kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cikgu Baharuddin 
Marji tokoh guru sejati

PADA petang Ahad kelmarin, tersebar berita sedih tentang pemergian Datuk Baharuddin Marji, 90, tokoh perguruan yang telah melatih ribuan guru semasa berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Kirkby (1956– 1961) dan Maktab Perguruan Sultan Idris (1961–1968).

Allahyarham yang dikenali sebagai pensyarah berdisiplin, mesra dan mengambil berat kebajikan pelajar dilahirkan di Banting, Selangor, pada 1925, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Banting sehingga Darjah 5 - kelulusan tertinggi sekolah aliran Melayu ketika itu.


Baharuddin Marji

Semasa perang Jepun (1941–
1945) beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang telekomunikasi di Singapura dan menjadi juruteknik telekom. Selepas perang beliau menyambung pelajaran aliran Inggeris di Sekolah Victoria Kuala Lumpur, sehingga lulus peperiksaan Cambridge. Beliau kemudiannya menjadi guru sambil mengikuti skim latihan guru Kelas Normal.

Ketika perang, ramai guru yang menyertai Pasukan Askar Sukarela (Volunteer Force) meninggal dunia. Kerajaan Kolonial memutuskan membuka beberapa buah maktab perguruan dengan yang pertama ialah Maktab Latihan Guru Malaya (MTC) di Kirkby, Liverpool, England, pada 1952, diikuti MTC Kota Bharu (1954) dan Maktab Brinsford Lodge (1956). Negara menghantar sekitar 2,000 guru pelatih ke England untuk mendapat latihan guru secara profesional di MTC Kirkby dan MTC Brinsford.

Selepas Perang Dunia Kedua banyak kilang senjata dijadikan maktab perguruan untuk melatih guru-guru yang amat diperlukan oleh sekolah di seluruh England. Kem-kem tentera dan kilang-kilang senjata telah diubah suai menjadi pusat-pusat latihan yang diperlukan bagi membina modal insan terlatih dalam pelbagai bidang yang diperlukan oleh England untuk membina semula negara mereka dan tanah-tanah jajahan yang rosak teruk akibat perang. Maktab Kirkby telah diubah suai dan digunakan sebagai maktab perguruan selepas perang oleh guru pelatih Inggeris (1945–1950) sehinggalah tiba pelatih dari Tanah Melayu pada Disember 1951.

Program Maktab Kirkby adalah kerjasama dengan Universiti Liverpool. Ketika Maktab Kirkby mula dibuka, Allahyarham dipilih bersama 150 orang yang lain untuk mengikuti kursus perguruan sepenuh masa. Antara yang lain ialah Toh Puan Siti Zainab Baharuddin, Prof. Dr. Chai Hong Chan, Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan, pelukis, Ismail Zain, Abu Hassan Ali dan Chan Poh Sin @ Datin Morjianah Abdullah yang dilamar menjadi isteri arwah.

Kumpulan pertama pelajar Kirkby dari Tanah Melayu ini bertolak dengan kapal PO Chusan pada 12 Disember 1951 dan tiba di London pada 23 Disember 1951 setelah belayar selama 21 hari. Ketibaan mereka dalam musim sejuk menjadi dugaan pertama kepada kumpulan ini namun kemeriahan perayaan Krismas menghibur mereka.

Setelah singgah di Malaya Hall, mereka dibawa menaiki kereta api dari stesen London ke stesen Liverpool sebelum ke stesen Kirkby. Berjalan kaki ke kolej yang terletak tidak jauh dari stesen Kirkby, mereka agak terkejut mendapati kolej yang disangka hebat itu hanya bekas kilang senjata. Namun mereka agak puas hati dengan kelengkapan asrama dan bilik yang panas dan selesa apatah lagi dihidangkan makanan Timur oleh tukang masak yang telah belajar khusus masakan Tanah Me-layu seperti gulai kari dan kurma.

Ketika ditemuramah semasa penerbitan buku coffee table Maktab Kirby Datuk Baharuddin, beliau memberitahu saya: “Perjalanan dengan kapal laut selama 21 hari dan tinggal dan belajar bersama di Kirkby telah menjadikan pelatih guru daripada pelbagai bangsa dan agama sebagai sebuah keluarga yang besar di rantau orang. Mungkin asal usul 1Malaysia bermula dari Kirkby dahulu.”

Beliau menambah: “Kami me-nubuhkan Persatuan Pelajar yang menjaga dan mengurus kehidupan pelajar khasnya dari sudut sosial dan agama. Kami bentuk dan memilih ahli-ahli Jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam bidang tertentu seperti hal ehwal makanan, mengurus induksi pelajar baru, merayakan hari-hari kebesaran agama secara bersama (Aidilfitri dan Aidiladha, Tahun Baru Cina, Krismas, Deepavali), mengadakan Malam Malaya (Malayan Festivals) termasuk mementaskan acara seni dan kebudayaan seperti teater dan drama bangsawan selain menganjurkan jamuan masakan Malaya dengan menjemput sama komuniti Kirkby dan Liverpool. Pada masa itu kita kurang melihat bangsa dan warna kulit dan tidak sangat sensitif. Kita lebih mengenali kawan kita tak kira apa bangsa.”

Kumpulan pertama Maktab Kirkby yang ramai berpengalaman menjadi guru ini melalui latihan selama setahun sahaja. Pada Disember 1952, tiba kumpulan kedua dengan kapal terbang kargo dari Lapangan Terbang Sungai Besi. Antara mereka ialah Tuanku Bainun Mohd. Ali, Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim iaitu Pro-Canselor UPSI, Prof Dr. Chua Tee Tee, Tan Sri G. Vadiveloo mantan Pengerusi MIC dan Datuk Alias Shamsudin pengasas sekolah swasta Sri Inai.

Semasa di Kirkby, Baharuddin telah menubuhkan pasukan pengakap dan menyertai kursus Outward Bound di Lake District.

Sekembalinya ke Tanah Melayu pada 1954, beliau mengajar di Sekolah Tinggi Klang dan pada 1956 menjelang merdeka, beliau kembali ke Maktab Kirkby selama lima tahun sebagai pensyarah Bahasa Melayu.

Baharuddin berada dalam Dewan Maktab Kirkby pada 7 Februari 1956 ketika Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj datang ke Liverpool mengisytiharkan negara kita akan merdeka pada 31 Ogos 1957 dan buat pertama kalinya rakyat Tanah Melayu melaungkan “Merdeka” di Kirkby.

Peristiwa ini cukup penting kerana Almarhum Tunku menandatangani Perjanjian Merdeka di London pada 8 Februari 1956 iaitu tarikh keputeraan baginda.

Setelah Maktab Kirkby ditutup, beliau kembali ke tanah air dan meneruskan kariernya dalam perkhidmatan pendidikan sebagai pensyarah utama di Maktab Latihan Guru Sultan Idris (SITC) dari 1961 hingga 1968. Antara anak muridnya ialah Prof. Dr. Wahab Ali dan Prof. Dr. Sidek Baba, Sasterawan Negara Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) serta Datuk Seri Helmi Ismail mantan Presiden Alumni MPSI.

Pada 1962, Baharuddin mengikuti kursus pakar di Western Michigan University, sebelum dilantik pula sebagai pengelola DTC Terengganu pada 1969.

Pada 1970, arwah berkhidmat di Bahagian Latihan Guru sehingga pencen pada 1980.

Sepanjang penglibatannya selama 40 tahun dalam bidang pendidikan, Allahyarham telah menabur bakti yang tidak ternilai sebagai guru, pensyarah dan pelopor idea penambahbaikan kualiti latihan guru.

Ramai guru yang mendapat latihan daripada arwah kini berjaya dalam kerjaya masing-masing baik sama ada dalam bidang perguruan mahupun profesional lain.

Sebagai seorang guru Bahasa Melayu, beliau sering menekankan supaya pelajar khususnya bukan Melayu memahami dan mendalami bahasa kebangsaan itu yang cukup penting sebagai alat perpaduan.

“To be respected as teachers in public schools you must command good Malay” - adalah kata-kata beliau yang cukup diingati oleh para pelajarnya.

Setelah bersara beliau telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan selama tujuh tahun. Beliau turut mengabdikan diri dengan kerja-kerja sukarela lebih 20 tahun sebagai pegawai protokol Musabaqah Al-Quran dan Pengerusi Masjid Sultan Abdul Aziz hinggalah keuzuran mengekang beliau aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Sebagai penasihat Persatuan Alumni Maktab Kirkby dan tokoh yang banyak pengalaman, beliau turut memberi sumbangan besar dalam projek menerbitkan buku coffee table dan filem dokumentari dengan kerjasama Filem Negara bagi mengabadikan sejarah unik Maktab Kirkby.

Tags: guru, sejarah, teachers, tokoh
Subscribe

Posts from This Journal “guru” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments