kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahana kemaruk gelaran Datuk

SATU hari ketika Al-Imam Abu Hanifah r.a sedang berjalan-jalan, beliau menegur seorang budak: “Wahai budak, jaga-jaga dengan kasut kayu mu itu... bimbang kamu akan tergelincir nanti”.

Budak tersebut mengucapkan terima kasih di atas perhatian Al-Imam kepadanya. Budak itu tiba-tiba bertanya: “Wahai tuan, siapakah nama tuan?”. Al-Imam Abu Hanifah lalu menjawab: “Nama ku Nuiman”.

“Ohh..rupa-rupanya tuanlah yang digelar Al-A’dzam (Imam yang sangat hebat) itu? Budak itu bertanya kembali kepada Al-Imam Abu Hanifah. Al-Imam Abu Hanifah lalu menjawab: “Bukan aku yang meletakkan gelaran tersebut. Namun orang ramai yang bersangka baik dengan aku meletakkannya”.

Budak itu menjawab: “Wahai Imam, janganlah engkau sampai ter­­gelincir ke dalam api neraka di se­babkan gelaranmu itu. Aku hanya memakai kasut kayu yang jika aku tergelincir sekali pun hanya di dunia semata-mata. Namun gelaranmu itu terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam neraka Allah lantaran angkuh dan berbangga-bangga”.


Pingat dan kebesaran yang dimiliki oleh `Sultan Melaka'.

Begitulah kisah dalam Islam berkaitan soal kedudukan, pangkat dan gelaran. Tetapi kajilah apa yang berlaku di negara kita sekarang, bermula dengan ‘Sultan Melaka’, diikuti dengan ‘Bonda Ratu’ kini muncul pula ‘Maharaja Kinta’. Kesemua mereka hanya orang biasa tetapi mahu disanjung berketurunan raja mahupun sultan.
Mustahil mereka tidak tahu apa yang dilakukan salah atau hanya menjadi bahan jenaka, tetapi malangnya ada dalam kalangan orang ramai yang percaya. Paling tidak masuk akal ada yang sanggup membayar puluhan ribu ringgit semata-mata mahu bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’.

Ketiga-tiga individu hanya contoh, terdapat ramai lagi yang akan muncul untuk ‘menyampaikan anu­gerah darjah dan pingat’ dengan mendakwa diri daripada keturunan entah apa-apa.

Sebenarnya, individu itu jauh lebih bijak daripada mereka yang bersedia menerima anugerah pingat-pingat yang diberikan kerana kemaruk mahu bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’.

Ini kerana mereka boleh mengaut keuntungan beratus-ratus ribu ringgit dengan menyampaikan anugerah palsu tersebut. Tetapi yang membayar peduli apa, yang pen­ting dapat gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ biarpun ia disampaikan di dalam hutan!

Malah apa yang melucukan, ada pula yang sanggup menyediakan plat atau plak di kenderaan yang tertera bermacam-macam gelaran termasuklah ‘Yang Mulia’, ‘Ahli Kerabat’ dan pelbagai lagi. Mungkin sudah menjadi perangai orang kita khususnya orang Melayu suka sangat perkara-perkara aneh seperti itu. Mereka berbangga mendapat gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ biarpun daripada individu tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Gelaran itu digunakan di mana-mana termasuklah di laman sosial seperti Facebook. Soalnya, adakah ini bertepatan dengan ajaran Islam? Tidakkah mereka membaca kisah Imam Abu Hanifah r.a? Atau meneliti pesanan Allah SWT dan Rasulullah SAW mengenai anugerah, kedudukan dan pangkat?

Tidak salah menerima gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ asalkan ia daripada darjah yang diberikan secara rasmi oleh raja-raja Melayu dan Yang Dipertuan Negeri sebagai mengenang jasa seseorang. Namun ketika ini ada kelompok yang bangga tidak bertempat dalam menggunakan ge­laran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ walaupun ia pemberian individu yang boleh dikategorikan sebagai ‘sakit’.

Contohnya, apabila seseorang itu mengaku ‘Sultan Melaka’, ia bagaikan diiktiraf oleh sesetengah pihak. Dia mengadakan pelbagai majlis bagi menonjolkan dirinya sebagai ‘Sultan’ termasuk upacara penganugerahan pingat-pingat.

Begitu juga apabila munculnya wanita yang mendakwa dirinya ‘Bonda Ratu’. Wanita berasal daripada Indonesia itu mengaku keturunan Raja Sumatera sedangkan dia hanya tukang urut. Lebih hebat ‘Maharaja Kinta’, entah fakta apa yang digunakan sehinggakan dakwaan berasal daripada keturunan ‘Panglima Kinta’ secara tiba-tiba boleh bertukar menjadi ‘Maharaja’.

Pokok pangkal kepada kemunculan individu-individu itu disebabkan kelemahan undang-undang sedia ada dan sikap kemaruk serta bangga dengan gelaran serta kedudukan. Seperkara lagi, bukan sahaja dari segi akta perlu diperkemaskan malah siasatan juga harus dijalankan untuk mengetahui bagai­mana individu terlibat begitu mudah menambah nama mereka di dalam kad pengesahan nama yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?

Sepatutnya penggunaan gelaran pada kad pengenalan dan pasport hanya boleh dilakukan apabila seseorang individu itu menunjukkan watikah yang disampaikan oleh raja-raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri. Tetapi bagaimana seseorang boleh sewenang-wenangnya meletakkan gelaran ‘Yang Mulia’, ‘Datuk’, ‘Datuk Seri’ atau ‘Datuk Seri Paduka Diraja’ tanpa disiasat terlebih dahulu kesahihannya oleh JPN? Di mana silapnya?

Penulis bukannya mahu menu­ding jari menyalahkan JPN tetapi se­kadar mahukan siasatan dijalankan kerana ia melibatkan perbuatan yang boleh mencemarkan kemuliaan institusi raja-raja. Sementara pindaan dilakukan ke atas Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414), siasatan perlu dijalankan oleh pihak berkuasa untuk mengenal pasti mereka yang mendapat gelaran daripada individu yang tidak diiktiraf.

Ini memandangkan mereka tidak berasa malu untuk menggunakan gelaran tersebut. Mereka berbangga dipanggil ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’, biarpun dengan sengaja sedang menghimpunkan dosa kerana menipu orang ramai melalui gelaran palsu tersebut.

-

Awang fikir, kita tidak boleh menolak bahawa pendorong kepada kegilaan perbuatan ‘Sultan Melaka’ diikuti ‘Bonda Ratu’ dan kini ‘Maharaja Kinta’ yang menganugerahkan gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ kepada sesiapa sahaja yang tidak memberi sumbangan atau jasa apa-apa kepada negara, ialah pihak menerima anugerah berkenaan.

Ini kerana, jika tiada pihak yang sanggup mengeluarkan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan gelaran tersebut sedangkan dia tidak layak langsung untuk menerimanya, sudah pasti ‘majlis penganugerahan’ tersebut tidak akan berlaku.

Melalui pendedahan yang dibuat oleh akhbar Awang ini, kita semua terkejut kerana pengurniaan pingat yang membawa gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ palsu ini, rupa-rupanya sudah berada pada tahap serius di negara ini.

Ini bukan perkara lawak jenaka. Seharusnya, perbuatan yang telah mencemar dan memperlekehkan imej institusi raja-raja Melayu ini perlu dihentikan dan tindakan setegas-tegasnya perlu diambil terhadap pihak terbabit termasuk penerima gelaran ini supaya jangan ada sesiapa lagi berani tampil kononnya kerabat diraja itu dan ini.

Jadi Awang berharap, selain mengesan kerabat diraja palsu ini, pihak berkuasa perlu juga memburu pihak yang mendapat gelaran tersebut. Kita juga bimbang penerima gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ palsu ini, akan berselindung di sebalik gelaran itu untuk membuat kerja-kerja yang salah, melakukan jenayah misalnya.

- Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 18 Januari 2016 6:15 PM
Tags: gelaran
Subscribe

Posts from This Journal “gelaran” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments