kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jabatan kerajaan perlu hemat berbelanja

KETIKA ekonomi gawat dan tidak menentu, kita sering dinasihati supaya sentiasa hemat berbelanja. Jika kita boros, kemungkinan kita akan terjerumus ke dalam masalah besar. Kita tidak akan mempunyai cukup wang untuk berbelanja. Kita mungkin terpaksa berhutang.

Apabila sudah dibelitkan oleh hutang, sudah tentu akan menimbulkan rantaian masalah lain, termasuk tekanan psikologi sehingga menjejaskan hubungan dalam keluarga.

Bagi kerajaan pula, wang yang dimilikinya, bukan untuk dibelanjakan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan implikasinya.

Disebabkan pendapatan kerajaan berkurangan, sebahagiannya kerana kurang pendapatan daripada hasil minyak, maka ini memberi implikasi dari segi jumlah dan pelaksanaan projek.

Peruntukan kepada kementerian, jabatan dan universiti
terpaksa dikurangkan. Ini memberi cabaran besar kepada semua pihak terbabit, bagaimana menguruskan jabatan dengan peruntukan berkurangan, tanpa menjejaskan matlamat dan objektif ditetapkan.

Segala peruntukan yang disalurkan kepada kementerian atau jabatan, perlu mengambil kira kesannya. Adakah perbelanjaan itu berbaloi? Adakah perbelanjaan itu mendatangkan kesan kepada jabatan dan golongan sasar, terutama rakyat?

Di sebalik pengucupan nilai ringgit dan ekonomi global yang tidak menentu, kementerian perlu memastikan setiap sen dibelanjakan dengan kesan optimum.

Menyedari pentingnya amalan itu, maka Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet pertama tahun ini, memberi penekanan mengenai pentingnya berbelanja berhemat kepada anggota Kabinet.

Peringatan awal tahun itu memang wajar. Berbelanja sesuka hati, malah bersikap boros, tidak sewajarnya dilakukan, lebih-lebih lagi ketika peruntukan kerajaan dikurangkan.

Jabatan perlu berbelanja secara berhemat dan sederhana ketika menjalankan operasi masing-masing.

Analisis kewangan

Jabatan tidak perlu mengadakan acara yang terlalu hebat, dengan segala macam program yang membabitkan belanja terlampau besar. Sesungguhnya, amat penting bagi jabatan kerajaan membuat analisis kewangan supaya semua perancangan dan aktiviti, mengikut kos ditetapkan.

Pembaziran perlu dielakkan, kerana pembaziran merugikan semua pihak. Peruntukan perlu digunakan sebaik mungkin, dengan memikirkan strategi terbaik untuk mengurangkan kos.

Amalan kesederhanaan perlu dijadikan asas jika jabatan kerajaan menganjurkan sesuatu majlis. Sesuatu majlis tidak perlu menelan perbelanjaan terlampau besar untuk mendatangkan kesan besar. Kesan besar bukan ditandai oleh segala macam majlis berwarna-warni.

Perlukah, misalnya, jabatan kerajaan menganjurkan majlis pelancaran projek secara besar-besaran membabitkan kos beratus-ratus ribu ringgit? Atau memadai sekadar projek itu diumumkan sahaja? Hati siapakah yang hendak dipuaskan oleh ketua jabatan terbabit apabila mereka berbelanja secara melampau?

Mereka sebenarnya mahu mengambil hati dan memuaskan hati menteri yang melancarkan acara. Mereka tidak mahu dianggap tidak cekap dan tidak pandai mengurus acara jika sesuatu acara itu tidak gah. Mereka salah anggap bahawa supaya kelihatan gah, maka perlu peruntukan lebih besar.

Sebenarnya, menteri juga perlu dipersalah jika ketua jabatan mempunyai anggapan demikian dan terjebak dalam amalan buruk itu.

Anjur majlis sederhana

Menteri perlu bersikap bijaksana dengan mengingatkan ketua kementerian dan jabatan, betapa mereka tidak perlu semua itu. Cenderamata yang mahal misalnya, tidak perlu disediakan. Memadai mengadakan majlis secara sederhana, tanpa membabitkan kos melampau.

Yang penting, ia berkesan, dan mendatangkan hasil. Itulah sebabnya, amat penting bagi setiap penjawat awam mengambil serius peringatan Datuk Seri Najib Razak.

Penjawat awam, terutama ketua kementerian dan jabatan yang dipertanggungjawabkan mengurus soal kewangan sedar bahawa mereka bukan hanya diaudit di dunia, malah bakal diaudit di akhirat.

Maka, penjawat awam perlu membelanjakan peruntukan masing-masing dengan kesedaran dan keinsafan berkenaan. Tiada agama yang mahu penganutnya bersikap boros.

Pegawai kerajaan sepatutnya malu dan bersalah apabila berbelanja tidak ikut arahan dan peraturan. Mereka perlu berbelanja dengan keinsafan dan kesedaran bahawa wang berkenaan ialah wang rakyat - yang sebahagiannya dikutip daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Penjawat awam perlu dididik untuk berdisiplin dan mengawal diri dalam membelanjakan peruntukan.

Mereka hendaklah menggunakan peruntukan jabatan dengan cukup berhati-hati seolah-olah wang berkenaan adalah wang sendiri.

Kecuaian dalam mematuhi prosedur kerajaan, kurang teliti ketika merancang program atau aktiviti dan menetapkan skop serta spesifikasi tender, serta kurang beri perhatian terhadap dampak sesuatu program atau aktiviti, adalah antara faktor ketirisan dan pemborosan.

Kita tidak mahu hutang terus melonjak, kerana yang menanggung bebannya ialah anak cucu kita kemudian hari.

Jangan sampai kerajaan dilihat bagai mengajar ketam berjalan dengan betul dalam soal berbelanja, sedangkan ia melakukan pembaziran dan pemborosan, tanpa malu dan sesal.

Inilah masanya kita berpegang kepada prinsip perbelanjaan beretika, berhemat, dan bertanggungjawab dengan penuh akauntabiliti.
Tags: accountability, akauntabiliti, belanja, kewangan
Subscribe

Posts from This Journal “belanja” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments