SEBAGAI seorang ayah yang punya lima orang anak bersekolah, adakalanya penulis rasa khuatir dengan kenyataan-kenyataan ‘besar’ berkenaan keperluan perubahan sistem pendidikan negara. Tidaklah bermakna ibu bapa di luar sini menentang perubahan. Namun, sebarang cadangan dan ikhtiar perubahan mestilah bersifat terurus dan konkrit.
Penulis sempat meneliti banyak pandangan rakan ibu bapa, baik di dalam media sosial mahupun perbualan biasa di luar kawasan sekolah. Apabila sahaja pihak Kementerian Pendidikan Malaysia bercakap tentang perubahan - kita sebagai ibu bapa juga berasa rusuh hati dan bimbang.
Kerisauan dan kebimbangan ini pastinya bersandarkan beberapa sebab dan alasan. Ada kalangan rakan yang berkata, setiap pertukaran kepimpinan di kementerian, akan pastinya menzahirkan perubahan.
Soalnya, apakah perubahan itu menjadi keperluan atau sekadar menjadi satu teori indah di atas kertas semata-mata. Bukanlah juga kita mahu bersikap pesimis dan kecil jiwa akan kemampuan generasi dan anak-anak kita mendepani perubahan. Soalnya, apakah itu yang sedang nusa dan bangsa ini perlukan? Apakah kita perlukan perubahan ‘struktur’ dan ‘skema soalan/jawapan’; atau pendidikan di Malaysia ini memerlukan penghijrahan nawaitu asas kepada bidang pendidikan.
Baru-baru ini, diumumkan pula tentang kemungkinan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mahu dirubah bentuk pentaksirannya supaya lebih bersifat ala-Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dirasakan boleh membuatkan pelajar kurang tertumpu kepada usaha mendapat lebih ‘A’ di dalam peperiksaan.
Apakah sudah ada kajian dibuat mengenai pendekatan PBS di peringkat PT3; termasuk dari sudut kemampuannya mengurangkan beban pemikiran berasaskan peperiksaan (exam oriented)? Sudahkah dibuat kajian akan impak dan kesan PBS kepada masa hadapan pelajar ini di Tingkatan 4 dan 5?
Penulis cuma bimbang, kesungguhan kita untuk melakukan perubahan ‘struktural’ ini hanya nampak indah dan manis di atas kertas; tetapi tidak terurus daripada sudut pelaksanaannya. Yang lebih malang, jika segala perubahan ini akan akhirnya memberikan beban tambahan kepada guru biasa yang ada di bawah.
Kita belum lupa bagaimana suatu ketika dulu, guru berhadapan beban yang melampau dalam usaha memasukkan data dan menyediakan pembuktian (evidences) berkait kecapaian pelajar. Jika seorang pelajar ini mempunyai ‘12’ ruang pembuktian yang mahu diisi, bayangkan sahaja beban untuk guru yang menjaga lebih daripada dua atau tiga kelas.
Ironinya, bila kita cuba berdialog berkenaan dapatan dan pembuktian berkenaan, adakalanya penerangan yang diberikan juga kurang jelas dan tidak seperti yang dibentangkan sebagai ‘matlamat’ asal kepada perubahan yang dimaksudkan.
Inilah yang penulis katakan, ‘jurang’ di antara kenyataan besar pembeduk polisi dan mereka yang melaksana ‘dasar’ mestilah dirapatkan. Pandangan dan buah fikiran mereka yang berada di bawah, bergelumang dengan cabaran mendidik anak bangsa mesti diambil kira.
Terus terang penulis katakan, perubahan di peringkat sekolah rendah, termasuk membawa masuk elemen ‘Kemahiran Berfikir Aras Tinggi’ (KBAT), sebagai misal, boleh membangkitkan keterujaan dalam pembelajaran. Dengan sendirinya, guru dan ibu bapa juga perlu menyuntik jalur pemikiran KBAT yang sama. Mungkin inilah yang kita perlukan. Menambahbaik modul dan pendekatan pembelajaran agar anak-anak kita menjadi kelompok ‘pemikir’ dan bukannya generasi yang menunggu disuap dengan ilmu.
Niat dan kemahuan itu sudah baik dan wajar dihargai. Perubahan ini memerlukan ‘tempoh matang’ untuk dihargai oleh pelajar dan ibu bapa. Untuk itu berlaku, ia tidak perlu ditambah baik pula dalam bentuk lain. Penambahan ‘kertas’ semata tidak melambangkan perubahan sebenar yang sedang berlaku di peringkat bawah.
Ada negara tetangga kita yang lebih berhati-hati di dalam melakukan perubahan kepada sistem peperiksaan dan pentaksiran. Peperiksaan PSLE (tahap sama seperti UPSR), hanya akan dirubah apabila keseluruhan sistem di peringkat sekolah menengah bersedia dengan perubahan yang mahu dilaksanakan.
Ibu bapa diberikan keyakinan terlebih dahulu akan perubahan yang bakal dilaksanakan. Pengumuman perubahan tidak dibuat tahun ini dan bakal dilaksanakan tahun hadapan. Cukup masa untuk semua pemegang taruh faham dan menghargai apa yang dimahukan oleh pihak berwajib.
Tidak salah untuk kita belajar pendekatan perubahan yang lebih menyantuni pandangan dan input semua pihak. Lebih penting daripada itu, jangan sampai kita dianggap sebagai mereka yang gemar melakukan perubahan hanya kerana keterdesakan kita mencipta nama dan dilihat sebagai pereformasi agenda pendidikan.
Wujud juga keperluan untuk kita lebih selektif di dalam usaha menggembar-gemburkan cerita kejayaan. Sebagai sebuah negara yang menuju kedudukan negara maju dalam tempoh kurang lebih 4 tahun, pembaris perbandingan kemampuan sistem pendidikan kita sudah perlu dilonjak lebih tinggi.
Bidang pendidikan adalah satu bidang paksi yang tidak boleh terlalu tergugat dengan kegawatan ekonomi. Benar, ia akan menjadi cabaran besar - tetapi kita mengharapkan ada pendekatan yang lebih efektif dalam memastikan kelompok pelajar tidak terkena tempias yang terlalu teruk.
Pada pandangan penulis, langkah dan cabaran inilah yang perlu lebih diberikan prioriti dan tumpuan. Bukannya bagaimana kita merubah sistem pentaksiran UPSR yang sedia ada. Ibu bapa, guru, pelajar dan seluruh ‘sarana’ pendidikan mesti dimaklumkan akan perubahan besar bidang pendidikan dengan kesuraman ekonomi mutakhir ini.
Kita hanya mampu mengharapkan, usaha menyusun semula bajet yang akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat memberi tumpuan ‘khas’ dan ‘spesifik’ kepada isu dan darihal pendidikan.
Merencana perubahan pendidikan memerlukan kesedaran perkara dan isu yang perlu diberikan keutamaan. Adakalanya, kita akan lebih dihormati jika tidak terlalu galak melakukan perubahan, terutamanya atas perkara yang hanya nampak hebat di atas kertas.