kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Antara fakta dan retorika di Parlimen

Setiap hari, masyarakat di seluruh dunia menerima berita, laporan dan maklumat dari pelbagai sudut.

Ada yang mendapat maklumat daripada perbualan dengan rakan, mendengar ucapan atau ceramah, penerangan dalam bilik darjah atau kuliah dan sebagainya.

Tidak kurang juga ramai yang mendapat maklumat menerusi media cetak, elektronik dan media baharu.

Sudah tentunya, setiap hujah yang diterima itu mengandungi pelbagai kriteria maklumat sama ada ia berbentuk ilmu, nasihat, arahan, pengalaman, jenaka, hujah politik atau ekonomi dan sebagainya.


Sidang Parlimen di Malaysia.


Ada juga maklumat berasaskan fakta yang lengkap dengan segala bukti dan hujah, maklumat separuh fakta, palsu dan sebagainya.

Dalam bilik kuliah pula ia dianggap maklumat berbentuk ilmiah. Ada maklumat yang disampaikan kepada golongan sasaran sememangnya disengajakan untuk sesuatu tujuan atau tidak disengajakan.

Maklumat yang disengajakan mestilah disampaikan dengan andaian konkrit, bukan melemparkan sesuatu idea yang tidak bersandar.

Undang reaksi

Setiap maklumat retorik yang lemah akan hanya mengundang reaksi jika ia berlaku dalam satu suasana yang penuh emosi, contohnya ketika meminta rakyat melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan dalam keadaan ekonomi tidak menggalakkan dan rakyat menghadapi tekanan hidup.

Jika dikaji dengan terperinci, setiap hari, ratusan malah ribuan maklumat retorika didengar dan dibaca.

Kajian mengenai maklumat retorika sudah banyak dilakukan oleh sarjana sama ada dalam bidang sains politik, sains sosial, psikologi dan pelbagai bidang lain.

Tujuan asas maklumat retorika adalah untuk pemujukan.

Dalam negara demokrasi politik, maklumat sebegini sering digunakan oleh ahli politik, sama ada daripada ahli politik parti pemerintah atau parti pembangkang yang tujuannya untuk memaklumkan kepada kumpulan sasaran mereka mengenai sesuatu maklumat atas kepentingan diri atau parti mereka atau mempertahankan diri daripada serangan lawan politik mereka.

Hujah retorika ini pula disebarkan melalui pelbagai media khasnya media yang tidak menapis antara maklumat retorika politik dan fakta atau realiti, yang akhirnya menyebabkan sebahagian besar bahan yang dibaca atau didengar oleh masyarakat adalah bahan retorika.

Di negara yang masyarakatnya mementingkan ilmu, mereka mudah membezakan antara maklumat berfakta dan retorika.

Masyarakat juga mudah mengetahui pemimpin mereka sama ada yang berkuasa atau pembangkang yang bercakap berasaskan fakta atau bercakap retorika politik.

Di Malaysia, pelbagai hujah dalam pertikaian membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) adalah bersandarkan kepada hujah retorika politik.

Di Amerika Syarikat dan negara maju yang lain, pemimpin mereka juga bercakap dalam konteks berunsurkan retorika dalam usaha mereka berkomunikasi dengan rakyat, malah berkomunikasi dengan masyarakat dunia.

Ucapan Presiden Barack Obama juga dianggap banyak mengandungi pelbagai unsur retorika untuk meyakinkan golongan sasaran berhubung hujah, idea, pendekatan dan dasar yang dilaksanakannya sama ada ia membabitkan masyarakat Amerika Syarikat, kepentingan Amerika Syarikat dan dunia umumnya.

Kemuka pandangan retorika

Perbincangan yang mengandungi elemen retorika juga berlaku dalam persidangan peringkat antarabangsa.

Setiap pemimpin yang menyertai persidangan seperti itu sekadar mengemukakan idea dan pandangan baharu yang berbentuk retorika dan ada yang dianggap sekadar 'melepaskan batok di tangga'.

Banyak pertikaian, konflik, peperangan dan sebagainya yang membabitkan pelbagai negara yang bertikai di Barat dan Timur, negara Arab dan sebagainya tidak dapat diselesaikan disebabkan faktor retorika yang terlalu menebal.

Di negara demokrasi, elemen retorika juga menjadi hujah di Parlimen masing-masing.

Di negara membangun, hujah retorika politik didengar setiap hari.

Sama ada disedari atau tidak, ia menjadi topik perbahasan dan perdebatan yang dianggap begitu prominen dan sangat penting dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Tags: parlimen
Subscribe

Posts from This Journal “parlimen” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments