kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kaligrafiti Islam 
– luahan generasi muda

KALIGRAFI dan grafiti merupakan dua jenis seni yang berbeza. Apabila kedua-duanya digabungkan ia menghasilkan satu jenis seni lain yang dipanggil kaligrafiti. Perkataan kaligrafiti merupakan satu perkataan baharu yang merujuk kepada seni melibatkan tulisan tetapi dalam bentuk dan media baharu.

Gaya baharu gabungan kaligrafi, grafiti

SEORANG artis sedang menyiapkan kaligrafiti menggunakan semburan cat di Doha, Qatar.

Bagi peminat seni yang belum mengenali kaligrafiti, ia merupakan karya penulisan yang menggabungkan kaligrafi dan grafiti. Ia dihasilkan tanpa menggunakan alat tulis tradisional seperti resam, dakwat dan kertas tetapi menggunakan peralatan moden seperti semburan cat, penggelek, perancah, stensil dan dinding.

Seni ini mempunyai gaya dan pengikut yang tersendiri, sekali gus menarik perhatian para artis grafiti Islam untuk menghasilkan karya menggunakan tulisan Arab yang cantik tetapi bukan dalam gaya tradisional. Tulisan yang dihasilkan tidak mengikut prinsip kaligrafi tradisional. Artis kaligrafiti tidak semestinya mempunyai pengetahuan dan kemahiran menulis kaligrafi tradisional. Ia lebih kepada gaya tulisan tangan artis yang tersendiri.

PENGASAS

Bersesuaian dengan gaya baharu ini, pilihan warna dan gaya penulisan juga semestinya lebih bebas, berskala besar dan bersifat spontan. Seni kaligrafiti diasaskan oleh seorang artis bernama Niels Shoe Meulman yang lahir di Amsterdam pada tahun 1967. Beliau mengasaskan seni kaligrafiti ini pada tahun 2007.

Dalam karya grafiti yang dihasilkan, beliau menggunakan kaligrafi atau tulisan yang cantik sebagai pilihan utama untuk menyampaikan mesej yang diinginkan berbanding dengan seni grafiti lain pada waktu itu yang lebih banyak menggunakan lukisan gambar.

Di Malaysia seni kaligrafiti boleh dilihat di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di tebing Sungai Klang yang boleh dilihat dengan jelas oleh pengguna LRT dari stesen KL Sentral ke Stesen Pasar Seni. Walaupun ia bukan contoh terbaik kaligrafiti tetapi karya itu boleh memberi pengenalan kepada yang belum mengenalinya.

Kaligrafiti Islam tidak semestinya menggunakan ayat al-Quran, ia boleh menggunakan tulisan kaligrafi Arab dan menghasilkan gaya pseudo di mana tidak semestinya ia boleh difahami. Terdapat juga kaligrafiti yang membawa mesej Islam walaupun bukan menggunakan tulisan Arab.

KRITIKAN

Para artis kaligrafiti selalunya mendapat kritikan daripada penulis kaligrafi tradisional kerana kaligrafi yang mereka hasilkan tidak mengikut prinsip penulisan huruf kaligrafi yang sebenarnya. Tetapi bagi para artis kaligrafiti apa yang lebih penting adalah untuk berkongsi hasil karya mereka bersama orang ramai.

Ini kerana kaligrafiti berasal daripada kumpulan seni jalanan yang sememangnya bertujuan menyampaikan, menyebarkan dan meluahkan suara dalaman artis atau masyarakat di sesuatu tempat. Kebanyakan artis kaligrafiti berpendapat karya mereka adalah istimewa, unik dan sementara kerana mereka tahu ia tidak akan kekal. Terdapat kemungkinan karya yang mereka hasilkan di atas sesebuah dinding atau bangunan akan dirobohkan atau dicat semula.

Antara artis kaligrafiti Islam yang telah menempah nama ialah Inkman dan el-Seed yang kedua-duanya berasal dari Tunisia manakala Gabriel Gray pula berasal dari California. Ketiga-tiga artis ini mempunyai pandangan hampir sama iaitu karya kaligrafiti yang mereka hasilkan adalah bukan milik mereka tetapi merupakan milik orang ramai sebagai cerminan masyarakat di sesebuah kawasan dan sebagai penyampai mesej Islam yang secara langsung mengingatkan orang ramai tentang ajaran Islam.

Seni baru ini berpotensi menjadi minat generasi muda Islam namun begitu pemantauan diperlukan supaya ia tidak menjadi seni kaligrafiti yang sia-sia dan tergolong dalam vandalisme. Kaligrafiti Islam boleh menjadi suatu karya yang cantik, sekali gus mampu mencantikkan kawasan sekitar.

Tags: arts
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments