan isu kehidupan.

Menjadikan Indonesia sebagai rujukan, kejayaan filem Ayat-Ayat Cinta (2008) yang diadaptasi dari novel popular Habiburrahman berjaya menawan hati penonton.

Menerusi filem kedua Ketika Cinta Bertasbih (2009) juga dari adaptasi novel Habiburahman El - Shirazy terus mendapat sambutan pecah panggung dan menjadi fenomena di Indonesia juga di Malaysia.

Kejayaan filem Islam di Indonesia adalah hasil perjuangan pengkarya genre Islam di negara itu hampir 40 tahun di mana ia dimulakan dengan penerbitan Di Bawah Lindungan Kaabah (1978), filem arahan Asrul Sani daripada adaptasi novel agung Prof Hamka.

Selain adaptasi novel tema cinta dan perjuangan wali Songo juga antara yang paling banyak diterbitkan. Di celah-celah filem Islam itu, banyak lagi filem genre Islam dan dakwah muncul di Indonesia. Antaranya Sang Murabi, Sang Pencerah, Mengaku Rasul, Perempuan Berkalong Sorban, Kiamat Sudah Dekat, Laskar Pelangi, Syahadat Cinta dan 3 Doa 3 Cinta.

Sementara itu dalam konteks perfileman di Malaysia, peminat disajikan dengan beberapa filem yang boleh dikategorikan sebagai Islam sejak era 1950-an lagi.

Sebagai contoh, Allahyarham Tan Sri P Ramlee pernah mengarah dan membintangi filem Semerah Padi pada 1956. Adegan filem itu antara lain memaparkan adanya elemen ajaran Islam - mengenakan hukuman sula terhadap pasangan berkahwin, tetapi berzina.

Perkara itu membuktikan sejak dunia perfileman Melayu mula bertapak di Singapura pada awal 1940-an sudah ada pengaruh Islam di dalamnya.

Namun, ramai yang terus memperkatakan kesyumulan ajaran Islam yang cuba diterapkan kerana ia dikatakan belum sepenuhnya menepati kriterianya.

Walaupun mungkin filem Melayu seperti Semerah Padi (1956), Syukur 21 (2000), Syurga Cinta (2009), Dua Kalimah (2013) dan Ustaz Mu Tunggu Aku Datang (2013) adalah filem genre Islam di Malaysia, industri filem di Malaysia masih ketinggalan dibanding Indonesia.

Menghasilkan filem Islam harus dilihat dari sudut pengisian mesej yang bukan tempelan dalam penceritaan.

Kita perlukan pengkarya terutama daripada kalangan penulis skrip yang ada fikrah untuk menerajui penerokaan dan penerbitan filem genre Islam ini seperti Indonesia mempunyai penulis skrip berwibawa seperti Habiburrahman.

Definisi filem Islam terbahagi kepada dua, iaitu filem Islam dan filem berkonsepkan Islam.

Wujud kekeliruan takrifan filem Islam itu sendiri. Memang ada perbezaan antara filem Islam dengan filem berkonsepkan Islam.

Filem berkonsepkan atau berunsur Islam mengangkat persoalan Islam, sesuai dengan ajaran Islam, dan tidak semestinya keseluruhan filem itu berunsur Islam.

Unsur Islam itu boleh jadi dalam bentuk perlambangan, sinematografi, semiotik, kontekstual, teknikal, pakaian, dramatik atau naratif.

Filem Islam

Filem Islam pula membawa mesej penyerahan, pengabdian, kepatuhan, dan kepercayaan kepada ajaran Allah sebagai Pencipta.

Filem Islam adalah produk halal pada peringkat prapenerbitan, penerbitan dan pascapenerbitan selari dengan kod etika dan nilai Islam, termasuk dari segi pergaulan di tempat penggambaran dan pakaian pelakon.

Industri perfileman Malaysia masih tandus dan gagal menghasilkan karya berunsur Islam yang berkesan untuk berdakwah.

Kebanyakan naskhah Islam dalam konteks filem, persembahan teater mahupun konsert kurang mendapat perhatian masyarakat di Malaysia.

Disebabkan itu, wujud persoalan sama ada bolehkah karya Islam itu dikatakan sebuah karya Islam jika masih ada unsur mungkar di dalamnya?

Misalnya, pelakon wanita tidak tutup aurat ataupun lelaki dan wanita bukan mahram berpegang tangan? Karyawan tempatan kini sudah cuba menghasilkan garapan idea seni berlandaskan susila Islam, termasuk penyampaian mesej mahupun pengajaran.

Asas penting penyampaian dakwah menerusi medium seni ini perlu beri implikasi positif kepada penonton dari segi mesej berlandaskan tauhid, tunduk dan penyerahan diri kepada agama Islam.

Karyawan perlu mengenali Islam dengan sifat ad-din dan faham kehidupan sebenar dicerminkan dasar Islam


Shafezah Abdul Wahab  Berita Harian Kolumnis 31 Disember 2015 @6.45AM
Tags: bahasa, filem, islam
Subscribe

Posts from This Journal “bahasa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments