kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

AS bukan Rom, China bukan Soviet

PAKSI kekuasaan geopolitik abad ke-21 ialah Pasifik, dengan Amerika Syarikat (AS) dan China adalah dua pesaing utama. Demikian rumusan Robert Kaplan dalam karya beliau pada 2014, Asia's Cauldron: The South China Sea And The End Of A Stable Pacific.

Penganalisis Stratfor itu memfokuskan impak kemerosotan ekonomi AS ke atas pengurangan armada laut AS, sedang pada masa sama, peningkatan ekonomi China membolehkannya memodenkan ketenteraannya. Lalu, apabila AS bersungguh-sungguh mempromosikan

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), ada dua naratif utama yang timbul. Pertama, hegemoni AS kini berada di ambang kejatuhan ibarat empayar Rom di penghujung hayatnya dan TPPA dianggap sebagai talian hayat terakhir AS.

Kedua, seandainya TPPA ditandatangani semua 12 negara anggotanya, termasuk Malaysia, kebangkitan China akan lenyap persis Kesatuan Soviet pada penghujung Perang Dingin.


Maka, bagaimana posisi Malaysia dalam menanggapi kedinamikan ini?

 Kedua-dua analogi terbabit memiliki merit tersendiri. Empayar Rom yang runtuh sekitar 476 Masihi selepas berkuasa selama hampir 500 tahun sebagai kuasa terunggul di dunia sememangnya memiliki beberapa persamaan dengan AS pada saat ini.

Kewujudan institusi politik domestik seperti dewan perwakilan, angkatan tentera yang efisien, perlembagaan republik dan pemisahan kuasa di AS pada hari ini mencerminkan kekaguman Bapa Pengasas AS terhadap struktur politik Rom.

Persaingan dua negara besar

Demikian juga dalam dimensi dominasi ketenteraan - jika Rom menguasai wilayah seluas Atlantik hingga ke Mediterranean (Pax-Romana), AS kini berkeupayaan mengerahkan tenteranya ke mana-mana lokasi di seluruh dunia dalam masa yang singkat.

Malah, selepas runtuhnya Kesatuan Soviet, AS dilihat tiada tercabar lagi, berada dalam kelas tersendiri hinggakan era unipolar itu digelar sebagai Pax-Americana.

Demikian juga dengan analogi China yang diibaratkan sebagai Kesatuan Soviet pada penghujung eranya. Sebagaimana Soviet pada saat itu, China hari ini turut bergelut dengan cabaran dalaman dan luaran yang getir.

Cabaran luaran China bukan sahaja membabitkan tuntutannya ke atas Taiwan yang ditentang AS sejak sekian lama, bahkan juga di Laut China Timur dan Laut China Selatan.

Jika di Laut China Timur Beijing berdepan tentangan Jepun dan Korea Selatan, di Laut China Selatan pula ia berdepan lima negara - Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei dan Taiwan.

Dari segi politik domestik pula, China berdepan gerakan pemisah seperti di Xinjiang dan Tibet, di samping ancaman penentang di Hong Kong.

Seperti Soviet, China turut dihadapkan dengan masalah ekonomi. Meskipun Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) cukup besar, nilainya adalah hampir sembilan kali ganda lebih rendah berbanding AS - belum lagi diambil kira dari segi jurang agihan pendapatan rakyatnya.

Tanggapan kita terhadap TPPA

Lantas, bagaimana sikap kita di Malaysia dalam menanggapi TPPA dari kedua-dua analogi ini? Jawapannya terletak pada bacaan geopolitik yang lebih terperinci terhadap kedua-dua kuasa besar terbabit.

Sememangnya diakui, perbelanjaan ketenteraan yang melampau menyebabkan kemerosotan inovasi teknologi yang membawa kepada keruntuhan Rom.

Perbelanjaan ketenteraan AS pada masa ini juga dianggap cukup besar - mencakupi 37 peratus perbelanjaan ketenteraan global, dan empat kali ganda lebih besar berbanding China.

Namun, tanpa TPPA sekalipun, AS akan kekal sebagai peneraju kuasa tentera dunia dan pada masa sama juga menerajui inovasi teknologi. Lapan dari sembilan syarikat teknologi terbesar dunia adalah dari AS.

Tiada satu pun syarikat teknologi China yang setanding dengan Google, Facebook, Twitter, mahupun Apple.

Hal ini bertitik-tolak daripada hakikat bahawa asas pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan AS adalah teramat kukuh, tidak seperti Rom pada penghujung eranya.

Demikian juga China dengan kehadiran TPPA tidak akan terperosok seperti Kremlin suatu ketika dahulu.

Berbeza dengan kuasa Eurasia yang menjadikan Marxisme-Stalinisme melebihi segala-galanya, Beijing menunjukkan sikap pragmatik unggul mereka dalam mendepani zaman - dibuktikan lewat reformasi berterusan Deng Xiaoping, Hu Yaobang, Zhao Ziyang, Jiang Zhemin, Zhu Rongji, Hu Jintao, hinggalah ke Xi Jinping pada hari ini.

Inisiatif terkini Beijing seperti Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) dan Laluan Sutera Maritim Baharu jauh mengatasi reformasi saat akhir 'glasnost' dan 'perestroika' yang diusahakan Mikhail Gorbachev - Presiden Soviet terakhir.

TPPA itu sendiri tidak akan secara tiba-tiba menjadikan AS sebagai pemenang dan tidak juga secara langsung menjadikan China sebagai pihak yang kalah di pentas Pasifik.

Maka, tidak perlu kita di Malaysia ragu untuk menyertainya atas sebab persaingan geopolitik.
Tags: ekonomi, politik
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments