kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengapa begitu susah nak turunkan harga rumah?

Seorang ayah risau mengenang nasib anaknya dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang - sama ada mampu untuk memiliki rumah sendiri atau sebaliknya.

Bapa berusia 45 tahun dengan empat anak yang masih bersekolah dan bermastautin di Lembah Klang itu, bimbang tiada lagi rumah berharga bawah RM500,000 menjelang 2030.

Dia sendiri membeli sebuah rumah teres pada harga RM150,000 kira-kira 12 tahun lalu di Bangi tetapi katanya, tiada lagi rumah teres pada harga itu, di tempat sama sekarang.

Baginya, jika trend harga rumah terus meningkat, mungkin anaknya cuma mampu untuk menyewa bilik di Lembah Klang apabila mula bekerja menjelang 2030 nanti.



Agensi seharusnya bertanggungjawab membangunkan kawasan bandar bagi membantu Bumiputera memiliki rumah di bandar - seperti membangunkan Shah Alam dan Bandar Baru Selayang. Jika tidak, 50 tahun akan datang, tiada lagi Melayu tinggal serta memiliki harta di bandar. - Foto hiasan


Mungkin juga orang Melayu sudah tidak mampu lagi memiliki rumah di bandar.

Dalam hal ini, ada kebenaran kenyataan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mahu kerajaan menubuhkan semula agensi seperti Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang bertanggungjawab membangunkan kawasan bandar bagi membantu Bumiputera memiliki rumah di bandar - seperti membangunkan Shah Alam dan Bandar Baru Selayang.

Jika tidak, 50 tahun akan datang, tiada lagi Melayu tinggal serta memiliki harta di bandar. Itulah hakikatnya yang perlu diberi perhatian sekarang.

Entah apa sebenarnya menjadi punca harga rumah amat payah untuk turun atau kekal lama pada paras harga munasabah.

Apakah ia dipengaruhi harga tanah semata-mata? Apakah ia berpunca daripada kegiatan berbentuk spekulatif untuk mengaut keuntungan? Apakah ia berkaitan dengan dasar perumahan kerajaan? Apakah benar keghairahan pemaju untuk menjual gaya hidup dan bukan rumah sebagai satu keperluan antara faktor yang menyebabkan harga rumah mahal?

Antaranya, termasuk tindakan pemaju menyediakan kemudahan mewah seperti kolam renang, jakuzi, SPA dan rumah kelab hingga menyebabkan harga rumah melambung.

Jika peningkatan harga rumah itu gara-gara 'permainan' swasta/pemaju, maka wajib kerajaan campur tangan untuk melakukan pembetulan.

Disebabkan harga rumah ini jugalah penyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan bandar berikutan kos sara hidup yang tinggi.

Seorang timbalan menteri memberitahu, di kawasan bandar, kebanyakan harga rumah meningkat dengan begitu mendadak sehingga di luar kemampuan rakyat bawahan.

Rumah banyak dibina dengan harga RM300,000 ke atas. Apabila golongan bawahan ini tidak mampu membeli, katanya, maka mereka terpaksa menyewa.

Harga sewaan di bandar juga turut meningkat. Jika seseorang warga kota itu bergaji RM2,500 sebulan, hampir 50 peratus akan dibelanjakan untuk membayar ansuran atau sewaan rumah saja, sekali gus dia terjerumus dalam kemiskinan bandar.

Kita sendiri juga tertanya-tanya, mengapa terlalu susah harga rumah untuk diturunkan?

Mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan memanggil semua pemaju perumahan dan syarikat yang terbabit dalam pembinaan rumah, cari jalan bagaimana untuk menstabilkan harga rumah.

Mustahil tiada jalan keluar untuk kemelut harga rumah ini yang bagaikan hanya mampu untuk dilihat, bukan untuk dibeli.
Tags: ekonomi, kos, rumah, sara hidup
Subscribe

Posts from This Journal “rumah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments