kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cabaran buat graduan Malaysia

KEPADA anak muda, kalau sekadar mengharapkan se­ke­ping ijazah sahaja ia belum mampu menjanjikan pekerjaan yang baik. Malah bersiap sedialah, ia juga be­lum tentu menjanjikan anda pekerjaan. Zaman ini di mana pengguna Internet di New York mendapat bantuan teknikal secara langsung dari juruteknik di Mumbai, apa kelebihan yang anda ada untuk ditawarkan oleh mana-mana syarikat berbanding jurutera dari India atau Pakistan yang jauh lebih murah dan sanggup bekerja lebih masa.

Inilah realiti hari ini, persaingan semakin tinggi, kos sara hidup semakin meningkat dan hasil dari kemajuan teknologi maklumat dan pengangkutan menjadikan dunia semakin kecil.

Anda boleh salahkan kerajaan, memaki hamun dan mem­buat poster "meme" yang menyindir menteri. Itu hak anda dan mungkin ada kebenaran dalam amarah anda itu. Namun kita juga harus berfikir dan melihat, apakah tindakan untuk mengatasi dan menghadapi cabaran ini?

Persaingan dan kelebihan

Memang benar kos sara hidup meningkat, harga ba­ra­ngan pun naik, itu saya akui dan memang kerajaan ada peranan yang harus dimainkan menyelesaikan kele­mahan yang perlu diperbaiki. Kita asyik bercakap tentang peningkatan kos sara hidup namun pernahkan kita bertanya apakah inisiatif kita sendiri dalam meningkatkan pendapatan sara hidup?

Kita semua mahukan pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi, peluang ke luar negara dan pelbagai kemudahan lain. Namun cuba tanya kepada diri sendiri, apakah kelebihan dimiliki selaku seorang graduan atau profesional yang boleh diketengahkan untuk bersaing dengan mereka di negara luar?

Adakah anda selaku graduan dari Malaysia mampu ber­tu­tur dan menulis dalam bahasa Ing­­geris dengan lebih baik? Adakah anda mempunyai kebolehan yang tinggi da­lam pengaturcaraan atau reka bentuk? Atau mempunyai pengetahuan luas dalam bidang yang diceburi serta mem­punyai keyakinan dan kebolehan komunikasi yang baik serta sanggup bekerja lebih masa?

Nilai Rupiah adalah lebih rendah daripada Ringgit maka cuba anda tanya kepada diri sendiri apakah kelebihan yang ada untuk syarikat-syarikat besar menggaji melebihi daripada kos penjimatan berbanding menggaji profesional dari Indonesia?

Realiti

Kalau setakat penguasaan bahasa Inggeris caca marba, tulis laporan dan jurnal pun copy paste daripada kawan-kawan, terjemah tesis pun upah orang dan lulus periksa cukup-cukup makan ada pula masa nak berangan-angan kahwin bila umur 26 tahun, bawa kereta selesa dan membeli sebuah rumah, kemudian bila gagal, marah ke­pada kerajaan. Dunia dan ke­hidupan tidak begitu bagi graduan di Malaysia.

Mentaliti bahawa saya se­orang graduan maka wajar saya mendapat pekerjaan yang baik dengan kerajaan atau GLC harus dibuang segera. Kita su­dah banyak pegawai tadbir dip­lomatik dalam sektor awam dan syarikat-syarikat besar ke­pu­nya­an kerajaan juga perlu ber­saing dengan syarikat gergasi antarabangsa.

Lihat contoh MAS, syarikat penerbangan negara yang berta­hun-tahun mengalami kerugian, walau kuat mana sekalipun ke­satuan sekerja akhirnya kita perlu akui bahawa ini bukanlah satu badan amal yang boleh menggaji pekerja seumur hidup tanpa mengambil kira produktiviti dan persaingan dalam pasaran.

Jana ekonomi baru

Memang seronok dan untung kalau kita dapat kerja dengan Google, Facebook, Boeing dan syarikat-syarikat besar yang lain. Cuma saya pohon untuk graduan kita sekali lagi mengubah persepsi dari mempunyai matlamat untuk bekerja dengan syarikat-syarikat ini. Berubah kepada bermimpi untuk membina syarikat dan produk yang setanding dengan nama-nama besar ini.

Mark Zuckenberg bukanlah anak orang kaya yang mewarisi harta berkoyan-koyan daripada orang tuanya. Apa kata kita berhenti menjadi masyarakat yang mengguna dan berubah kepada mentaliti masyarakat yang membina dan mencipta.

Saya suka melihat anak muda dan graduan yang sudah memulakan online business dan memperkenalkan produk-produk tersendiri secara kecil-kecilan. Memang dengan zaman serba moden ini bererti persaingan semakin sengit dengan pasaran luar tetapi ia juga bermaksud kos untuk anda memulakan perniagaan dan menceburi pasaran luar jauh lebih murah dan mudah.

Sekiranya pengguna Malaysia sanggup membayar ri­buan ringgit untuk membeli tas tangan kulit ular sawa berjenama, mengapa tidak pengguna Perancis membayar beribu-ribu Euro untuk membeli tas tangan jenama Ma­laysia? Bukannya ada ular sawa pun di Eropah.

Anjakan paradigma

Pada zaman yang serba mencabar ini saya melihat kita terlalu banyak membuang masa dengan perkara yang remeh berbanding dengan benda-benda penting. Kita terlalu sibuk dengan perkara seperti kafir atau tidak ucap merry christmas, mengamuk dan marah kerana membaca berita disebarkan Internet tanpa tahu pucuk pangkal dan kesahihan.

Kita terlalu banyak menghabiskan masa membincangkan isu kos sara hidup dan kemampuan membeli barang tetapi tanpa segan silu mampu membuang masa sehingga pukul 3 atau 4 pagi di kedai kopi.

Graduan Malaysia harus lebih produktif dan efektif, kalau anda berusia dalam lingkungan 20-an, anda seharusnya penat bekerja dan rajin berusaha, anda tidak harus berada di rumah tepat pukul 5 petang.

Itu belum lagi kita lihat pada jumlah hutang peribadi yang dikumpul oleh orang muda sekarang ini. Benar ada perkara yang kerajaan perlu perbetulkan, perbaiki akan kelemahan, namun kita juga harus meningkatkan daya saing dan nilai diri sendiri dalam pasaran yang semakin terbuka luas.

- Khairul Azwan Harun Utusan Malaysia Rencana 03 Januari 2016 6:36 PM
Tags: graduan
Subscribe

Posts from This Journal “graduan” Tag

  • Lambakan graduan

    Lambakan graduan yang tidak menyerlah menjadi tajuk salah satu kolum disebuah media baru-baru ini. Intipati kepada penulisan tersebut…

  • Tahap graduan di mata majikan

    STATISTIK kadar pengangguran yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia setakat Mei 2016 adalah sebanyak 3.4%. Walaupun kadar pengangguran ini…

  • Graduan tulen vs graduan copy & paste

    CORAK pembelajaran di universiti kini sedang mengikuti arus perubahan yang ketara. Dalam mendepani cabaran globa­lisasi, corak pembelajaran…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments