kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Belajar bahasa Melayu secara integratif pupuk perpaduan

PEMIKIRAN dan perasaan kaum Cina di negara ini terhadap bahasa Melayu, boleh antaranya diteliti pada cara bahasa Melayu itu dipelajari.

Walaupun sebagai bahasa negara, bahasa Melayu rata-rata dipelajari atas orientasi instrumental sahaja oleh kaum Cina. Ini dapat dilihat pada tujuan dan cara penguasaan murid dan pelajar Cina terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu.

Melalui orientasi instrumental, mata pelajaran Bahasa Melayu dipelajari semata-mata untuk memenuhi syarat pendidikan sahaja, iaitu untuk tujuan lulus dalam ujian dan peperiksaan.

Sehubungan ini adalah syarat wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tujuan memperoleh sijil penuh oleh semua pelajar.

Belajar dengan tekun

Oleh itu, bahasa Melayu dipelajari, kadangkala dengan tekun sekali, dengan menghadiri banyak kelas tuisyen pula, khusus untuk lulus pada peringkat SPM, kalau boleh dengan baik pula, kerana ia adalah syarat lulus yang penting dalam persekolahan seseorang pelajar di Malaysia.

Sebaliknya, bahasa Melayu boleh dikatakan jarang sekali dipelajari atas orientasi integratif oleh kaum Cina, iaitu untuk menjadi sebahagian daripada komuniti bahasa Melayu.

Orientasi ini penting diamalkan supaya kaum Cina dapat berfungsi dengan baik ketika berkomunikasi dalam bahasa Melayu, iaitu mereka bukan sahaja fasih, tetapi juga mengetahui budi bahasa Melayu yang terkandung di dalamnya.

Apabila ini berlaku, kita tidak akan kedengaran lagi, misalnya ungkapan daripada wartawan Cina, yang menggunakan kata ganti nama orang kedua kamu ketika bertanya kepada menteri, seperti pada soalan: "Datuk Seri, apa pandangan kamu mengenai harga rumah pada masa ini?"

Sesungguhnya pembelajaran bersifat integratif ini penting sekali untuk dimensi kemasyarakatan dalam usaha pembentukan negara bangsa yang bersatu padu di negara ini, dengan kaum Melayu sebagai kelompok majoritinya.

Selain menjadi sebahagian daripada komuniti bahasa Melayu yang mengetahui aspek budi pada bahasa Melayu dengan baik, cara ini juga didapati boleh memupuk perpaduan yang jauh lebih berkesan.

Dengan mengetahui aspek budi bahasa Melayu, yang mempunyai banyak kaitan rapat dengan budaya Melayu, kaum Cina akan lebih mengenali kaum Melayu yang juga kelompok dominan di negara ini.

Tak kenal maka tak cinta. Itu pepatah Melayu yang boleh merungkai masalah yang dihadapi.

Dengan pengenalan melalui bahasa Melayu ini, khususnya mengenai budi bahasa Melayu, pasti banyak prasangka, buruk sangka, stereotaip, salah konsep, kejutan budaya dan lain-lain yang negatif daripada kaum Cina terhadap kaum Melayu dapat dikurangkan, malah dibanteras pada akhirnya.

Dengan kata lain, sikap negatif terhadap kaum Melayu sebelum mengetahui budi bahasa Melayu, pasti boleh berubah menjadi positif, setelah bahasa Melayu itu diketahui dan dikuasai secara integratif.

Hal ini bukan andaian dan dapat dilihat buktinya dalam kalangan kaum Cina Kelantan. Mereka ini bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, tetapi juga didapati amat positif pemikiran dan perasaan mereka terhadap kaum Melayu.

Bagaimanapun perkara sebaliknya berlaku pada kaum Cina yang tidak fasih, apatah lagi yang tidak boleh berbahasa Melayu langsung.

Mereka ini didapati kurang mesra terhadap kaum Melayu, dan mempunyai banyak sangkaan buruk dan salah mengenai mereka.

Penerimaan positif

Jelas sekali pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik, khususnya dari aspek budi bahasa Melayu, akan membawa kepada penerimaan positif oleh kaum Cina terhadap kaum Melayu, selaku penutur jati bahasa Melayu dan lebih penting sebagai kelompok dominan di negara ini.

Perkara ini sangat baik untuk pemupukan perpaduan yang lebih utuh.

Oleh itu, cara pembelajaran integratif ini perlu dipupuk untuk dikuasai dalam kalangan murid dan pelajar Cina.

Selain dapat mencapai tujuan integrasi yang menjadi matlamat kemasyarakatan penting dalam sistem pendidikan negara, ia juga pasti mampu meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan kaum Cina.

Mereka yang mempelajari sesuatu bahasa atas orientasi integratif didapati lebih bermotivasi ketika mempelajarinya, selain didapati lebih cekap di dalamnya berbanding dengan orientasi instrumental.

Sebenarnya orientasi integratif ini didapati berjaya sekali untuk membentuk pemikiran dan perasaan positif mereka yang mempelajari bahasa itu terhadap komuniti bahasa berkenaan. Teo Kok Seong Berita Harian KOLUMNIS KHAMIS, 7 JANUARI 2016 @ 6:10 AM
Tags: bahasa, melayu, perpaduan
Subscribe

Posts from This Journal “perpaduan” Tag

  • Bersatu bina negara bangsa

    BETA bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya juga, beta dan Raja Permaisuri berpeluang meraikan warga guru di Istana Iskandariah, sempena…

  • 1Malaysia manifestasi Rukun Negara

    Tahniah Malaysia! Satu lagi tahun berjaya kita lalui. Tahun lalu boleh dikatakan agak sukar dan mencabar, tetapi tidak kurang juga kejutan dan…

  • Do we really need unity?

    Forcing us to mix may actually cause resentment and discord, instead of promoting harmony. LAST weekend at the Putra World Trade Centre, one Umno…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments