kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ancaman 'pengghettoan' orang Melayu

Sejak awal lagi apabila orang Melayu berhijrah ke bandar atau perantau Indonesia datang ke Malaysia, mereka akan tinggal di kawasan-kawasan sesak.

Penempatan yang dikenali sebagai kawasan setinggan itu didirikan atas tanah kerajaan secara haram atau lesen pendudukan sementara atau lebih kenali sebagai tanah TOL daripada bahasa Inggeris Temporary Occupation Licence.

Mana-mana kawasan setinggan atau TOL ini yang dibuka sendiri oleh penghijrah selalunya dinamakan mengikut nama tempat asal mereka.

Sebab itulah kita ada Kampung Medan, Kampung Kerinchi, Kampung Boyan, Kampung Acheh, Kampung Minang dan Kampung Jawa. Kemudian ada juga Kampung Kedah, Kampung Perak dan Kampung Kelantan.


Apabila kawasan ini dimajukan, selalunya penduduk asalnya akan terpinggir pasal rumah yang didirikan di luar kemampuan mereka.

Bahasa basahan kata, rumah mampu pandang. Maka terpinggirlah mereka ke penempatan baharu di pinggir bandar atau ke kawasan perumahan baharu yang jauh dari bandar.

Yang bernasib baik terpilih terus menetap dalam bandar akan dihimpunkan di kawasan-kawasan ketumpatan tinggi (high density) dengan nama macam Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), flet murah dan rumah mampu milik.

Dari awal lagi Kunta Kinte tak berapa selesa dengan nama-nama macam itu pasal kita seolah-olah, secara rasmi, bahagikan rakyat jelata ikut kasta ekonomi.

Terperangkap dalam kemiskinan

Tak hairanlah kalau sebahagian besar penduduk kawasan-kawasan ketumpatan tinggi ini terus terperangkap dalam kemiskinan dan jadi lebih susah apabila kos sara hidup naik dan pengangguran meningkat.

Dalam istilah Inggeris, penempatan macam ini dipanggil ghetto.

Pusat Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka takrif ghetto sebagai kawasan bandar yang didiami oleh sesuatu etnik atau kumpulan sosial minoriti, biasanya hidup dalam keadaan miskin, perumahan yang sesak dan daif.

Di Amerika, ghetto didiami oleh orang keturunan Afrika dan pendatang baharu dari Amerika Selatan.

Sebahagian penempatan ini kemudian diambil alih dan dinaikkan taraf oleh pendatang keturunan Cina dari merata tempat di dunia, orang India dan orang Korea.

Sekarang di Kuala Lumpur banyak tempat dah bertukar jadi ghetto pendatang Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India dan Afrika.

Inilah akibatnya apabila kita terlalu mudah benarkan orang asing masuk, bekerja dan menetap di negara kita.

Jadilah kita negara ghetto di mana, kadang-kadang, kera di hutan disusui anak di rumah mati kelaparan dan dasar kita nak jadi negara majmuk contoh makin hari makin terabai.

Minta maaflah kalau Kunta Kinte kata, pada akhir-akhir ini timbul pula satu bentuk 'ghetto' lagi iaitu dalam bidang pelajaran.


Apabila kawasan bandar dimajukan, selalunya penduduk asal akan terpinggir kerana rumah yang didirikan di luar kemampuan mereka. - Gambar hiasan
Maksud Kunta Kinte, majoriti pelajar Melayu dan Bumiputera pergi ke universiti awam (UA), manakala institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dimonopoli oleh bukan Bumiputera dan orang asing.

Sekarang di banyak tempat, keadaan ini dah mula merebak ke sekolah rendah dan menengah.

Sekolah kebangsaan, khususnya di luar bandar dan di kawasan ketumpatan tinggi di bandar, dimonopoli oleh Melayu dengan nisbah murid Cina dan India yang semakin menurun.

Malah, ada sekolah rendah dan menengah kebangsaan di kawasan bandar yang tak ada pelajar Cina atau India.

Kalau ada pun beberapa kerat sahaja dan nisbahnya makin turun.

Sebaliknya yang jadi tambah majmuk adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang walaupun dimonopoli oleh murid Cina, ada ramai murid Melayu dan India, khususnya di kawasan bandar.

Pada pendapat Kunta Kinte, 'pengghettoan' orang Melayu dan Bumiputera, sama ada dari aspek penempatan, pekerjaan atau pendidikan adalah buruk.

Motivasi rendah

Orang Melayu dan Bumiputera tidak dapat bersaing dengan bangsa lain secara berkesan, memiliki tahap motivasi yang rendah dan mudah diberi makan dedak akibat kemiskinan dan kejahilan.

Malangnya, sesetengah aspek pembangunan negara sendiri jadi punca 'pengghettoan' Melayu yang makin hari makin teruk.

Ambil sajalah contoh Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam yang berupa penempatan orang Melayu miskin.

Apabila dimajukan jadi penempatan taraf atas dan dibagi nama kelas macam Pantai Hillpark dan sekarang Bangsar South, maka secara automatik terpinggirlah penduduk asal.

Sebahagian mereka dipindahkan ke pangsapuri ketumpatan tinggi dan PPRT, manakala yang lainnya terpelanting ke pinggir-pinggir bandar atau hilang terus tempat tinggal.

Betullah hujah sesetengah orang, iaitu kalau kita ambil Kuala Lumpur sahaja, kita dah pun capai taraf negara pendapatan tinggi.

Tapi apa kos sosialnya - adakah peminggiran rakyat berpendapatan rendah, yang majoritinya Melayu dan Bumiputera, menjadi dasar kerajaan dalam usaha nak ubah Malaysia jadi negara berpendapatan tinggi? Wallahuaklam.
Tags: melayu, penempatan
Subscribe

Posts from This Journal “penempatan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments