Setelah sekian lama, kebanyakan negara termasuk Malaysia hanya memerhati dengan teliti perkembangan media di Amerika Syarikat dan negara Eropah untuk menilai dan mengukur sejauh mana kesannya kepada industri media global.
Dalam industri media, Amerika Syarikat dan Eropah diterima sebagai negara penanda aras kepada kemajuan atau kegagalan media.
Jika media Amerika Syarikat tidak dapat menahan kemaraan media baharu, bermakna negara lain juga akan menghadapi risiko dan tempiasnya, malah kemungkinan menerima kesan lebih teruk.
Bagi pengkaji media khasnya sarjana dan cendekiawan komunikasi serta media di Amerika Syarikat, mereka melihat tanda krisis media di negara itu bermula apabila kurangnya berita penting atau hard news dalam akhbar atau media elektronik yang biasanya ditunggu-tunggu oleh rakyat, pembaca dan pelanggan tetap media.
Sebaliknya, pelanggan media mendapat maklumat dan berita seperti itu daripada sumber lain, khasnya media baharu berikutan meluasnya akses internet.
Berita lewat disiarkan
Berita yang mereka harap dapat dibaca di media cetak atau ditonton di televisyen, tidak disiarkan atau lewat disiarkan. Jika disiarkan, ia berbeza daripada skop atau kecenderungan berita yang mereka baca di media baharu atau mereka terima di media sosial.
Akhbar atau televisyen juga sudah hilang sifat kesemasaannya kerana sering ketinggalan sedangkan media baharu mampu memberi maklumat paling pantas, malah laporan selari ketika peristiwa berlangsung.
Seiring dengan penurunan minat masyarakat terhadap media di Amerika Syarikat, penerimaan media tradisional diburukkan lagi dengan pertumbuhan pesat industri infotainmen (maklumat dan hiburan) melalui media baharu dengan golongan muda lebih menjurus kepada maklumat berkaitan dengan dunia hiburan dan beberapa faktor penting yang lain.
Berikutan senario ini juga, ramai sarjana dan cendekiawan komunikasi serta media di Amerika Syarikat teruja untuk mengikuti perkembangan industri media pada abad ini.
Mereka melihat wujud korelasi atau kaitan kemerosotan media dengan media ekonomi (media economics). Jika ekonomi-politik (political economy) meliputi kecenderungan berhubung soal pemilikan, kuasa dan kawalan terhadap media, media ekonomi pula melihat kaitan bisnes dan produk yang dikeluarkan oleh syarikat media.
Sesuatu perniagaan hanya mampu bertahan jika produk syarikat relevan kepada cita rasa pengguna. Sebagai contoh, produk syarikat pengeluar minuman adalah air minuman pelbagai jenama dan perasa yang boleh menghilangkan dahaga dan paling penting memberi kepuasan kepada pengguna.
Pembeli akan menentukan dan membuat pilihan jenama mana paling sesuai dengan cita rasa dan selera mereka. Mereka akan beralih kepada minuman lain jika mendapati minuman yang mereka selalu minum berubah rasa. Begitu juga dengan produk makanan atau keluaran kecantikan untuk wanita.
Produk syarikat media
Produk syarikat media pula ialah berita dan maklumat yang sepatutnya menjawab atau menghilangkan keraguan pelanggan selain memberi keyakinan kepada mereka mengenai bahan yang disiarkan.
Pelanggan tidak akan melanggan produk yang tidak memuaskan hati atau bertentangan dengan naluri mereka.
Sarjana dan cendekiawan komunikasi dan media mendapati jika pelanggan tidak mendapat berita serta maklumat yang mereka harapkan, mereka akan beralih kepada sumber lain yang boleh memberi mereka kepuasan.
Sejak 1977, sudah banyak kajian mengenai media ekonomi dijalankan di Amerika Syarikat. Untuk kelangsungan, industri media di Malaysia perlu menjalankan kajian yang sama, mengambil kira model kajian di Amerika Syarikat.
Skop kajian media ekonomi meliputi perkara berkaitan dasar ekonomi dan amalan syarikat media, sikap pengamal media dan kepentingan syarikat berkaitan media selain bidang kewartawanan.
Sudah tentu kajian juga memberi tumpuan kepada media baharu, penerbitan filem, program hiburan, media cetak dan penyiaran. Ia juga berkaitan komunikasi mobil, internet, pengiklanan dan perhubungan awam.
Selain itu ia juga mengkaji soal pemilikan media, hak harta intelek, persaingan strategi ekonomi, ekonomi syarikat, cukai media dan pelbagai isu lain.
Jika Malaysia tidak memulakannya sekarang, ia akan ketinggalan jauh ke belakang dalam tempoh lima tahun lagi.
Mior Kamarul Shahid.Berita Harian Kolumnis Jumaat 8 Januari 2016 @ 6:05 AM