kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Gamit kenangan di laluan lama, 1,001 kisah Bukit Putus

1,001 kisah Bukit Putus

BICARA mengenai jalan lama Bukit Putus sememangnya tidak pernah lekang dengan cerita-cerita seram, aneh dan mistik. Sebut sahaja namanya, ada sahaja cerita yang menakutkan dan menggerunkan yang disampaikan sehingga boleh dihimpunkan menjadi sebuah koleksi cerita seram.


Keadaan jalan lama Bukit Putus yang berlengkok-lengkok memberi cabaran kepada pemandu untuk melakukan perjalanan.

Daripada cerita kemalangan jalan raya yang mengerikan, misteri orang hilang sehinggalah penampakan makhluk halus. Biasanya, peristiwa seram dan pelik sering dikaitkan dengan kewujudan makhluk halus di alam ghaib yang penuh misteri.

Bagaimanapun, dalam banyak-banyak kisah yang terdapat di Bukit Putus, mungkin tidak ramai yang mengetahui di bukit tersebut sebenarnya turut menyimpan nostalgia mengenai peristiwa bersejarah yang lebih penting dan bermakna kepada masyarakat.

Bukit itu menjadi saksi penting peristiwa berdarah yang berlaku ketika perang saudara yang tercetus sekitar 140 tahun dahulu. Namun, namanya lebih dikenali sebagai jalan lama yang penuh misteri berbanding tapak tinggalan sejarah.

Dalam pada itu, menyentuh tentang asal usul jalan berkenaan, tiada siapa yang tahu bagaimana bukit itu mendapat nama. Bagaimanapun, terdapat kisah legenda yang dikaitkan dengan laluan itu sehingga dinamakan sebagai Bukit Putus.

Menurut cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut, kononnya berlaku peristiwa membabitkan dua raksasa yang bergaduh dan saling berlawan menggunakan senjata parang.

Ketika pergaduhan berlangsung, salah satu raksasa bertindak menetak lawannya. Malangnya, raksasa itu tertetak bukit berkenaan sehingga terputus. Daripada peristiwa itu, muncullah nama Bukit Putus.


Gamit kenangan di laluan lama

SEJAK laluan baharu menghubungkan Seremban ke Kuala Pilah dibuka pada 2009, jalan lama Bukit Putus yang berselekoh tajam berhampiran lokasi tersebut semakin lengang.

Tapak dan bangunan yang digunakan sebagai lokasi kem perkhemahan persatuan pengakap.

Pengguna kini lebih cenderung melalui jalan raya baharu itu kerana laluannya yang lurus menjadikan perjalanan lebih selesa dan pantas berbanding jalan lama yang mempunyai banyak selekoh tajam.

Lokasi jalan lama yang dikelilingi kawasan hutan itu juga menjadikan laluan tersebut tumpuan binatang liar seperti kera yang bebas berkeliaran. Jika bernasib baik, pengunjung berpeluang melihat kelincahan haiwan itu mencari makanan di kawasan berhampiran.

Tinjauan penulis ke lokasi mendapati suasana di persekitaran sunyi dan hanya terdapat beberapa bangunan dan premis perniagaan di laluan sebelum ke puncak bukit. Sementara itu, satu hingga dua kenderaan sesekali dilihat melalui jalan tersebut.

Keadaan jalan yang berselekoh tajam, curam dan tinggi terutama di bahagian puncak bukit sememangnya tidak mengizinkan penulis untuk membawa kenderaan pada kelajuan 
tinggi.

Memikirkan kecuaian boleh membawa padah, penulis mengambil sikap berwaspada memandangkan baru pertama kali melalui jalan tersebut.

Menyelusuri sepanjang jalan lama itu penulis singgah berhenti di sebuah tapak dan bangunan yang sering digunakan sebagai lokasi kem perkhemahan persatuan pengakap.

Berhampiran dengan bangunan itu pula, terletaknya lokasi yang menjadi kubu pertahanan angkatan Yam Tuan Seri Menanti, Tunku Antah ketika perang Bukit Putus tercetus pada 1875.

Setelah puas meninjau kawasan itu, perjalanan diteruskan ke puncak bukit bagi melihat jalan raya baharu yang terbentang di bawah sana. Sememangnya diakui jalan baharu lebih memudahkan perjalanan kerana jalannya yang lebar dan lurus.


Keadaan jalan yang berselekoh tajam, curam dan tinggi terutama di bahagian puncak bukit sememangnya tidak mengizinkan penulis untuk membawa kenderaan pada kelajuan tinggi.

Bagaimanapun, memori di jalan lama tidak mungkin dilupakan memandangkan laluan itu dahulunya sangat berguna kepada masyarakat.

Menurut seorang pesara guru, Ramlee Ujang, 73, sebelum jalan baharu siap dibina, jalan lama Bukit Putus merupakan satu-satunya laluan utama yang menghubungkan penduduk dari Segamat ke Kuala Pilah.

“Jadi, memang tiada pilihan dan kami terpaksa berdepan dengan masalah kesesakan setiap hari memandangkan jalan lama Bukit Putus merupakan laluan utama orang ramai untuk berulang alik dari Segamat ke Kuala Pilah.

“Keadaan jalan yang sempit dan mempunyai selekoh tajam yang banyak menyukarkan lagi pergerakan kenderaan. Setiap kali lori melalui jalan itu, pergerakan kenderaan akan menjadi lambat, sekali gus menyebabkan kesesakan yang amat teruk .

“Pengguna lain terpaksa mengekori dari belakang kerana sukar untuk memotong memandangkan hanya ada satu lorong bagi kedua-dua arah. Bayangkan kami berulang-alik menggunakan jalan tersebut 
setiap hari untuk pergi bekerja, memang mengambil masa 
yang agak lama untuk sampai,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan jalan berkenaan yang dikatakan sebagai laluan yang penuh misteri dan mistik, menurutnya, dia tidak pernah mengalami peristiwa sedemikian meskipun telah begitu lama menggunakan laluan itu.

Bahkan, dia bersama keluarga pernah terkandas di tengah-tengah perjalanan di Bukit Putus pada waktu malam disebabkan kereta yang dipandunya tiba-tiba sahaja rosak.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, saya bersama ibu dan seorang anak saya dalam perjalanan pulang menuju ke Tanjung.

“Namun, secara tiba-tiba kereta saya mengalami masalah. Jadi, kami terpaksa turun dari kenderaan untuk meminta bantuan. Memang keadaan agak sunyi dan menyukarkan untuk meminta bantuan.

“Mujur ada seorang lelaki berbangsa Cina berhenti dan memberi bantuan. Jadi, dia pun menghantar ibu dan anak saya ke destinasi yang hendak dituju.

“Tinggallah saya berseorangan sehinggalah datang seorang lagi lelaki berbangsa India yang membantu dan menghantar saya pulang ke rumah di Seremban untuk mengambil motosikal. Jadi, saya memang tidak pernah berdepan dengan situasi aneh mahupun menyeramkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Harun Mihat, 47, dahulu juga sering menggunakan jalan lama yang berukuran kira-kira empat kilometer ke puncak dan empat kilometer ke kaki bukit itu, 
namun dia juga tidak pula 
pernah mengalami peristiwa 
seram atau aneh.

“Dahulu, saya sering menggunakan laluan itu. Malah, sekarang pun, ada masa tertentu saya akan melalui jalan tersebut. 
Bahkan saya pernah memandu berseorangan pada waktu malam namun, tidak pernah mengalami situasi yang menyeramkan seperti mana yang diceritakan oleh segelintir orang.

“Perasaan takut mungkin dialami segelintir orang disebabkan di tepi jalan adalah kawasan 
hutan dan apabila waktu malam memang sunyi. Jadi sudah tentu macam-macam difikirkan apatah lagi jika memandu sendiri,” katanya.

Tags: jalan, pengangkutan
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments