kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bersatu teguh harungi cabaran 2016 , Jangan biar 2016 berlalu begitu sahaja

Jangan biar 2016 berlalu begitu sahaja

Semalam Tahun Baharu 2016 muncul di hadapan kita. Sesungguhnya, ia lembaran kosong pertama daripada 365 lembaran sebuah manuskrip yang bakal kita tulis.

Kita perlu menulis sesuatu yang indah dan bermakna bukan sahaja untuk diri kita, tetapi juga keluarga, masyarakat dan negara.

Bagaimana lakaran dan tulisan kita pada hari ini yang ditentukan oleh niat, azam, hasrat dan impian bakal mencorakkan kehidupan kita pada masa depan.

Perjalanan 365 hari seterusnya, malah sepanjang hidup kita ditentukan bagaimana kita memulakan hari ini. Bukankah peribahasa Cina mengatakan, perjalanan 1,000 batu bermula dengan langkah pertama.

Bagi yang telah membuat kesilapan pada tahun lalu, inilah hari yang kita perlu buat azam memulakan sesuatu yang dapat mengubah nasib dan masa depan.

Kehidupan ini ialah suatu perjalanan, dan bukan destinasi, maka kita perlu menghayatinya serta memastikan kita memilih laluan yang betul. jika kita pernah memilih lorong dan laluan salah, kita harus bertindak bijak agar tidak mengulanginya.

Segala hambatan dan halangan yang pernah ditempuhi, sepanjang perjalanan 365 hari yang telah pun berlalu, sepatutnya menjadi iktibar, dan bukan sesuatu yang dikesali.

Kita sepatutnya menjadi insan lebih tabah, bijaksana dan pintar. Semua itu penting di tengah kebebalan, kekeliruan dan ketidaktentuan yang melanda.

Kesilapan jika ada, sepatutnya menguatkan azam dan tekad untuk kita menjadi lebih baik. Hari-hari yang mendatang, sepanjang tahun ini adalah hari-hari yang sukar, penuh dengan teka-teki dan soalan.

Lebih banyak soalan daripada jawapan, tetapi kita perlu menjawab teka-teki dan soalan itu dengan persediaan rapi dari segi kemahiran, pengalaman dan ilmu.

Jangan mudah menyerah kalah

Meskipun perjalanan ini panjang dan berliku, kita tidak boleh menyerah kalah dan berhenti di tengah jalan. Walau betapa perit dan mencabar pun perjalanan itu, kehidupan perlu diteruskan.

Siapa tahu, ada sinar di hujung jalan. Kitalah yang melakarkan perjalanan cerita dan bagaimana watak di dalamnya berkembang kerana watak itu sebenarnya ialah diri kita sendiri meskipun tidak dinafikan, kita turut dipengaruhi persekitaran pada peringkat negeri, negara dan global.

Kita dapat menentukan bagaimana pengakhiran kisah yang kita lakarkan pada hujung tahun nanti.

Namun, berbeza daripada kisah dalam novel yang boleh diolah sesuka hati, kehidupan tahun ini dan masa depan tidak boleh dibiarkan tanpa sasaran dan matlamat pasti.

Di sebalik ketidaktentuan ekonomi, dibelenggu peningkatan kos sara hidup, pengucupan nilai ringgit, kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia, kejatuhan harga komoditi dan pelbagai kemelut sosiopolitik dalam negara, kita perlu menggenggam dan menentukan perjalanan kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan lebih penting negara, pada tahun ini.

Matlamatnya, supaya kehidupan kita lebih sejahtera, makmur, dan stabil dari segi sosiopolitik. Biarlah hari seterusnya dan sepanjang tahun ini, kita lakukan sesuatu lebih bermakna, besar dan berguna.

Begitu banyak peluang untuk kita menggapai sesuatu yang lebih besar, tidak kira anda ahli perniagaan, ahli politik, sasterawan, wartawan, pelajar, petani, nelayan atau tukang sapu.

Semuanya menuntut matlamat jelas, komitmen padu, keikhlasan, kesungguhan, pengorbanan, dan seribu satu nilai murni.

Untuk bergerak ke hadapan, kita perlu berani berubah dan melangkah keluar seperti kupu-kupu keluar daripada kepompongnya.

Lebih berhemat, tahun mencabar

Sesungguhnya, kita tidak dapat lari daripada hari semalam, masa silam dan tahun yang telah berlalu kerana hari muka turut dicorakkan oleh masa silam.

Biar 2016 menjadi tahun yang lebih baik untuk kita. Lakukan sesuatu yang lebih baik atau sesuatu yang anda memang berhasrat untuk lakukan selama ini, tetapi disebabkan kekangan dan kendala tertentu, tersekat dan terabai di tengah jalan.

Mengapa tidak mulakan hari ini dengan menghubungi rakan lama yang sudah dilupakan?

Mengapa tidak lupakan sengketa lama dan tukarkan dengan sesuatu yang lebih menyeronokkan serta membahagiakan.

Penuhi janji yang belum dikotakan dan berjanji untuk tidak menjanjikan sesuatu yang kemudian hanya tinggal sebagai janji.

Memang sesuatu yang merisaukan apabila banyak meramalkan, tahun ini akan menjadi lebih mencabar. Dengan keupayaan daya beli yang menguncup serta pendapatan tidak meningkat seiring kenaikan harga barang dan perkhidmatan, ramai yang perlu berbelanja lebih berhemat.

Untuk tahun ini, kita doakan negara dan dunia lebih aman dan tenteram.

Pemimpin politik perlu lebih fokus tangani masalah ekonomi dan kehidupan rakyat. Kita perlu mengelak sengketa dan mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan etnik dan agama lain.

Biar tahun ini membawa lebih banyak keceriaan daripada kemuraman. Biar tahun ini menyerlahkan lebih banyak kebijaksanaan daripada kebodohan dan kebebalan.

Selamat menyambut tahun baharu.
Jeniri Amir Berita Harian Kolumnis 3 Januari 2016 @ 6.34AM

Bersatu teguh harungi cabaran 2016

2015 adalah tahun mencabar buat rakyat Malaysia. Bagaimanapun, roh persaudaraan dan penggemblengan tenaga dalam kalangan rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta memberi sinar dalam mengatasi cabaran.

Pak Ngah tersenyum lebar apabila saya membantu anaknya, Farid, memilih kasut untuk penggal baharu persekolahan 2016.

Farid yang memakai baju pasukan bola sepak Liverpool, seronok mendapat baju, seluar dan beg sekolah baharu. Pak Ngah, ibu Salmah dan 400 ibu bapa daripada keluarga miskin lega mendapat bantuan pakaian sekolah sumbangan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Universiti Taylor's.

Ini adalah amalan setiap tahun di kawasan Parlimen saya, Besut, untuk meringankan beban keluarga miskin. Dengan bantuan NGO dan swasta, insya-Allah anak keluarga miskin di Besut dipermudahkan urusan persekolahan mereka dan dapat menimba ilmu dengan selesa.

Program Ceria Kembali ke Sekolah ini dianjurkan Majlis Kebajikan Pelajaran Besut dan pejabat Parlimen. Terima kasih kepada semua yang membantu.

Sedia khidmat perubatan terbaik

Selepas program itu saya ke rumah Rahim, pesakit buah pinggang yang baru mendapat gantian buah pinggang daripada penderma.

Rahim sudah dua minggu pulang dari Kuala Lumpur selepas mendapat rawatan di sana. Dia nampak ceria. Jika dahulu Rahim perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu, sekarang tidak lagi.

Walaupun nampak lemah, beliau gembira dan bersyukur.  Doktor yang merawat Rahim memberitahu saya kos rawatan kira-kira RM200,000.

Ubat yang dimakan harian RM300. Ia dibiayai kerajaan. Rahim yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 17 tahun lalu memberitahu saya bahawa mungkin kerajaan membelanjakan hampir setengah juta ringgit untuk perubatan beliau.

Di Malaysia, kini ada kira-kira 150 hospital untuk 30 juta rakyatnya.

Kerajaan komited memberi perkhidmatan perubatan terbaik untuk rakyat dan kebanyakan hospital kerajaan dilengkapi teknologi dan peralatan terkini.

Selepas melawat Rahim, saya jenguk sekejap ke warung di Kuala Besut untuk membasah tekak.

Restoran dipenuhi pelanggan yang pulang ke kampung dan sedang bercuti. Saya juga diberitahu supaya bertolak awal ke lapangan terbang supaya tidak lewat kerana jalan raya sesak dengan kereta. Alhamdulillah, aktiviti ekonomi di sekitar Besut cukup menjadi pada musim cuti sekolah ini.

Kemudian, saya menziarah Azmil dan empat adiknya. Mereka kehilangan ibu dua hari lalu. Azmil, 21, masih bercita-cita melanjutkan pelajaran.

Tiga adiknya juga masih belajar dengan yang bongsu, Nadia, baru berumur 5 tahun. Bapanya, seorang kenalan saya meninggal setahun lalu kerana penyakit barah.

Sekarang mereka yatim piatu. Kami mengurus supaya anak yatim piatu ini mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Masyarakat juga banyak menderma untuk membantu Azmil dan adik-adiknya.

Insya-Allah keprihatinan masyarakat setempat akan memastikan Azmil dan adik-adiknya sentiasa dijaga dan dikasihi.

Teringat saya kepada ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa sebahagian harta kita adalah milik saudara kita. Atas semangat inilah masyarakat di Besut saling membantu.

Sewaktu penerbangan pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kapal terbang hampir penuh.

Apabila tiba di KLIA, saya berjumpa jemaah yang baru balik dari mengerjakan umrah, antaranya Pak Malik, jiran di kampung, bersama isteri dan tiga anak mereka.

Ustaz Mohamad juga sama-sama pulang. Beliau adalah mutawif kepada jemaah berkenaan.

Kurangkan kos sara hidup rakyat

Alhamdulillah, ramai rakyat Malaysia berpeluang mengerjakan umrah hujung tahun ini. Saya mendoakan agar mereka dikurniakan umrah yang mabrur.

Sejak kebelakangan ini, saya membaca banyak artikel mengenai kesusahan yang melanda perniagaan dan ekonomi negara apabila harga minyak dunia jatuh ke paras AS$37 satu tong.

Tidak kurang juga kesusahan dirasai rakyat apabila dikatakan kos sara hidup meningkat. Tidak dinafikan keadaan ekonomi yang mencabar memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat.

Bahkan, kementerian saya juga tidak terlepas daripada pengurangan bajet.

Kerajaan memahami beban dihadapi rakyat dan kerap membincangkan bagaimana rakyat boleh dibantu dan beban dikurangkan. Ini usaha berterusan dan kadangkala kerajaan perlu mengambil keputusan tidak popular namun diperlukan.

Contohnya, walaupun sambutan terhadap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kurang baik, pelaksanaannya membolehkan kira-kira RM16 bilion dijana untuk negara, sekali gus memastikan kewangan negara tidak terlalu terkesan akibat kejatuhan harga minyak.

Walau apa pun, Alhamdulillah rakyat nampak masih mampu. Pentingnya, banyak NGO dan pihak swasta terus membantu. Insya-Allah, melalui penggemblengan tenaga kerajaan, NGO dan swasta, golongan miskin, anak yatim dan mereka yang kurang berada akan terus dibantu.

Saya doakan pada tahun 2016 rakyat akan lebih ceria dan diberkati.
Idris Jusoh Kolumnis 30 Disember 2015 @ 6.38AM
Tags: health, kos, medical, sara hidup
Subscribe

Posts from This Journal “sara hidup” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments