kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tok Janggut tak pernah terkorban, penjajah kena tipu? Di mana sebenarnya kubur Tok Janggut?

Di mana sebenarnya kubur Tok Janggut?

KUALA LUMPUR, 31 Dis — Sama ada Tok Janggut gugur dalam pertempuran dengan British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh, Kelantan atau meninggal dunia pada usia tua, persoalannya di mana pula jasad pejuang itu disemadikan?

Sejak sekian lama masyarakat diberitahu kuburnya terletak di Pasir Pekan, Tumpat.

Bagaimanapun, usaha penulis menjejaki sejarah pejuang ikonik Kelantan itu membawa kepada penemuan beberapa sumber baharu lokasi lain kubur Tok Janggut.

Cerita cucu Tok Janggut Ustaz Wan Asrul Wan Hussin, datuknya dikebumikan di perkuburan lama Kampung Hutan Puteh, Machang akibat sakit tua selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu.


Kubur Tok Janggut yang dibina British bagi mengaburi mata rakyat Kelantan kerana mahu membuktikan mereka berjaya membunuhnya di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan. — Foto Bernama

Tok Janggut memang tidak dikenali kecuali di kalangan segelintir pengikutnya dan identiti sebenarnya diminta dirahsiakan sehinggalah beliau meninggal dunia.

Pada akhir hayat Tok Janggut berpesan kepada orang-orang terdekatnya, “Kebumikanlah saya sama sebagaimana dengan mana-mana orang lain juga.”

Jelas Wan Asrul, kubur di Pasir Pekan itu dibuat-buat oleh pihak British bagi mengaburi mata rakyat Kelantan yang mahu membuktikan mereka berjaya membunuh Tok Janggut.

“Hanya kaum tua yang hidup lebih daripada 100 tahun mengetahui kisah sebenar kubur di Pasir Pekan itu,” katanya.

Kubur bertanda botol kaca zaman British

Dakwaan Wan Asrul itu dikuatkan lagi oleh dua individu lain yang penulis temui iaitu seorang penduduk di Kampung Hutan Puteh, Roslan Mustafa dan Pengkaji Sejarah Islam Kelantan Ustaz Abdullah Al-Qari Salleh.

Bertitik tolak daripada keyakinan kisah yang sama didengari oleh sebahagian penduduk di Pasir Puteh yang mendakwa Tok Janggut tidak terbunuh, Abdullah Al-Qari berkata beliau berjaya menemui bukti secara berlisan.

Pujangga Islam itu berkata beliau mendapat cerita Tok Janggut daripada pengakuan tiga orang penggali kuburnya iaitu Adam Ahmad, Pakteh Taib dan Paksu Yunus Abd Rahman yang ditemuramahnya pada tahun 2010.

Hasil temuramah itu ditulis dalam halaman terakhir bukunya bertajuk Ensiklopedia Unggul Doa Hajat Jampi Mujarab Segala Penyakit Tanpa Ubat.

Bagaimanapun, sekarang hanya Adam yang masih hidup sementara dua orang lagi sudah meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu.

Dikatakan ketika Tok Janggut meninggal umur ketiga-tiga penggali kubur itu berusia dalam lingkungan 19 hingga 22 tahun.

Mengimbas kembali pertemuan dengan mereka, Abdullah Al-Qari berkata Tok Janggut meninggal dunia selepas menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Kota Simpul Berlubang, bersempadan dengan Kampung Hutan Puteh di mana terletak lokasi kuburnya kini.

“Kematian Tok Janggut pada tengah hari Selasa disaksikan ramai orang kampung dan jenazahnya diiringi kira-kira 30 orang.

“Mengikut adab orang kampung di situ apabila seseorang dikebumikan, kuburnya di tanda dengan botol kaca, satu di kaki dan satu di kepala.

“Di bahagian kepala kubur Tok Janggut diletakkan sebuah batu merah bersama botol, manakala bahagian kakinya kekal dengan botol kaca,” katanya.

Tinjauan penulis ke lokasi perkuburan itu yang terletak di ladang getah mendapati tidak kurang daripada empat kubur yang bertanda botol kaca.

Botol kaca di kubur yang dikatakan milik Tok Janggut tertera ayat "Bottle Made In England". Bagaimanapun, tarikhnya tidak dapat disahkan.

Penampilan Tok Janggut sesudah Perang Pasir Puteh

Rentetan daripada usia yang sudah semakin lanjut, Wan Asrul berkata Tok Janggut mengambil keputusan untuk menghabiskan masanya dengan mengabdikan diri kepada Allah selain mengajar ilmu agama dan persilatan untuk penduduk kampung.

Daripada segi fizikal dan susuk badan, Wan Asrul berkata Tok Janggut adalah seorang yang tidak tinggi, kulitnya pula bewarna cerah dan janggutnya mencecah ke dada sejak muda lagi.

Disebabkan perwatakan yang zuhud, rendah diri dan juga dikenali dengan nama lain seperti Pakcu Hj Mat Hassan, ramai yang tidak tahu beliaulah sebenarnya Tok Janggut.

Dalam hal ini, Abdullah Al-Qari juga bersependapat dengan Wan Asrul yang mengatakan penampilan Tok Janggut gemar memakai pakaian serban dan jubah yang bewarna hijau.

“Pada penelitian saya, Tok Janggut adalah seorang yang bertaqwa atau bertaraf Wali di mana setiap masa terutamanya pada waktu malam beliau mengajak orang-orang kampung bertahlil dan membentuk majlis zikir yang dibuat secara berjadual sama ada di rumah atau di masjid.

“Di sini jelas kelihatan keperibadian Tok Janggut yang mempunyai tujuan yang baik dan ikhlas semata-mata hanya kerana Allah,” kata Abdullah Al-Qari.

Waris dan cucu Tok Janggut

Apabila menghuraikan perihal waris atau salasilah, Wan Asrul mengingatkan adalah penting untuk berhati-hati dalam membuat pengakuan bahawa beliau adalah waris atau cucu Tok Janggut.

Ini adalah untuk mengelakkan timbulnya sebarang fitnah.

Tok Janggut, katanya, berkahwin selepas perang di Pasir Puteh dan mempunyai dua isteri yang kemudiannya bercerai mati.

Isterinya Che Yah mempunyai tiga orang anak manakala isteri yang seorang lagi, Che Timah, mempunyai dua orang anak.

Beliau pernah berjumpa dengan salah seorang anak Tok Janggut yang dikenali Haji Ahmad berusia 68 tahun pada 1996 dan pertemuan itu berlaku di perkuburan lama Hutan Puteh, Machang.

Bagaimanapun, Wan Asrul berkata itulah kali terakhir beliau berjumpa dengannya dan tidak pasti sama ada anaknya itu masih hidup atau sebaliknya sekarang.

Selain itu, kata Wan Asrul waris Tok Janggut ada daripada kumpulan kanan dan kiri kerana kurang sepakat dan tidak tahu sejarah sebenar Tok Janggut.

“Saban tahun ada himpunan waris Tok Janggut. Saya juga turut hadir dan cerita hal ini. Tetapi hanya sekadar berkumpul, tidak ada objektif bagaimana sama-sama menjernihkan balik sejarah Tok Janggut.

“Kalau kita mengaku waris Tok Janggut, sepatutnya kena tahu ceritanya, misalnya apabila ditanya hal Tok Janggut dan kita mesti tahu untuk menjelaskannya, bukan diam sahaja,” katanya.

Diceritakan semula oleh moyangnya

Dalam pada itu Wan Asrul memberitahu Bernama, kisah pejuang itu diceritakan kembali oleh moyangnya, Allahyarhamah Che Yah Adam yang meninggal dunia pada usia 139 tahun pada tahun 2008.

Adam, bapa kepada moyangnya merupakan adik beradik kepada Munas, iaitu bapa Tok Janggut. Selain Adam dan Munas, seorang lagi ialah Minah.

Che Yah pernah berkahwin dengan Pak Do Yasin yang juga dikenali sebagai Mat Kelubi dan antara pengikut Tok Janggut.

Wan Asrul berkata, moyangnya seorang yang pendiam dan menjadi rujukan masyarakat setempat dalam hal-hal agama terutamanya yang berkaitan ilmu falak.

“Dalam keluarga, antara adik beradik saya orang yang paling rapat dengan moyang saya. Mungkin disebabkan itu, beliau kerap bercerita kepada saya sejak berusia lapan tahun.

“Meskipun pada mulanya tidak mengetahui siapa sebenar yang diceritakan itu kerana disebut tok fakir, tok fakir sehinggalah moyang saya mendedahkan cerita sebenar.

“Ada masa boleh berkunjung ke kampung Batu 8, Nilam Puri dan berjumpa dengan Tok Su Yah. Insya-Allah sampai sekarang orang tua tidak lupa pada arwah moyang saya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Asrul memiliki beberapa barang peribadi yang dipercayai milik Tok Janggut di mana kesemuanya pemberian moyangnya.

Antara barang yang masih disimpan adalah periuk, parang calok, pisau rejam, tempayan dan tulisan tangan ayat perang. Bernama


Tok Janggut tak pernah terkorban, penjajah kena tipu?

KUALA LUMPUR, 31 Dis — Tahun 2015 yang akan melabuhkan tirai pada Khamis agak signifikan daripada segi sejarah kerana ia menandakan genap 100 tahun berlakunya peristiwa Tok Janggut menentang British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh, Kelantan.

Kalau hendak diikutkan, sudah banyak artikel Tok Janggut diketengahkan sebelum ini.

Namun apabila diselidiki hampir kesemua berkongsi sumber yang sama dan tidak banyak maklumat catatan yang boleh diambil sebagai rujukan serta pengajaran bersama.


Kubur Tok Janggut yang dibuat pihak British bagi mengaburi mata rakyat Kelantan yang mahu membuktikan mereka berjaya membunuh penentang penjajahan British itu di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan. — Foto Bernama

Pada masa yang sama masih banyak persoalan yang tidak terjawab. Ada juga pihak yang sangsi dengan banyak fakta yang didakwa mengikut acuan penjajah.

Mereka percaya kisah Tok Janggut dibunuh oleh British hanyalah dongengan bagi menggelapkan sejarah sebenar perjuangan tokoh Serambi Mekah itu.

Sebaliknya mereka beranggapan penjajah sendiri tertipu kerana Tok Janggut sebenarnya telah berjaya menyelamatkan diri.

Gambar mayat lelaki yang digantung songsang untuk tatapan umum juga bukanlah Tok Janggut.

Bukan Tok Janggut yang terbunuh

Cucu sepupu Tok Janggut, Ustaz Wan Asrul Wan Hussin, 31, mendedahkan Tok Janggut atau nama penuhnya Haji Mat Hassan Munas sebenarnya hanya mengalami cedera di bahu kirinya ketika kemuncak pertempuran dengan British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh pada 24 Mei 1915.

Tok Janggut kemudiannya disembunyikan oleh pengikutnya di Hulu Kelantan (Gua Musang) untuk menyelamatkan beliau.

“Sesudah sembuh daripada kecederaan di bahunya, Tok Janggut berpindah ke Machang sebelum kedatangan tentera Jepun ke Tanah Melayu,” katanya.

Mengulas mengenai kononnya mayat Tok Janggut diarak di sekeliling bandar Kota Bharu dan kemudiannya ia digantung songsang separuh bogel selama tiga hari, Wan Asrul sekeras-kerasnya menolak dakwaan itu.

Tegas beliau, kisah itu adalah semata-mata rekaan serta dibuat atas desakan British yang mahu menakut-nakutkan orang Melayu bagi memastikan tiada lagi kebangkitan kedua di negeri itu.

“Kebanyakan orang yang tinggal di Kota Bharu tidak kenal wajah sebenar Tok Janggut dan mereka hanya mendengar cerita dari mulut ke mulut sahaja.

“Dan secara logiknya, jika kita melihat pada faktor fizikal gambar mayat itu, adakah sedemikian rupa seorang Melayu asli? Wajarkah Tok Janggut yang mempunyai ilmu agama tinggi diaibkan begitu?”

Gambar mayat itu diperolehi daripada Perpustakaan Bodleian, Oxford, United Kingdom, England hasil usaha tokoh sejarah Allahyarham Prof Datuk Nik Anuar Nik Mahmud ketika melakukan kajian di sana.

Jelas Wan Asrul penampilan fizikal Tok Janggut adalah Melayu Kelantan Asli.

Ibunya, Che Mah berasal dari Pattani manakala ayahnya Munas orang Melayu dari Kampung Saring, Pasir Puteh.

“Adik-beradik Tok Janggut termasuk dirinya tiga orang, dua lagi Tahir dan Yah@Sepiah meninggal dunia ketika dilahirkan.

“Tidak ada mana-mana anak-beranak Tok Janggut berwajah Sikh seperti dalam gambar itu. Malah, Tok Samad, iaitu datuk kepada Tok Janggut adalah Melayu Asli dan antara orang yang terawal membuka daerah Pasir Puteh,” katanya.

Tidak mengisytiharkan diri

Perkara yang sering kali menjadi persoalan ialah sekiranya Tok Janggut masih hidup selepas peristiwa pertempuran di Pasir Puteh itu, kenapa beliau tidak mengisytiharkan diri seperti yang dilakukan pejuang Pahang Mat Kilau.

Wan Asrul berkata perlu diingat satu ketika Mat Kilau pernah bertemu dengan Tok Janggut di Kedai Lalat, Kota Bharu iaitu pada 1966.

Berlaku perbualan antara mereka berdua: “ Abe Mad (Tok Janggut), tidak mahu keluar ke? Orang Putih (British) dah balik ini.”

Jawab Tok Janggut: “Puak-puak kamu itu nak pilih orang Putih, biar mereka dah balik pun, biarlah aku hidup macam ini.”

Tambahan menurut Wan Asrul, keadaan Tok Janggut ketika itu sudah uzur dengan umur dipercayai sekitar 116 tahun dan bagi beliau lebih baik memilih mendiamkan diri.

Dalam erti kata lain, meskipun Tanah Melayu ketika itu sudah mencapai kemerdekaan, bagi diri Tok Janggut paling utama pesanan yang di bawa daripada gurunya Ahmad al- Fatani, iaitu bebaskan tanahair daripada penjajah sudah tercapai, katanya.

Tiga tahun kemudian pada 1969 Mat Kilau menggemparkan negara dengan mengisytiharkan diri sebenarnya selepas solat Jumaat di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. — Bernama

Tags: sejarah, tokoh
Subscribe

Posts from This Journal “tokoh” Tag

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments