kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tahun baharu, 
harga pun baharu

Entah mengapa saya suka makan pecal Jawa. Bau kuah kacang pecal pun boleh membuatkan air liur saya meleleh. Saya kenal makanan istimewa orang Jawa ini di pekan Kuala Selangor pada tahun 1970-an. Ketika itu saya boleh membeli pecal yang dibalut daun pisang dengan harga 10 sen sahaja.

Oleh sebab rindu dengan pecal itu, bila terjumpa sahaja saya akan beli. Dahulu pada tahun 2000-an, jika saya singgah di pasar minggu Banting, saya beli sebungkus pecal berharga RM1.50.




Bau pecal boleh buat air liur meleleh.

Dua tahun lepas ketika peniaga pecal mula berniaga di Pasar Jumaat Pekan Meru, Klang harga pecalnya ialah RM2.00. Tahun 2015, harganya naik 50 sen menjadi RM2.50. Jumaat lepas, mungkin ambil semangat tahun baharu 2016, harganya sudah naik RM3.00 sebungkus.

Saiz bungkusan masih juga sama, tak ada pun dalamnya ditambah lebih pucuk ubi, timun, nasi himpit atau taugeh. Tempe, sengkuang pun sudah tak ada dalam resipi pecal Jawa itu.

Kalau tiap-tiap tahun baharu, harga pecal dinaikkan, siapa nak beli. Bukan tapak niaga itu disediakan bumbung, kerusi dan meja. Cuma meja dan payung sahaja.

Barangkali saya silap, tak tahu kos yang ditanggung oleh peniaga pecal itu. Maklumlah daripada membuka satu meja, beberapa bulan lepas dia sudah menambah satu lagi meja niaga. Bukan cemburu dengan kemajuan perniagaan pecalnya tetapi berpada-pada letak harga.

Apakah bahan mentah untuk resipi pecal Jawa itu mahal sangat? Mungkin juga. Harga seikat pucuk ubi pun sudah RM1 sekarang. Timun pun mahal ikut musim. Kacang tanah dan cili kering untuk dibuat kuah pecal pun naik harganya. Semua bahan asas untuk pecal sudah naik harganya.

Saya faham, zaman saya kanak-kanak dahulu bolehlah beli pecal dengan duit 10 sen. Sekarang mustahillah harga macam itu lagi. Tapi kalau pecal berharga RM3.00 di pasar luar bandar, tidak fikirkankah kemampuan penduduk kawasan sekitarnya. Adakah kenaikan harga itu disebabkan peniaga itu tamak, dia dikenakan bayar cukai kerajaan atau sebab kos pengangkutan?

Kalau kerajaan umumkan akan memberi insentif dalam pengubahsuaian Bajet 2016 nanti kepada golongan peniaga, adakah harga pecal akan diturunkan 50 sen? Itu baru satu menu makanan. Belum cerita harga barangan keperluan harian yang lain. Cepat sangat peniaga Melayu nak cepat kaya.

Kita sudah lihat sikap peniaga di negara ini, kalau harga bahan mentah jualan mereka turun, peniaga tidak akan menurunkan har­ga­nya. Dulu mereka beri ala­san kos kenaikkan harga ba­han api – petrol, diesel dan gas. Bila harga minyak naik 20 sen, harga barang pun naik lebih daripada itu. Sekarang harga yang me­nye­­babkan kos perniagaan me­reka itu sudah turun banyak, tapi harga jualan masih tidak turun-turun.

Senang cerita, siapa yang ra­jin pergi ke pasar basah akan tahu kedudukan harga ba­rangan untuk keperluan da­pur sekarang. Belum cerita ten­tang harga makanan laut se­perti ikan, udang, sotong dan ketam.

Daripada bulan Disember tahun lalu, saya sudah diingat­kan oleh peniaga Cina di sebu­ah jeti ikan di Tanjung Karang bahawa lagi dekat menjelang Tahun Baharu Cina, makin na­ik harga bahan makanan itu. Itu harga di jeti, agaknya bagai­mana harga di pasar-pasar basah dan pasar raya.

Saya tertanya-tanya kenapa pula makin mahal. Orang Me­la­yu sambut Hari Raya Puasa, peniaga Cina naikkan juga harga barangan. Tahun Baharu Cina pun sama rupanya.

Saya berpendapat semua ini bertujuan untuk mengaut keuntungan awal. Sebab peniaga Cina biasanya cuti panjang semasa perayaan itu. Kemungkinan memikirkan pendapatan tidak dipungut semasa cuti tersebut, maka lebih baik diambil awal-awal dengan menaikkan harga jualan.

Kalau anda tidak percaya, tinjau harga ikan di pasar hari ini. Ada perbezaan atau tidak harga ikan pada hari ini dengan harga minggu lepas. Adakah ini cara mereka berniaga?

Tidak guna kita mengeluh. Inilah fenomena harga barang, apabila ia naik, payah untuk diturunkan. Kecuali kita memulaukan barangan tersebut. Ikut pengalaman lalu, jarang masyarakat kita mahu memboikot barang yang naik harga.

Selain banyak sebab berlaku kenaikan harga barangan sebagaimana yang dikatakan berpunca daripada trend pena­wa­ran dan permintaan serta faktor kenaikan kos ekonomi lain, hakikatnya peniaga pun ingin untung besar.

Kalau golongan makan gaji mengharapkan kenaikan ga­ji tahunan dan bayaran bonus, tak mungkin peniaga ti­dak mendapat apa-apa setiap tahun. Syarikat besar, seder­hana dan kecil selalunya meningkatkan harga jualan teta­pi mengurangkan saiz barangan mereka supaya dapat me­ningkatkan pendapatan tahunan. Wang itu kemudian digunakan untuk belanja operasi dan kenaikan gaji pekerja masing-masing.

Begitu juga peniaga warung atau penjaja, mereka pun ingin meningkatkan pendapatan setiap bulan dan tahun. Bagaimanapun, janganlah mengaut keuntungan berlebihan. Ingatlah, pekerja makan gaji pun bukan mendapat kenaikan gaji tahunan yang tinggi. Silap perhitungan, keseluruhan perbelanjaan bulanan pekerja makan gaji tidak setimpal dengan harga barangan keperluan yang telah dinaikkan sesuka hati.

Tags: food, jawa, makanan, pecal
Subscribe

Posts from This Journal “makanan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments