kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Wajib ambil tahu hal ekonomi

SATU dunia sedang hadapi masalah pertumbuhan ekonomi yang lembap akibat kejatuhan harga minyak mentah. Tak kira negara itu pengeluar petroleum atau bukan, semuanya kena tempias kejatuhan petroleum.

Dah lama minyak mentah jadi senjata politik antarabangsa. Sekarang ia turut jadi kunci ekonomi dunia. Negara-negara pengeluar utama petroleum macam Arab Saudi sengaja tekan turun harga sebagai senjata diplomasi dan strategi untuk gagalkan pembangunan sumber alternatif tenaga, khususnya minyak dari batu syal (shale).

Pada tahun 2007 dan 2008, harga minyak mentah melambung sampai AS$145 satu tong.


Ekonomi kita tunggang-langgang dan hidup rakyat jelata susah apabila, pada tahun 2006, kerajaan naikkan harga runcit minyak.

Tujuh tahun kemudian, harga minyak mentah jatuh ke bawah paras AS$35 satu tong.

Walaupun kita pengeluar petroleum kecil tapi sumbangan industri minyak dan gas kepada ekonomi negara dan hasil kerajaan sangat besar.

Jadi bila harga minyak mentah jatuh merudum dan diikuti pula oleh kelemahan mata wang ringgit, kesan kepada ekonomi kita berganda.

Maka betullah dakwaan kata bukan semua masalah ekonomi dan kesusahan yang rakyat jelata alami hari ini adalah akibat kesalahan atau kelemahan mana-mana pihak.

Ekonomi perdagangan

Kunta Kinte dah banyak kali kata. Ekonomi kita adalah ekonomi perdagangan. Walaupun kita negara kecil, tapi kita adalah antara negara perdagangan terbesar di dunia.

Jadi apa yang berlaku kepada ekonomi dunia, kesannya kita akan rasa melalui perdagangan.

Suka tak suka kita kena akui bahawa tak banyak yang kita boleh buat untuk pengaruhi harga minyak di pasaran dunia atau lindungi negara kita daripada kesan naik turun ekonomi dunia. Inilah ciri kebergantungan dunia global.

Yang boleh kita buat adalah mengurus sebaik mungkin kesan kejatuhan harga minyak mentah terhadap ekonomi kita. Inilah peranan kerajaan, sektor swasta dan rakyat jelata.

Dalam keadaan susah dan mencabar macam inilah kecekapan dan kewibawaan sesebuah kerajaan diuji dan ditentukan.

Kalau baik kerajaan, maka kuranglah kesan dan bebannya ke atas rakyat jelata. Kalau kita ikut konsep pemerintahan Barat yang berdasarkan pasaran bebas, tugas kerajaan sangat mudah iaitu bantu peniaga dan pengusaha dalam urusan mereka.

Berdasarkan kefahaman inilah maka hari ini kerajaan semakin tidak terlibat dalam urusan ekonomi dan perdagangan sebaliknya diserahkan bulat-bulat kepada sektor swasta.

Malangnya, matlamat sektor swasta adalah buat keuntungan dan bukan kebajikan. Kebajikan adalah tanggungjawab kerajaan.

Kebajikan semua rakyat jelata

Tapi kalau kita ambil konsep Islam, tugas kerajaan atau pemerintah lebih besar dan lebih mulia daripada itu. Tugas kerajaan adalah menjaga kebajikan semua rakyat jelata, khususnya yang memerlukan bantuan.

Kita kena akui bahawa dalam keadaan ekonomi yang lembap macam sekarang inilah golongan miskin paling memerlukan campur tangan kerajaan.

Ironinya banyak kerajaan dan pemerintah abaikan tanggungjawab kebajikan dalam usaha mereka tangani krisis ekonomi. Mereka lebih utamakan isu cukai dan mata wang daripada kebajikan rakyat jelata.

Kita ambil contoh negara Greece yang orang dulu-dulu panggil Yunani.

Akibat rakyat jelata silap pilih kerajaan atau tak ambil peduli hal politik, mereka hari ini menderita. Negara muflis dan yang terpaksa tanggung beban kesalahan kerajaan adalah rakyat jelata.

Kerajaan yang hambar dan ahli politik yang korup sekadar kalah dalam pilihan raya tapi yang menderita tinggal sehelai sepinggang adalah rakyat jelata Greece.

Duit pencen pun hilang. Apa yang berlaku di Greece sekarang dah lama berlaku kepada banyak negara lain di Afrika, Amerika Selatan dan Asia.

Negara muflis, rakyat menderita tapi ahli politik yang jahanamkan negara hidup bebas dan senang. Kunta Kinte tak mahu memandai-mandai.

Memadailah kalau Kunta Kinte kata, sekiranya kita tak ambil peduli hal politik, pemerintahan dan ekonomi, janganlah salahkan sesiapa kalau kita jadi macam Greece atau Zimbabwe.

Kita wajib berusaha dan ambil tahu. Doa dan sungutan saja tak cukup. Kita kena masuk campur demi diri kita dan anak cucu kita.

Bagi kebanyakan kita, inilah bumi tempat hidup dan mati kita. Kita tak mampu dan tak berhasrat nak lari ke mana-mana. Wallahuaklam.
Tags: ekonomi, perniagaan
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments