kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pertahan Tanah Rizab Melayu, Menggalas cabaran hidup di bandar besar

Menggalas cabaran hidup di bandar besar

Penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji kesan kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat negara ini, terutama yang tinggal di bandar besar sewajarnya diberi sokongan padu walaupun agak terlewat daripada waktunya.

Pembabitan pemimpin tertinggi negara dalam menubuhkan jawatankuasa ini dilihat sebagai usaha serius bagi mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup yang berlaku itu.

Ramai mengaitkan pelbagai faktor apabila menghujahkan kenaikan kos sara hidup ini antara lain disebabkan oleh faktor luaran.

Penurunan harga petroleum yang berterusan boleh menggugat kestabilan ekonomi negara, namun agak sukar untuk mengawalnya disebabkan oleh ketentuan pasaran.


Cabaran hidup di bandar besar. - Foto hiasan


Begitu juga dengan penurunan nilai ringgit berbanding mata wang asing yang tidak mudah dikawal melalui tindakan ekonomi dalaman.

Belum dibukti secara saintifik

Kos sara hidup yang meningkat itu tidak lagi dibuktikan secara saintifik melalui data yang dikutip menggunakan kaedah dan dianalisis secara sistematik dan perbandingan dalam pelbagai bentuk, pola dan struktur.

Misalnya bandar dan luar bandar; golongan profesional dan bukan profesional; pekerja swasta dan awam dan sebagainya.


Semua ini tidak ditunjukkan dengan jelas melalui kajian menyeluruh serta perbandingan dalam tempoh tertentu misalnya satu dekad.

Kajian seumpama ini penting untuk menentukan penanda aras melalui petunjuk yang dibina dan dapat ditentukan indeks kos sara hidup warganegara berbanding indeks kualiti hidup penduduk secara menyeluruh.

Kos sara hidup terbahagi kepada dua kategori utama.

Pertama adalah kos sara hidup harian iaitu kos perbelanjaan harian yang meningkat dan menurun setiap hari bergantung kepada harga barangan - misalnya harga barangan dapur serta keperluan harian.

Kos tetap setiap bulan misalnya harga sewaan atau ansuran rumah, ansuran kenderaan di samping bil bulanan elektrik, air, telefon, perkhidmatan televisyen berbayar dan sebagainya.

Kedua adalah kos sara hidup bermusim (berkaitan dengan kemasukan anak ke sekolah; musim perayaan tertentu; musim kenduri dan perkahwinan).

Kos kedua ini kadangkala dilihat membebankan apabila anak akan memasuki era persekolahan, terutama ibu bapa berpendapatan rendah untuk menyara anak ramai.

Begitu juga kos mengadakan kenduri perkahwinan yang meningkat setiap tahun daripada jumlah wang hantaran hinggalah kepada menguruskan hal ehwal pernikahan.

Semua ini wajar dipisahkan daripada pengurusan kos sara hidup yang pertama tadi.

Menjalani kehidupan di bandar yang segalanya perlukan wang yang banyak, berlakunya proses pembentukan ruang bandar yang menggambarkan pelbagai transformasi dan transisi sedang berlaku, iaitu transformasi kuasa, pandang dunia (worldview), penggerak dan pengguna yang berubah secara serentak dan beriringan.

Makanan segera

Restoran makanan segera seumpamanya bukan sahaja menyediakan makanan tetapi juga menyokong gaya hidup - makanan segera dan budaya kepenggunaan dan produksi massa homogeni yang menyeret warga kita berbelanja melebihi pendapatan.

Ada dua perspektif yang mendasari isu yang diketengahkan ini.

Perspektif pertama yang disebut sebagai perubahan dari atas (authority defined) atau perubahan dari bawah (every-day defined).

Perspektif pertama menjurus kepada pandangan pihak berwajib dan menyatakan ada kewajaran membenarkan peningkatan harga barangan di pasaran disebabkan peningkatan kos pengurusan dan kos operasi sesebuah syarikat.

Kenaikan harga barangan utama diberi kelulusan misalnya harga petroleum yang menyebabkan pula kenaikan harga barangan lain. Kesan rantaian ini terus berlaku.

Perspektif kedua ialah perubahan dari bawah yang dilakukan pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat mengikut kepentingan masing-masing.

Perspektif ini lebih menghampiri keadaan sebenar masyarakat apabila kelompok masyarakat itu merasai perubahan kesan kenaikan harga barangan di pasaran.

Perubahan ini boleh membawa kepada kehidupan lebih beretika melalui budaya kepenggunaan lestari sifatnya iaitu dalam keadaan tertentu terpaksa 'mengikat perut' untuk memastikan survival seterusnya.

Adalah wajar untuk membezakan di antara 'keperluan dan kehendak' yang kedua-duanya ini mampu memberikan jalan untuk membina budaya kepenggunaan yang beretika dan berhemah.

Peranan NGO, wakil masyarakat dan komuniti setempat termasuk pesara amat dialu-alukan di dalam memberikan pandangan melalui perspektif ini.


Pertahan Tanah Rizab Melayu

Apabila 'Wasiat Raja-Raja Melayu' memasukkan perihal Tanah Rizab Melayu dan bahasa Melayu dalam tujuh perkara amanat warisan, tentulah disedari betapa dua isu ini perlu ditangani secara bijaksana.

Menurut satu sumber arkib, konsep Tanah Rizab Melayu adalah satu bentuk undang-undang pemilikan tanah perseorangan bangsa Melayu di Semenanjung. Ia bertitik tolak daripada kebimbangan Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Shah yang melihat gejala pelupusan tanah dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa kawalan.

Keprihatinan Sultan Idris Shah itu dibawa oleh Residen British Negeri Sembilan, Douglas Graham Campbell, dalam Mesyuarat Residen-Residen British di Kuala Lumpur pada Oktober 1908. Lima tahun kemudian, pada 1913 ia diwartakan. Pihak British juga khuatir akan gejala pelupusan hak milik tanah orang Melayu.


KINI kita melihat betapa saiz Tanah Rizab Melayu, terutama di bandar, telah menjadi kecil. - Gambar hiasan

Sekiranya gejala itu tidak dibendung segera, kemungkinan pemilikan tanah bangsa Melayu di Tanah Melayu untuk jangka masa panjang akan tergugat dengan begitu dahsyat sekali.

Kesan jangka panjang

Kealpaan orang Melayu terhadap kepentingan pemilikan tanah dalam jangka panjang, diburukkan lagi oleh sikap kurang ambil kisah, atau menjualnya demi keuntungan jangka pendek.

Agak malang juga, sejak merdeka boleh dikatakan tiada sebuah kementerian atau agensi khas yang betul-betul dipertanggungjawab untuk mempertahankan dan membangunkan Tanah Rizab Melayu di seluruh Semenanjung.

Akibatnya, kini kita melihat betapa saiz Tanah Rizab Melayu, terutama di bandar, telah menjadi kecil. Tanpa kementerian atau agensi khas yang diberikan kuasa undang-undang untuk mempertahan dan membangunkan Tanah Rizab Melayu, kapitalis dengan mudah merebutnya atas nama pembangunan.

Pembangunan itu pula jarang memihak kepada bangsa Melayu dari aspek penempatan dan pemilikan akibat harganya yang tinggi.

Apabila tidak lama dahulu Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan kita semula mengenai isu tanah rizab Melayu ini, wajarlah pihak kerajaan menentukan agensi khas bagi mempertahankan baki Tanah Rizab Melayu yang ada, seterusnya membangunkannya.

Raja-Raja Melayu mengharapkan 50 peratus pemilikan tanah kekal kepada orang Melayu, sementara selebihnya untuk dikongsi bersama dengan kaum-kaum yang lain.

Kita berasa bimbang, tanpa agensi khas menangani isu Tanah Rizab Melayu, lama kelamaan Tanah Rizab Melayu hanya tinggal perca sebelum luput sama sekali.

Bagi isu bahasa Melayu yang ada agensi khas pun (iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, yang ditugaskan membina dan mengembangkannya), kini bahasa Melayu pun kelihatan terumbang-ambing dilambung gelora bahasa Inggeris.

Kealpaan bawa padah

Kapitalis dan penggerak bahasa Inggeris yang oportunis selalu meminta kita bermain di padang sama rata, konsep bikinan mereka, tetapi isu tanah dan isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memiliki natijah serta maruah yang jauh lebih mendalam dan penting kepada bangsa Melayu dan Raja-Rajanya.

Kita selama ini alpa terhadap kepentingan Tanah Rizab Melayu. Kita melepaskannya kepada kapitalis untuk membangunkannya menurut selera mereka.

Kita juga alpa terhadap bahasa Melayu sebagai satu-satunya sumber penyatuan pendidikan dalam masyarakat pelbagai kaum.

Lalu kita benarkan generasi muda kita sedari kecil untuk berpisah-pisah memilih aliran pendidikan mereka sendiri.

Sekarang dengan perasaan terkejut yang sudah tidak berguna, kita melihat bandar dan kawasan perumahan baharu muncul dengan nama asing.

Sukar pula membina titik temu generasi baharu yang sudah lima dekad berpisah-pisah aliran pendidikan mereka.

Gambaran membimbangkan ini mungkin dipancar dari sebuah projektor yang sengaja bertujuan mengaburkan imej Islam, Melayu dan bahasa Melayu.

Mainan ini harus kita perhatikan dengan penuh kewaspadaan, kerana sebagai penonton kita belum sampai ke adegan akhir tujuan mereka yang sebenar.

Tetapi, Raja-Raja Melayu mungkin dapat menduga adegan akhir mainan petualang itu.

Apa ertinya menjadi Melayu di tanah air sendiri jika tidak memiliki hartanah?

Apa ertinya menjadi Melayu yang tipis pemahaman agama Islam? Apa gunanya menjadi Melayu tanpa jati diri dan bahasa yang merapuh?

Jika adegan akhir itu menjadi kenyataan, tidakkah itu juga memberi natijah sendiri kepada kedudukan serta kedaulatan Raja-Raja Melayu?
Tags: kos, melayu, sara hidup
Subscribe

Posts from This Journal “sara hidup” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments