kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Emas Yamashita tiada di Malaysia, 1,001 teori dan konspirasi, Dambaan pemburu harta karun

Dambaan pemburu harta karun

BAGI pemburu harta karun, kisah mengenai emas Yamashita mengujakan mereka. Penemuan harta karun sangat bermakna kepada golongan itu. Apatah lagi harta berharga yang bernilai ratusan juta ringgit.

Seorang pemburu harta karun yang mahu dikenali sebagai Goh berkata, walaupun pelbagai fakta dan dakwaan wujud, dia belum pernah menemui sebarang harta karun yang dikenali sebagai emas Yamashita ini.

Goh yang menumpukan pencarian harta karun di Indonesia berkata, kegagalan menemukan harta karun itu sebahagian besarnya disebabkan kekurangan dana yang besar.



Jamil Abu Bakar

Goh dan pasukannya mula melakukan ekplorasi mencari harta karun Yamashita di Sumatera bermula 1992 sehingga 1994.

Beliau berkata, terdapat tanda-tanda yang dibuat oleh tentera Jepun pada kawasan yang dipercayai ada harta karun Yamashita. Katanya, tanda-tanda dalam tulisan dan simbol Jepun ini boleh ditemui di Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Tanda tersebut boleh ditemui terutama di atas batuan yang terdapat di lokasi terbabit.

Lain pula ceritanya dengan Jamil Abu Bakar, 63 yang berasal dari Mersing, Johor.

Jamil berpengalaman mengikuti sekumpulan warga Jepun yang mahu mencari gali harta karun dipercayai tinggalan tentera Jepun di sebuah perkampungan di Mersing tidak berapa lama dahulu.

Katanya, dia melihat sendiri sekumpulan warga Jepun itu menggunakan peralatan canggih digunakan mencari logam emas di sebuah kawasan.

“Ketika itu, alat tersebut mengesan ada logam emas dan belum sempat mereka menggali kawasan itu, warga Jepun tersebut diarahkan meninggalkan kawasan itu. Penduduk tempatan tidak membenarkan mereka menggali kawasan itu,” katanya.

Dakwaan Jamil itu menunjukkan bahawa masih terdapat warga Jepun yang mahu mendapatkan semula emas tinggalan tentera Jepun itu di Malaysia. Namun sehingga kini, masih tiada bukti kukuh ia wujud di bumi Malaysia.


1,001 teori dan konspirasi

PELBAGAI teori, dakwaan, dan konspirasi lahir daripada kisah emas Yamashita. Namun, bagaimana harta karun ini dikatakan wujud mungkin boleh menjawab persoalan mengenai misteri sama ada emas Yamashita ini benar-benar ada atau tidak.

Pihak Jepun merancang menakluki seluruh Asia Tenggara sejak 1930-an lagi. Justeru, perancangan teliti dibuat bagi menawan negara-negara yang dapat memberi kepentingan terutama sumber dan bekalan bahan mentah kepada Jepun ketika itu.

Maharaja Jepun Hirohito mengarahkan adiknya Putera Chichibu yang juga seorang jeneral Tentera Imperial Jepun mengetuai satu operasi rahsia dengan kod Operasi Golden Lily atau dalam bahasa Jepun, Kin No Yuri.


JONGKONG emas yang dijumpai di Filipina. http://www.malapascua.de

Tugas Putera Chichibu dalam operasi ini adalah merampas sebanyak mungkin harta-harta terutama emas dan barang berharga dari negara Asia bagi kepentingan Jepun.

Hasil rampasan tentera Jepun melalui Operasi Golden Lily ini terlalu banyak sehingga angkanya seolah-olah satu khayalan atau di luar akal fikiran.

Malah, ada yang mengatakan jumlah emas yang dikumpulkan melimpah-ruah melebihi simpanan emas yang dimiliki negara-negara lain.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Dr. Azharudin Mohamed Dali berkata, Jepun sebenarnya tidak kalah pada Perang Dunia Kedua kerana mereka berjaya mengaut kekayaan negara Asia melalui hasil rampasan perang itu.

“Itu pendapat banyak pihak. Sebenarnya wujud bermacam-macam teori dan pendapat mengenai emas Yamashita ini. Ia menjadi rangkaian maklumat yang berkait-kait dengan pelbagai peristiwa,” katanya.

Katanya, ada juga dakwaan yang mengatakan Jeneral Tomoyuki Yamashita tidak mengetahui mengenai kewujudan emas dan harta berharga yang dirampas ketika penguasaan Jepun. Namun itu hanyalah satu teori.

“Pelbagai pihak mempunyai agenda dan rancangan mereka tersendiri apabila bercakap mengenai emas ini. Kewujudannya tidak dapat dipastikan memandangkan tiada satupun pihak berkuasa lebih-lebih lagi pentadbiran kerajaan yang mengakui atau mengesahkan mengenainya.

“Kerana itu saya mengatakan setiap dari mereka yang terlibat ada agenda, sama ada Jepun sendiri, AS atau pun Filipina. Mana-mana pihak juga menolak dakwaan mengenai penemuan emas ini apatah lagi mengakuinya secara rasmi mengenai kewujudannya,” katanya.

Namun, katanya, hasil rampasan perang seperti harta karun ini bukan sesuatu yang luar biasa dan ia boleh berlaku di mana-mana sahaja. Cuma jumlahnya mungkin tidak sebanyak seperti yang dianggarkan dalam kes emas Yamashita ini.


Emas Yamashita tiada di Malaysia

DIKATAKAN, banyak usaha-usaha pihak perseorangan mahupun organisasi berusaha mencari harta karun Yamashita ini. Bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara lain di Asia Tenggara.

Namun, menurut, Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Dr. Azharudin Mohamed Dali, dia percaya bahawa harta-harta karun tersebut sebenarnya tidak dapat ditemui lagi di Malaysia.

Ini kerana, ketika tentera Jepun menyerang Tanah Melayu melalui Utara Semenanjung, mereka merampas dan menghimpunkan kesemua emas-emas itu dan terus dibawa ke Filipina melalui jalan laut.

PETA yang dibuat tentera Jepun bagi menyorokkan emas hasil rampasan di negara Asia Tenggara. http://www.themysteryofyamashitamap.com

“Mereka mengumpulkan kesemua emas-emas dan terus dileburkan menjadi jongkong sebelum dibawa keluar dari Tanah Melayu. Jadi tidak ada yang disorokkan di Tanah Melayu mahupun Singapura ketika itu. Itu adalah satu pendapat,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Beliau berkata, kebanyakan emas serta barang berharga yang dirampas adalah milik penduduk Tanah Melayu dan diambil dari bank-bank, kedai pajak gadai, kedai emas dan sebagainya.

Katanya, sebahagian besar emas yang dirampas oleh tentera Jepun adalah dari Myanmar. Ini merupakan emas yang berbentuk patung Buddha dicuri dari kuil-kuil yang banyak terdapat di negara itu. Ia juga termasuk batu permata, berlian serta barangan berharga yang lain yang dijarah dari Korea dan China.

Menurutnya, Thailand juga menjadi sasaran tentera Jepun namun disebabkan Jepun terikat dengan perjanjian dengan negara Gajah Putih itu, maka tidak banyak emas yang diambil dalam perjalanan mereka menyerang Tanah Melayu dan Singapura.

Tambahnya, banyak juga emas yang dicuri dari Sumatera dan Jawa dan kemudian dileburkan menjadi jongkong sebelum dibawa ke Filipina.

Ditanya mengapa Filipina, Azharudin berkata, ia dianggap sebagai lokasi yang paling dekat dengan Jepun yang sekaligus menjadikan negara itu sebagai pusat pemerintahan dan operasi yang penting ketika itu.

Jelasnya, terdapat juga syarikat-syarikat Jepun yang bertapak di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua menjalankan aktiviti perlombongan tetapi bukan melombong emas.

“Saya yakin mereka tahu mengenai hasil bumi Tanah Melayu yang kaya dengan emas. Tetapi mereka banyak menyasarkan kepada emas yang mudah dirampas. Pada pengetahuan saya, tiada lombong emas yang dibuka oleh syarikat Jepun ketika itu. Tetapi mungkin hasil bijih lain seperti timah dan besi lebih banyak ketika itu,” katanya.

JONGKONG emas Yamashita yang dikatakan dijumpai di salah satu terowong rahsia di Filipina. http://theunredacted.com

Menyentuh mengenai konspirasi emas Yamashita, Azharudin berkata, pemburuan harta karun ini mula dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk Amerika Syarikat (AS) yang sedar mengenai lokasi di Filipina.

Katanya, selepas perang tamat, pihak CIA mula merancang agenda untuk mengaut emas yang dikatakan ditanam di bawah kubu bawah tanah di beberapa lokasi di Filipina.

“Situasi menjadi lebih kompleks dengan komplot dan agenda rahsia untuk mendapatkan emas tersebut kerana menyedari nilainya teramat tinggi dan mampu membiayai sebuah kerajaan seperti AS yang mempunyai pelbagai perancangan untuk menguasai dunia,” katanya.

Beliau berkata, AS melalui CIA menjadikan Filipina sebagai gerakan utama mereka selepas perang yang agak aktif. Hasilnya, wujud dakwaan yang mengatakan emas Yamashita telah diambil oleh AS sebaik Yamashita dihukum gantung selepas perbicaraan oleh AS di Filipina.

Terdapat dakwaan mengatakan AS membiayai perang dingin antara negara itu dengan Rusia menggunakan emas Yamashita ini. Malah, AS juga dikatakan membiayai Jepun menggunakan harta itu untuk mengekang penyebaran fahaman komunis di Asia.

Pada 1970-an, muncul seorang warganegara Filipina, Rogelio Roxas yang mendakwa menjumpai kubu simpanan harta karun yang turut mengandungi patung-patung Buddha emas padu.

Namun penemuan itu menyebabkan wujudnya konflik apabila Presiden Filipina, Ferdinand Marcos mendakwa harta itu merupakan milik negara dan merampas emas hasil penemuan Roxas itu.

Wujud juga dakwaan mengatakan Marcos yang turut mendapat sokongan oleh AS itu hidup mewah dari kekayaan hasil emas Yamashita yang tertanam di Filipina. Pada 1992, Imelda Marcos mengakui bahawa kekayaan suaminya dan dia adalah hasil dari emas Yamashita yang dianggarkan bernilai hampir 1 trilion Dollar AS.

Walau pelbagai teori, bukti serta kenyataan demi kenyataan timbul, emas Yamashita terus kekal menjadi misteri yang tidak pernah dapat diselesaikan. Sebab mudah, kerana pelbagai pihak hadir dengan agenda dan kepentingan yang tersendiri.

Tags: emas, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “emas” Tag

  • Masa emas keluarga

    SETIAP manusia diberikan 24 jam sehari. Tiada seorang pun yang mendapat kurang sesaat ataupun lebih sesaat dalam hidupnya. Sama ada masa yang…

  • Sumpahan Tok Kaduk

    M ULAI hari ini aku tidak akan menyabung lagi. Dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan iya entahkan…

  • Kancing emas penawar

    NAMA Tok Kaduk atau Pak Kaduk mungkin lebih dikenali melalui pepatah berbunyi 'menang sorak, kampung tergadai' namun ramai yang tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments